Monday, January 25, 2010

Kegembiraan dan Kesedihan


Hari ini. Hari yang menggembirakan saya. Selepas hampir 3 bulan saya menunggu. Akhirnya khabar gembira itu sampai juga. Kita merancang, Tuhan menentukan. Kegembiraan bercampur sedih sebenarnya.

Saya telah mendapat tawaran berkhidmat sebagai Pegawai Pendidikan Mara di Langkawi. Saya perlu melapor diri pada awal Februari. Tarikh yang sama saya menerima khabar gembira tahun 2009. Berulang kembali pada Februari 2010. Saya masih dalam lapangan yang sama. Lapangan akademik. Saya tidak bertukar arah destinasi.

Gembira kerana usaha saya berhasil, doa saya dimakbulkan untuk mendapat pekerjaan yang lebih stabil dan status pekerjaan tetap. Ini yang menggembirakan saya. Organisasi Mara adalah Badan Berkanun. Ribut dan taufan ekonomi yang melanda Malaysia, insyallah Mara tidak akan ditutup!. Itu kestabilan. Gaji juga berubah selain elaun tetap yang saya akan terima juga lebih baik dari apa yang saya perolehi hari ini. Berkat doa semua pihak. Saya bersyukur dan gembira.

Sedih. Saya terpaksa meninggalkan teman-teman di sini. Rakan sekerja dan sahabat-sahabat pensyarah di Cybernetics. Juga 'anak-anak' murid dan pelajar yang baik dan bersemangat tinggi. Beberapa kelas tadi saya sudah umumkan pengunduran saya. Saya tidak tahu apa perasaan mereka. Barangkali ada yang gembira. Cik Zul dah pindah!. Barangkali juga ada yang bersedih. Barangkali ada. Atau mungkin tiada.

Ini bukan kehendak saya. Allah mentakdirkan segala-galanya. Komitmen dan semangat sebagai pendidik tidak pernah luntur dalam jiwa saya. Mungkin tempat menabur ilmu sahaja yang bertukar. Mungkin itu kehendak Allah SWT. Mahu mengembangkan keupayaan saya ditempat lain. Siapa tahu. Ini cara Allah menguji saya. Memberi pengiktarafan kepada saya. Saya hanya menurut kehendak Yang Maha Kuasa.

Saya masih ada seminggu lagi. Persiapan peperiksaan pertengahan tahun masih ada. Bukan untuk sesiapa. Untuk para pelajar yang saya sayangi dan kasihi. Insyaallah, segala permasalahan mereka berhubung kelas, kuiz, tutorial, tugasan dan peperiksaan akan saya selesaikan. Itu janji saya. Itu komitmen saya pada mereka.

Perjalanan masih jauh. Kepada sahabat-sahabat dan teman-teman teruskan agenda islah yang kita rancangkan. Sebarang perubahan ke arah organisasi yang positif mesti diteruskan. Kita perlu mengasak ke arah yang lebih baik. Jangan lupa agenda kita. Jangan lupa pada gerakan yang kita santuni bersama.

Kepada para pelajar saya. Teruskan komitmen anda semua. Lapangan akademik masih terbentang luas. Diploma yang anda ada sekarang bukan pengakhiran kepada jalan menuntut ilmu. Masih banyak ruang. Masih banyak lagi. Justeru, teruskan daya usaha. Tingkatkan ilmu pengetahuan dan berlumba-lumbalah ke arah kecermelangan kendiri. Bukan untuk sesiapa. Untuk kejayaan peribadi. Muliakan ilmu. Cintakan ilmu. Itu tanggungjawab anda. Jangan pedulikan sesiapa. Kejar dan terus berkejar ke arah ilmu pengetahuan.

Semoga kita dirahmati. Diberikan daya yang kuat menghadapi segala cabaran duniawi.

Sunday, January 24, 2010

Cabaran Kita: Rakyat dan Negara

Tahun 2010 merupakan tahun yang semakin mencabar. Jika diteliti Wawasan 2020. Ertinya kita hanya tinggal 10 tahun lagi bagi merealisasikan idea Tun Mahathir tersebut. Idea menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju. Maju dari pelbagai aspek. Ekonomi, politik, sosial, pembangunan masyarakat, ilmu pengetahuan dan keadilan. Kemajuan ini mesti dicapai bagi tujuan tersebut. Malaysia mensasarkan kejayaan yang unggul pada 10 tahun akan datang. Barangkali, unggul kita lebih dari negara jiran.

Bagaimana penyusunan ke arah tersebut?. Kemajuan sesebuah negara bukan hanya terletak kepada pembangunan 'bangunan' semata-mata. Kita mampu membina bangunan tanda mercu di mana-mana. Tinggi melangit. Itu bukan kerja yang sukar. Pembangunan 'bangunan' telah pun kita kecapi. Walaupun tahun 2020 belum tiba.

Pembangunan 'manusia' yang belum tiba. Manusia atau masyarakat di mana-mana. Perlu ada peradaban yang mulia. Masyarakat mesti dibangunkan bagi merealisasikan idea negara maju. Pembangunan masyarakat dilihat lebih penting dari segala-galanya. Pembangunan manusia mesti seiring dengan 'bangunan' yang tegak melangit itu.

Pembangunan manusia menjadi penentu kejayaan Malaysia. Kita memerlukan 'mentaliti' rakyat yang maju dan kelas pertama. Apa erti hanya negara maju sekiranya rakyat masih terkontang-kanting memahami erti 'kemajuan'. Kita bangga dengan 'fasiliti' negara. Tetapi rakyat tidak dibangunkan dengan 'mentaliti' manusia.

Kekuatan kepada pembangunan manusia terletak kepada ilmu pengetahuan. Ilmu kunci utama kejayaan membangunakan manusia. Barat dan Jepun menjadi contoh. Disiplin ilmu yang diterapkan mereka berjaya membina masyarakat 'kelas pertama'. Ilmu pengetahun sentiasa menjadi rebutan. Hobi mereka membaca dan mencipta. Bersaing adalah jambatan kejayaan. Kalah perkara yang memalukan. Biadap sentiasa dibenci. Respon pada persekitaran. Itu mereka. Bagaimana dengan kita?

Masyarakat kita masih dingin tentang itu. Tabiat dan sikap kita masih jauh ketinggalan. Bukan semua. Tetapi masih ada. Anak-anak muda, mahasiswa, para pelajar, belia dan orang-orang tua. Cinta terhadap ilmu masih berkurangan. Respon pada persekitaran juga masih jauh ketinggalan. Berapa ramaikah dikalangan kita yang mengetahui isu semasa tentang negara dan dunia?. Adakah mampu para pelajar dan mahasiswa kita berbicara tentang isu agama? isu Israel dan Palastine? Sejarah Malaysia? Isu kenaikkan harga gula? Pengangguran? Politik? Ekonomi?.

Ilmu itu kuncinya. Mendekatkan diri dengan ilmu adalah tanda kejayaan. Respon pada persekitaran adalah dengan ilmu. Berbicara isu-isu semasa mendatangkan 'kematangan'. Perlu untuk kita meningkatkan kesedaran ini pada jiwa para pelajar dan mahasiswa. Menyuntik rasa 'risau' dalam diri mereka. Risau tentang persekitaran negara dan dunia. Risau tentang perjalanan masa depan mereka. Risau tentang segala-galanya. Itu caranya.

Kerisauan itu akan mendatangkan kejayaan. Sekiranya para pelajar dan mahasiswa sentiasa berbahas dengan isu semasa. Ia mencerminkan 'keindahan' masyarakat kita. Masa depan Malaysia bergantung kepada mereka. 'Mentaliti' pelajar yang berdaya saing dan mampu berbahas adalah kejayaan disiplin ilmu yang jitu. Bukan markah peperiksaan yang menjadi keutamaan. Lapangan akademik jauh dari itu. Melahirkan manusia menjadi 'manusia'. Negara memerlukan mereka. Rakyat yang bijak. Negara sihat.

Sikap dan tabiat akan berubah dengan sendirinya. Sekiranya 'rakyat dan masyarakat; didekatkan dengan ilmu pengetahuan. Kita wajar berjaya. Berjaya dengan rakyat yang bijaksana. Mempunyai rakyat yang bermentaliti 'kelas pertama'.

Peradaban negara mesti bangun dengan insitusi ilmu yang berjaya. Keindahan masyarakat Barat dan Jepun membangunkan rakyatnya dengan ilmu pengetahuan wajar dicontohi semua pihak. Termasuk Malaysia. Cabaran masa depan semakin mencabar. Cabaran itu mesti digalas dengan ilmu pengetahuan. Apa erti kita mempunyai keindahan bangunan 'kelas pertma' kalau rakyat masih lagi bermentaliti 'kelas ketiga'.

Adakah mampu kita berhadapan dengan cabaran?

Saturday, January 16, 2010

Permata Yang Hilang


Hari ini. Jabatan saya kehilangan seorang 'ahli' yang begitu komited dan konsisten dalam tugasanya sebagai pendidik. Sahabat saya, Ustaz Farid telah berpindah tempat kerja. Tugasan yang sama. Beliau mendapat tawaran sebagai guru di Sekolah Maktab Mahmud, Bandar Baru, Kulim Kedah. Kembali ke kampung halaman. Ustaz Farid juga adalah anak Negeri Kedah. Dari pensyarah, beliau menjadi guru sektor awam.

Kerjaya yang baru itu tidaklah ada perbezaan yang ketara bagi beliau. Minat dalam menyampaikan ilmu pengetahuan adalah 'jiwa' beliau. Persahabatan yang erat antara kami begitu sekejap sekali. Saya kehilangan seorang lagi teman yang menjadi rujukan berkaitan agama.

Banyak isu-isu agama, politik dan Malaysia saya berbual dengan beliau. Bekas s/u politik Ustaz Firdaus, MP Jerai ini mempunyai pandangan yang bernas dan bermutu. Dari pejabat hinggalah ke kedai laksa!. Kami sentiasa bersama. Perbahasan politik sentiasa menjadi topik utama.

Kegigihan dan komitmen beliau sebagai pensyarah begitu mengagumkan semua pihak. Tidak pernah tidak. Negatif jauh dari kamus hidup beliau. Disenangi dan mesra dengan semua kakitangan. Baik akademik dan mahupun bukan akademik.

Kepada Ustaz Farid. Saya mendoakan agar beliau terus berjaya dan konsisten menjalankan tugasan baru. Kerjaya sebagai pendidik begitu mulia. Pendidik adalah 'pelukis' watak manusia. Kalau salah ukiranya, salahlah lukisnya. Kalau betul, betulah jadinya. Semoga Ustaz Farid terus berjaya. Berjaya untuk dunia dan akhirat. Persahabatan yang erat akan menjadi kenangan selamanya.

Friday, January 15, 2010

Organisasi: Sistem atau Diri

Karenah organisasi kadang-kadang dilihat tidak memihak kepada ahli-ahlinya. Ia sentiasa dilihat tidak adil dan berat sebelah. Sistem organisasi sentiasa dipihak yang bersalah. Diri? Tidak dilihat begitu. Ahli-ahlinya memandang sistem sahaja yang perlu disalahkan.

Sistem dalam organisasi boleh berubah. Selalu begitu. Mana-mana organisasi di dunia ini boleh berubah. Berubah mengikut situasi, suasana dan persekitaran. Dari aspek ekonomi, sosial dan politik. Organisasi boleh berubah. Kalau dilihat tidak memihak, ada idea dan pandangan yang boleh mengubah hal itu. Majikan tiada pilihan. Berubah atau dilihat tidak relevan. Itu opsyen yang ada.

Bagaimana pula dengan ahli dalam organisasi?. Individu dan diri yang menjadi 'keluarga' organisasi. Turut berubah atau masih ditahap yang lama?. Ketinggalan dan sentiasa negatif. Tidak mahu mengikut arus semasa. Sistem ke kanan, dia ke kiri. Dia di kiri, sistem pula ke kanan. Bertemu. Disalahkan sistem. Mengikut jauh sekali.

Ini masalah. Individu atau ahli jarang mahu berubah. Ini masalah sikap. Sikap diri yang jauh sekali menguntungkan mana-mana pihak. Organisasi pun tidak, diri juga tidak.

Sikap perlu berubah bagi meningkatkan mutu organisasi. Diri yang lebih utama. Sistem perlu diikuti. Di mana-mana. Jika diri negatif pergi ke mana-mana pun begitu. Organisasi besar atau kecil. Semuanya ada sistem. Mahu tak mahu perlu diikuti. Lainlah kalau bekerja sendiri. Semuanya atas diri. Bukankah begitu?

Sikap yang negatif menghalang kemajuan kendiri dan organisasi. Apa untung kita 'sombong diri' dalam organisasi?. Ia menjadi 'masalah' kepada organisasi. Individu yang begitu rupa jarang sekali menyalahkan diri jika terdapat 'kesalahan' di mana-mana. Sistem dalam organisasi akan menjadi cacian utama. Diri?. Sentiasa betul dan dianggap dianiya. Kelas masyarakat begini begitu banyak sekali. Kemajuan dan kecermelangan organisasi kadang-kadang dilihat terhalang dengan individu sebegini.
Jauh sekali mahu berubah.

Apa akan jadi pada kita pada masa akan datang?. Jika diri sentiasa dianggap benar dan jauh dari kesalahan?. Maju atau sebaliknya. Percayalah. Individu yang negatif, mengnegatifkan pula orang lain tidak ke mana. Kemajuan diri jauh terhalang. Adanya 'dia' tidak disedari, hilangnya 'dia' juga tidak diratapi. Perlukah kita jadi begitu?

Tuesday, January 12, 2010

Selamat Hari Lahir

Saya sudah mencapai umur 25 tahun. Saya semakin tua. Ke arah menjadi tua. Saya menyambut hari lahir yang ke-25 pada 10 Januari 2010 yang lepas. 'Teman wanita' saya antara individu yang paling sibuk mengatur pelbagai program sambutan hari jadi tersebut.

Sudah 6 tahun dia menyambut Hari Lahir saya. Kali ini paling meriah kerana kami sudah bekerja. Hadiahnya pun sudah ada 'nilai' tersendiri. Kami lebih matang dari semalam.

Saya sendiri terasa begitu terharu. Teman-teman baik juga sama meraikannya pada malam 10 Januari tersebut. Kami menyambutnya di Restoran Nelayan, Taman Tasik Titiwangsa. Sederhana tetapi dalam suasana yang ceria dan mesra.

Turut berkongsi sambutan pada tarikh yang sama adalah sahabat saya, Shidi. Dia juga lahir pada tarikh yang sama. Begitu juga Tuan Guru Dato'Nik Aziz Nik Mat, MB Kelantan. Juga berkongsi tarikh yang sama menyambut hari kelahirannya bersama saya. Saya ucapkan Selamat Ulang Tahun kepada Tuan Guru!.

Semoga kita semua akan terus dirahmati dan diberikan kekuatan untuk menempuh sisa-sisa hidup di dunia ini. Semoga rezeki kita bersama akan bertambah murah dan kejayaan dikecapi bersama. Jutaan terima kasih kepada Nor Fahimah bt Yusoff yang sentiasa bersama saya sepanjang perjalanan jatuh bangun hidup bersama. Dia adalah rakan, sahabat dan teman yang tiada nilainya pada saya. Juga junjungan kasih saya ucapkan pada sahabat saya Shahril (Atan) dan Hanafee (Moq) di atas segala-galanya. Semoga persahabatan kita bertambah erat dan dirahmati Allah SWT.

Friday, January 8, 2010

Susah juga tak boleh bohong

Sekarang ini, orang dah jadi konfius. Mana satu nak percaya. Media perdana atau media alternatif? Alangkah baiknya jika ada satu alat yang boleh tahu orang bohong atau tidak.

Ini ada satu kisahnya seorang Profesor Samad yang berjaya mencipta robot yang boleh mengesan bohong. Robot itu direka supaya ketika mendengar pembohongan, robot tersebut akan terus menampar si pembohong ...

Dia sudah dapat bayangkan keuntungan dari jualannya. Bayangkan syarikat media, mahkamah, pejabat kerajaan dan korporat pasti mahukan mesin yang dapat mengesan pembohongan. Polis mesti nak guna tangkap blogger-blogger yang sebar fitnah.

Siap saja prototype robot pengesan bohong, Professor Samad bawa pulang untuk tunjuk pada anak bininya.

Dibawa robot prototype ke ruang tamu untuk tunjuk pada anak lelakinya. Ditunggu-tunggu, dia tak pulang hingga lewat pagi. Sampai tertidor.

Prof Samad dikejutkan oleh bunyi motor anaknya yang baru pulang. MAsuk saja anaknya, dia bertanya, "Kamu dari mana ni?"

"Ada pelajaran tambahan ayah," jawab anaknya.

*PLANG* Robot tersebut menampar anaknya.

"Anak, ini adalah robot ciptaan ayah. Dia akan tampar sesiapa yang berbohong! Sekarang katakan dengan jujur, kenapa kamu pulang lewat??!

"Maaf ayah ... sebenarnya saya pergi menonton movie di rumah kawan...".

"Cerita apa?

"Cerita Papadom ayah".

*PLANG*

"Katakan dengan jujur cerita apa?!"

"Maaf ayah ... saya tengok cerita lucah".

Mendengarkan itu marahlah Prof Samad. Dia berleter, "Kamu nie... kecil-kecil dah nakal... kamu nak jadi apa bila besar nanti?! Malukan ayah saja perbuatan kamu nie. Masa ayah kecil dulu, ayah tak pernah pun buat macam nie."

*PLANG* Samad ditampar oleh robotnya.

Suasana hening untuk beberapa ketika...

Isteri Samad kemudian masuk ke ruang tamu dan langsung berkata, "Huh, sama saja kelakuannya, ke mana akan tumpahnya kuah kalau tak ke nasi? Memanglah anak awak ni ... "

*PLANG*

Robot menampar isteri Samad sebelum isterinya sempat menyelesaikan kata-katanya ...
dan semua terdiam...

Menyusahkan juga kalau tidak ada tipu dan putar belit.

Nukilan Husin Lempoyang

Kegelisan bermula

Rumah ibadat masyarakat Kristian mula diserang. Hari ini sahaja sudah terdapat dua gereja Kristian Katolik di serang dengan bom buatan sendiri.Gereja di Jalan 4/4C Desa Melawati dan Church of the Assumption di Jalan Templer. Kedua-dua berita tersebut boleh didapati di sini.

'Kekacauan agama dan politik perkauman' mula terpancar. Benarlah telahan saya sebelum ini. Isu kalimah 'Allah' yang pada awalnya meletus sebagai 'isu agama' mula berubah ke arah 'perkelahian dan pergaduhan' kaum. Lebih dari itu.

Saya tidak mahu menuduh sesiapa dalam tragedi ini. Saya juga tidak mahu menyatakan serangan tersebut sebagai 'pembela' agama Islam. Islam sama sekali berbeza dengan pendekatan ekstrim sebegitu rupa. Islam juga tidak mengajar umatnya 'membenci' bangsa lain dan agama lain. Jauh sekali memusuhi 'umat' agama lain.

Beberapa blogger dan MP begitu 'jahat' sekali mengeksploitasikan 'isu' ini. Mereka cuba tampil menjadi 'Sang Hero' mempertahankan kalimah Allah. Ini juga amalan politik sempit dan jumud.

Saya tidak menyokong ke arah perpecahan agama dan kaum di Malaysia. Semua umat manusia adalah bersaudara. Apa erti kita bersengketa terhadap 'isu' yang boleh membawa kepada titik pertemuan dan kemesraan bersama. Islam mengajurkan perbincangan dan dialog. Kita perlu ke arah positif, bukan negatif.

Hari ini dua gereja di serang. Esok, lusa siapa tahu?. Jangan sampai ada yang terkorban. Kelak nanti buruk padahnya pada negara.

Thursday, January 7, 2010

Ke Arah Organisasi Positif

Tahun 2010 mula bersama kita. Dalam tahun yang serba indah. Januari merupakan bulan dimana azam kita bermula. Sebagai pekerja dalam sebuah organisasi, perlu kita mensasarkan beberapa tekad dan azam dalam memperharui rekod negatif tahun lalu.

Sebagaimana saya. Di penghujung tahun 2009. Saya menerima beberapa persepsi negatif tunggangan beberapa 'pihak' dalam organisasi sendiri. Tempat saya mencari rezeki. Kelantangan dan keberanian kadang-kadang menjaminkan keburukan. Namun, pantang undur. Baik tetap baik, buruk mesti dinyatakan buruk!.

Saya masih bekerja diorganisai yang sama. Pada Februari depan genaplah setahun saya di bidang pendidikan. Organisasi swasta. Saya masih positif di sini. Beberapa percaturan untuk 2010 telah pun disusun. Proses menggerakannya dicatur rapi. Ruang untuk mencipta pembaharuan masih lagi terbuka. Disebabkan itu saya masih positif di sini.

Saya sedang menyusun strategi peribadi bagi 'memperkemaskan' beberapa sistem yang dilihat tidak adil dalam proses penyampaiannya kepada para pekerja. Kepada beberapa teman, saya berbincang. Lebih positif jika didiskusikan bersama. Itu menandakan saya tidak 'syok sendiri' dengan pandangan peribadi.

Sistem yang dilihat tidak memihak akan diperbetulkan. Bukan semunya buruk. Tetapi ada yang perlu disuntik dengan perubahan. Dalam waktu yang sama, kualiti akademik dipertingkatkan. Jauh dari itu. Kualiti itu adalah segala-galanya. Organisasi yang berteraskan pendidikan dan perniagaan seperti ini tidak boleh hanya memetingkan keuntungan semata-mata. Kita mendidik. Baik buruk perlu bertanggungjawab. Kekayaan diri mesti dipinggirkan bagi menjamin kualiti 'manusia' yang mahu dilahirkan.

Keadaan masih lagi terkawal. Persepsi negatif 2009 harap dipadamkan. Dipadamkan serta merta. Tekad dan azam baru 2010 mesti digerakkan semula. Segala perancangan akan melibatkan semua pihak kali ini. Bukan hanya akademik!. Ini janji saya. Sistem yang tidak memihak, tidak adil dan tiada ketelusan akan dinyahkan dari organisasi. Suasana 'pilih kasih' akan dibatu nisankan.

Organisasi mesti diutamakan. Menjamin kepuasan semua pihak adalah objektif yang murni.

Wednesday, January 6, 2010

Kalimah 'Allah': Jangan dipolitikan

Isu penggunaan kalimah 'Allah' semakin merumitkan. Rata-rata ulasan semakin hari semakin ke arah 'Agenda Perkauman'. Benarkah begitu. Saya melihat dengan penuh berhati-hati. Semakin menyakitkan hati sekiranya 'isu' agama yang boleh dibincang secara ilmiah dan penuh ketamadunan ini diheret ke arah 'Agenda Perkauman' atau 'Agenda Perkelahian Agama' di Malaysia.

Isu Islam-Kristian begitu sensitif. Kedua-dua agama Samawi ini telah mencipta sejarah peperangan yang panjang. Bukan hanya di Malaysia. Malah ketika zaman pemerintahan Islam di Eropah lagi pergaduhan Islam-Kristian biasa tercetus. Perang Salib merupakan contoh yang baik dalam isu ini.

YAB Tuan Guru Nik Abdul Aziz, MB Kelantan memberikan pandangan yang bernas dan bijak. Dicadangkan diadakan pertemuan antara kedua-dua pemimpin agama Islam-Kristian bagi menjelaskan tentang hak dan kebenaran penggunaan kalimah 'Allah' bagi ke atas kedua-dua penganut agama. Islam sentiasa menganjurkan perbincangan, diskusi dan dialog. Ini yang lebih baik akhlaknya dari menjadi 'pencetus' perkelahian antara agama. Banyak 'isu' yang boleh diulas sebenarnya antara Islam dan Kristian. Bukan hanya tentang pengguanaan kalimah 'Allah'. Lebih dari itu.

Jangan diheret 'isu' ini ke arah 'perkauman' dan amalan politik sempit. Beberapa pihak sudah merancang bagi mengadakan demonstrasi bantahan. Mempertahankan Islam kononya. Dipalung rebana dan kompang bagi menghasut 'pihak-pihak' tertentu menari bersama. 'Mereka' cuba mempolitikkan 'isu agama' ini. Kristian dicemuh dan diberikan amaran. Soal pokok belum dibincang. Tetapi lebih kepada 'pergaduahan'. Ini jauh dari pendekatan Islam.

Kenyataan penuh Presiden PAS dalm isu ini mencerminkan 'ketokohan' beliau sebagai Ulama dan pemimpin Gerakan Islam. Penuh rasional dan bijaksana. Antara ungkapan dalam kenyataan beliau ialah,

"Setiap warganegara Malaysia wajib memelihara suasana dan keadaan ini. PAS ingin menjelaskan bahawa berdasarkan kepada kaedah Islam, penggunaan nama Allah pada asasnya adalah dibenar untuk digunakan oleh agama samawi seperti Kristian dan Yahudi.

Walau bagaimanapun, penggunaan kalimah Allah secara salah dan tidak bertanggungjawab mestilah dielakkan supaya ianya tidak menjadi isu yang boleh menjejaskan keharmonian kaum dan agama dalam negara ini.

PAS memberikan peringatan kepada semua pihak supaya tidak menyalahgunakan perkataan Allah bagi mengelirukan atau menjadikan politik murahan untuk mendapatkan sokongan rakyat".


Islam, Kristian dan Yahudi adalah agama Samawi. Agama yang mempunyai kitab ajaran. Ketiga-tiga agama ini menggunakan kalimah 'Allah' bagi maksud menyebut Tuhan atau 'God'. Dari sudut sebutan dan panggilan adalah sama. Namun, bagi maksud pengertian nama 'Allah' sama sekali berbeza. Islam meletakkan nama 'Allah' bagi maksud Tauhid. Iaitu Allah hanya Satu, tiada dua. Tidak mempunyai anak atau diperanakkan. Bagi agama Samawi yang lain, penggunaan nama 'Allah' hanyalah sebagai penggilan dan tidak diisi dengan maksud 'Tauhid' tersebut.

Namun demikian. Walaupun dibenarkan masyarakat Katolik menggunakan nama 'Allah' bagi maksud panggilan pengganti nama Tuhan dan 'God'. Rasa curiga perlu juga dibenarkan. Perasaan tentang ia tidak disalahgunakan oleh masyarakat Kristian bagi tujuan-tujuan tertentu. Tujuan dakyah, memesongkan dan menyesatkan. Terutama ke atas golongan masyarakat Islam. Dakyah ini perlu diberi perhatian. Terutama bagi tujuan yang jahat. Ini yang perlu dikhuatiri.

Kita jangan cepat melatah dalam isu ini. Isu sebegini tidak boleh diadili dengan emosi dan sensitiviti yang negatif. Islam penuh dengan ilmu. Hujah lawannya hujah.

Persetujuan terhadap kenyataan Presiden PAS wajar diamati. Bantahan dan sokongan mestilah dinyatakan dengan iklas dan jujur. Bukan berkepentingan. Bukan ada 'agenda' yang tersembunyi.

Jangan diheret isu ini ke arah 'perpecahan kaum' di negara kita.

‘‘Katakanlah: Hai Ahli Kitab,marilah (berpegang) kepada suatu kalimat (ketetapan) yang tidak ada perselisihan antara kami dan kamu, bahawa tidak kita sembah kecuali Allah dan tidak kita persekutukan Dia dengan sesuatu pun dan tidak (pula) sebahagian kita menjadikan sesama manusia seperti pemimpin dan sebagainya sebagai tuhan selain Allah’’

Tahniah, Pemuda UMNO!

Isu penggunaan kalimah Allah oleh masyarakat bukan Islam, Kristian Katolik menjadi isu paling hangat menjelang 2010. Pelbagai pandangan dan ulasan telah diutarakan beberapa pihak berkenaan isu ini. Kemenangan majalah Herald-The Chatolic Weekly ke atas hak penggunaan nama 'Allah' bagi maksud menggantikan panggilan Tuhan atau 'God' begitu memeranjatkan beberapa pihak.

Keadaan bertambah rumit dengan pelbagai tafsiran dan andaian. Hujah-hujah berteraskan agama, logik akal, pengalaman, undang-undang dan budaya disebarkan seluruhnya ke media massa. Termasuk juga para blogger yang menjadi juara dalam isu berkenaan.

UMNO telah membuat ketetapan. Diusung pemuda-pemuda UMNO ke pentas 'surat khabar' bagi menunjukkan bantahan dan tentangan. Mereka begitu istiqamah dalam perjuangan memartabatkan nama 'Allah'. Tahniah pada pemuda UMNO.

Bantahan juga dibuat melalui NGO Islam di seluruh Malaysia. Mereka merancang untuk mengadakan demonstarsi bagi maksud bantahan. Begitu sekali. Mereka ternyata begitu marah perihal masyarakat Kristian Katolik dibenarkan menggunakan nama 'Allah' bagi maksud yang sama menyebut 'Tuhan' atau 'God'.

Saya begitu bangga. Bangga yang teramat dengan suasana ini. Perihal Pemuda UMNO Malaysia yang begitu proaktif mempertahankan kalimah Allah dari dipakai atau digunakan oleh bukan Islam.

Namun, tak dapat diingat. Adakah Pemuda UMNO juga proaktif tatkala Islam dihina oleh pemimpin Islam sendiri.

Di bawah saya sertakan beberapa ungkapan ucapan pemimpin Islam yang menghina agama Allah, Islam dan al-Quran. Semoga Pemuda UMNO juga turut sama mengadakan 'demonstrasi' yang dasyat bagi mempamerkan 'keislaman' mereka.

1.) "Bagaimana kita boleh maju kalau orang Islam sudah tiada tangan dan kaki. Bagaimana mereka mahu bersaing dengan bangsa-bangsa lain kalau sifatnya sudah tidak cukup. Hukum Hudud tidak sesuai dilaksanakan di negara ini yang mempunyai rakyat berbilang kaum dan agama".(Dr. Mahathir b.Mohamed, 2.5.1992)

2.) 'Apabila hukum rejam batu sampai mati kepada penzina dan potong tangan kepada pencuri, nescaya ramailah rakyat Islam yang mati dan kudung tangan. Ini sangat memalukan umat Islam kerana orang bukan Islam akan sempurna sifatnya dan boleh meneruskan kerja'. (Dr. Mahathir b.Mohamed, 14.7.1992)

3.) "Negara akan huru-hara sekiranya undang-undang Islam dilaksanakan".
( Dato' Seri Najib Tun Abdul Razak, 20.4.1993)

4.) "Saya akan memastikan bahawa negeri-negeri yang diperintah oleh BN tidak akan melaksanakan hukum hudud". (Dr. Mahathir b.Mohamed, 1994)

5.) "Apakah dalam keadaan Islam sudah lemah, hukum (hudud) yang boleh melemahkan lagi orang Islam mesti dilaksanakan?" (Dr Mahathir Mohamad, 3.3.1994)

6.) 'Hukum rejam kepada penzina adalah primitif'. (Dr. Mahathir b.Mohamed, 3.3.1994)

7.) "Sukar dilaksanakan hukum syarak kerana masyarakat Malaysia bukan seratus peratus Islam". (Dr. Mahathir b. Mohamed : 4.8.1994)

8.) "Melaksanakan hukum hudud sehingga melemahkan orang Islam sehingga menjadi masyarakat kucar-kacir dan ditindas oleh orang lain tidak secocok dengan ajaran Islam"(Dato' Seri Mahathir Mohamad, 14.4.1994)

9.) "Tujuan menutup aurat ialah kerana di zaman Nabi, Arab jahiliyyah mempunyai nafsu yang kuat sehingga sering menculik dan merogol wanita daripada kabilah-kabilah lain, akibatnya ialah peperangan antara mereka yang tidak pernah tamat" (Dato Seri Dr Mahathir Muhamad, 5.9.1997)

10.)"Apa erti pembentukan negara Islam jika ia mundur". (Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi: 13.11.1999)

Sekian.

Monday, January 4, 2010

Keadilan untuk semua

Keadilan suatu yang mustahak. Di mana-mana. Keadilan mesti ditegakkan. Dalam keluarga, orginasasi mahupun negara. Ia mesti diletakkan sebagai suatu perkara yang utama. Kunci dalam mengelakkan penyelewengan, penyalahgunaan atau pengkhianatan. Amanah adalah jawapan kepada tertegakknya keadilan tersebut.

Amanah seorang bapa menjaga keluarganya. Amanah seorang ketua menjaga organisasinya. Amanah pemerintah menjaga rakyatnya. Bertitik tolak dari amanah tersebut, siapa sahaja mesti menjaga keadilan kepada yang berhak.

Islam menitik beratkan hal ini. Agama Buddha juga tidak terkecuali. Begitu juga Konfusianisme. Hindu sama. Kristian juga begitu. Keharmonian dalam menjaga keadilan dinyatakan kepentingannya oleh semua agama. Walaupun kita mungkin berbeza dari segi kepercayaan dan Tuhan, namun persamaan menegakkan keadilan tidak pernah dinafikan oleh mana-mana agama.

Keadilan dalam Islam dibuktikan oleh Nabi Muhammad SAW dalam pemerintahannya sebagai Ketua Negara. Begitu juga sebagai suami dan ayah. Dijaganya amanah itu seperti menjaga diri sendiri. Tidak pernah sekalipun Baginda mengkhianati amanah ini. Begitu tegar dan takut sekali beliau jika mengkhianati amanah dan tidak berlaku adil pada isteri, anak, sahabat dan rakyat!. Ketakutan baginda begitu ketara sekali. Ketakutan itu mencerminkan ketaqwaan Baginda pada Allah SWT. Menggambarkan keimanan Baginda. Itu jelas. Jika sesuatu perkara dikenakan pada rakyat, ia juga sama pada Aishah RA. Tidak pernah Baginda mengasing-asingkan peraturan atau undang-undang kepada rakyat dan kaum kerabat sendiri. Ketaqwaan Baginda wujud dengan menjaga amanah dan keadilan. Bukan untuk sesiapa. Tetapi kepada Allah SWT yang sentiasa memerhatikan segala tindak-tanduk manusia. Mungkin jika kita mengkhianat tiada siapa yang tahu. Namun, jangan dilupakan kepada Yang Maha Esa. Barangkali kita selamat di dunia, akhirat siapa tahu. Ini yang dipegang Rasulullah SAW. Akhirat. Syurga dan neraka. Dosa dan pahala. Tidak pernah dipisahkan keadilan dan amanah dengan agama. Sepatutnya begitu. Jangan diasingkan kedua-duanya. Barulah berasa takut kita.

Itu Rasulullah SAW. Kita juga patut mencontohi beliau. Dalam apa jua sudut. Sebagai ketua dalam organisasi. Keadilan mesti diutamakan. Jangan diletakkam kepentingan diri dan pilih kasih dalam apa jua segi. ‘Self interest’ mesti dipisahkan dari kegiatan organisasi. Jangan kerana ‘mereka’ rapat dengan kita, maka keputusannya berat sebelah. Jangan kerana ‘mereka’ berjauhan, lain pula tindakannya. Ini sama sekali berbeza dengan pendekatan agama. Sebagai ketua, Nabi Muhammad SAW wajar dicontohi. Ambil pendekatan Baginda. Tiru Baginda. Jagalah amanah. Jangan dikhianati amanah yang diberi. Pendekatan agama mesti didekatkan. Itu wajar bagi mencerminkan diri sebagai ketua. Menjaga sebuah organisasi samalah seperti menjaga rakyat dalam sesebuah negara. Segala percaturan dan pembahagian tugas mestilah adil. Semua urusan. Jangan dikecualikan. Pemberian kepada mana-mana pihak mesti diterapkan dengan nilai-nilai keadilan. Adil tidak semestinya sama. Tetapi diletakkan sesuatu pada tempatnya. Kalau baik kata baik, kalau buruk katakan buruk. Pilih kasih mesti dijauhkan. Jika tidak, akan ada yang membenci. Ada yang negatif. Ada yang itu, ada yang ini.

Jawapan kepada keadilan adalah agama. Jangan dipisahkan elemen agama dalam menjaga amanah dan keadilan pada pekerja. Ketua bertanggungjawab. Sampai ke akhirat. Mungkin kita tidak merasai apa-apa penganiyaan pada pekerja. Tetapi di akhirat siapa tahu. Di sana, mulut dikunci. Segala tindak-tanduk kita yang mengkhianati amanah dan keadilan diulang tayang. Jangan dipisahkan sebarang keputusan dengan agama. Tidak berlaku adil jawapanya berdosa. Berdosa tempatnya neraka. Itu ketua. Bukan orang lain.

Doa ‘mereka’ yang dizalimi sentiasa diberkati Allah SWT. Kalau dirasai dikhianati atau tidak diadli dengan sewajarnya. Itu janji Allah SWT pada hambanya.

Menjana Perubahan

Pekerjaan sebagai pendidik bukanlah suatu yang mudah. Rata-rata pendidik baik guru, tutor dan pensyarah bertanggungjawab melahirkan ‘manusia’. Itu janji yang dicipta bersama. Kalaupun kita tidak berjaya melahirkan pengurus, jurutera, doktor, ahli perniagaan, peguam, pegawai atau lain-lain. Melahirkan ‘manusia’ pun sudah dikira kita Berjaya. Falsafah pendidikan yang diteraskan dalam Laporan Razak menjadi ‘guideline’ kepada semua pendidik. Kita bukan hanya bekerja atau mencari makan dengan dunia ‘ilmu’ malah lebih dari itu. Tanggungjawab dan amanah. Kepercayaan yang diberikan ibubapa kepada guru dan pensyarah begitu tinggi sekali.

Harapan menggunung itu wajar dibalas dengan komitmen yang jitu. Bukan setakat ‘mencari makan’. Mentaliti ‘bekerja’ mesti diubah dengan segera. Sepatutnya kita meletakkan nilai ‘pendidik’ sebagai kunci utama. Pendidik bukan hanya mengajar semata-mata. 8.30-5.30 bukan jadual utama. Ia lebih dari itu. Penyampaian ilmu pengetahuan kepada para pelajar mesti mengjangkaui masa tersebut. Lebih. Lebih dari itu.

Kemuliaan pada pendidik menjaminkan kerjaya kita dianggap mulia, dihormati dan disegani. Jangan dibinasakan persepsi masyarakat pada kerjaya kita semua. Jangan kerana ‘nila setitik, rosak susu sebelanga’. Harapan masyarakat pada kita begitu tinggi sekali. Setiap dari mereka mengharapkan sinar dan cahaya. Mengubah manusia menjadi ‘manusia’. Bukan perkara yang mudah. Mentaliti kita mesti diubah bagi perlaksaan perkara itu.

Keberkesan kejayaan bukanlah terletak kepada peperiksaan semata-mata. Keunggulan seseorang pelajar jauh dari itu. Pengukuhan jatidiri mereka menjadi ‘identiti’ kejayaan kepada golongan pendidik. Berjaya atau tidak mereka menjadi ‘manusia’ terletak dibahu kita. Tanggungjawab itu besar sekali. Namun, ia merupakan suatu yang indah jika dikecapi.

Tugas kita bukan ‘mencari makan’ semata-mata. Persepsi terhadap perkara itu perlu diubah. ‘Mentaliti’ sebegitu wajar dipinggirkan.

Bersama menjana akademik!