Tuesday, November 30, 2010

Biarkan


Saat malam terus berlalu. Dengan iringan angin-angin malam yang dingin. Sejuk rasa diri. Tidak sama dengan hati. Penyakit meyakinkan diri masih lagi jauh dari fikiran. Untuk meletakkan noktah penamat. Seakan masih jauh perjalanan yang dirancang. Belum sampai ke pertengahan jalan. Ia sekali lagi mengganggu benak hati. Bermain-main di kepala. Seperti batu-batu pasir di pantai. Banyak sekali. Dipukul ombak dan badai. Sekuat-kuatnya ia menghempas. Hilang sekelip mata. Tidak semudah itu.

Pegangan prinsip kekal di situ. Ia bukan seperti perkiraan ilmu hisan ciptaan al-Khawarizmi. Dihitung 3 bersama 3 menjadi 6. Dikali 2 bersama 5 menjadi 10. Bukan semudah itu membuat keputusan.

Kisah-kisah lalu terus mengejar diri. Memilih untuk dipadam. Atau memulakan langkah baru. Yang juga kelihatan semakin pudar indah.

Sesudah madu ditabur. Racun memakan diri. Sampai bila?

Perhitungan masa hadapan bukanlah seperti merancang perjalanan. Ke timur dan ke barat. Ia sukar sama sekali. Mungkin suasana diluar sana begitu indah. Kanak-kanak bermain riang. Diiringan gelak gembira. Mereka sememangnya tiada beerti tentang kebingungan sesiapa. Menurut sahaja rasa hati. Berasak ke sana ke mari. Alangkah indahnya dunia mereka.

Sayang seribu kali sayang. Kita tidak seperti mereka.

Siang hari kita dihimpit matahari. Malam kita dikejar dalam mimpi.

Lena kita hanya untuk melelapkan mata. Melupakan seketika. Esok apabila terbitnya sinar. Kita bersua lagi. Dengan kesukaran itu. Bukan mudah untuk sesiapa. Menjadikan dirinya serba sempurna. Menjadi manusia yang bersedia. Menempuh badai. Melawan ombak. Memekik petir. Menghambat hujan.

Tidak semudah itu untuk kita menerima ujian dan getir dari Tuhan Yang Maha Berkuasa.

Sesiapa sahaja.

Jantan dan betina.

Tetapi apa perlu kita meratap perkara yang sukar itu?. Bukankah kita diberi pilihan memilih alur yang tenang. Memilih jalan yang sesuai. Mengapa kepayahan yang mahu dituruti?. Ada apa dengan kepayahan itu. Untung diri atau sesal di kemudian hari?

Atau kita manusia pilihan. Dipilih Tuhan untuk dibebani. Dipilih Tuhan untuk berkorban. Dipilih Tuhan untuk kesukaran. Untuk dilihat. Apakah dirimu bersedia menghadapi ujian.

Sebagaimana Musa yang berdepan dengan si Firaun yang maha zalim. Yusuf yang difitnah. Muhammad yang dicaci dan di maki. Sedangkan mereka Kekasih Allah menerima ujian dan percubaan.

Bagaimana dirimu yang insan biasa?.

Mahu mengelak dan mengeluh. Sedangkan ia tidak seberat beban yang ditanggung para Nabi dan Rasul.

Bolehkah begitu?.

Untuk apa aku yang dipilih. Sejak aku membuka mata. Bersedia bersuara. menghadapi 'mereka-mereka' yang datang dengan kemaslahan dunia. Seribu satu cerita.

Untuk apa aku diberikan 'mereka-mereka'?.

Sedangkan selepas 'mereka-mereka' berbahagia. Tangan seia tidak pernah memujuk hati. Mereka terus berlari dengan kegembiraan. Meninggalkan masalah dan bebanan. Kepada tangan yang menghulurkan saat 'mereka-mereka' beroleh kesempitan dari matahari. Mimpi ngeri di malam hari.

Aku belum bersedia.

Belum bersedia menjadi insan yang dipilih. Dipilih dari Tuhan untuk mengharungi semua itu.

Biarkan aku terus terkeliru dengan diri sendiri. Menghabiskan saat-saat hidup dengan jalanku sendiri. Biarpun tiada berteman. Atau berkawan.

Aku bersedia menjadi pengecut dunia.

Menjaga hati sendiri.

Dari menjadi manusia yang hipokrasi. Menyalak kebenaran dihadapan. Mengiakan penipuan dibelakang.

Sesat dalam siang. Buta dalam malam.

Aku selesa begitu.

No comments:

Post a Comment