Wednesday, November 24, 2010

Akal dan Hati

Kekuatan dalaman diri seseorang lahir dari kekuatan akal fikiran. Juga hatinya bagi menerima sesuatu perkara yang amat sukar. Tentunya menjadi kesukaran kepada seseorang untuk menerima hakikat dalam kehidupan dengan cara yang mudah. Mustahil sama sekali. Ketentuan yang difitrahkan kepada manusia adalah sebahagian sesuatu takdir yang harus kita terima bulat-bulat. Apatah lagi kalau kita berbicara soal rezeki dan jodoh, ajal dan maut. Ianya dilihat terlalu bergantung kepada takdir.

Manusia dianugerahkan Allah swt untuk berfikir secara waras. Berfikir tentang kebaikan dan keburukan. Kebaikan atas dirinya. Keburukan juga atas dirinya sendiri. Maka sekiranya berlaku sesuatu perkara. Perlu ia bertanggungjawab atas apa yang dilakukan. Jangan salahkan sesiapa. Kerana akal fikiran yang dianugerahkan Illahi tidak dikongsi secara beramai. Ia diberi satu-satu secara berasingan kepada setiap manusia.

Ia untuk digunakan oleh manusia.

Bukan disimpan seperti barangan antik. Atau perhiasan diri semata-mata.

Kekuatan itulah yang memerlukan seseorang manusia bertindak secara waras. Menggunakan akal dan hati sebagai penyokong. Disebut naluri. Kekuatan akal kadang-kadang dicabar dalam pelbagai situasi. Samada untuk kita memilih sesuatu atau 'seseorang'.

Kekuatan dalaman untuk itulah yang menjadi sukar. Boleh menerima sesuatu yang pahit dan terkesan atas dirinya. Ke kiri dan ke kanan. Ia menjadi serba-salah. Kekuatan untuk menerima hakikat atas apa yang dilakukan oleh diri kita sendiri.

Kekuatan itu tidak ada secara semula jadi. Ia dibentuk dari pelbagai faktor dan sebab. Atas pilihan itu ia menjadi penyakit yang mendesak hati untuk mengatakan 'ya' pada sesuatu perkara. Atau 'tidak' pada sesuatu perkara. Mengesahkan sesuatu atau menidakkan sesuatu. Kemahiran itu dpanggil 'membuat keputusan'. Membuat keputusan atas dorongan akal yang menimbang salah dan betul, buruk dan baik, panjang dan pendek serta boleh ataupun tidak. Ia mesti juga berdasarkan dorongan hati. Hati yang menyokong atas keputusan yang dibuat oleh kita sendiri. Betul ataupun tidak keputusan yang akan dicapai. Betul atau tidak pemilihan diri. Betul atau tidak keputusan itu. Benar atau tidak. Untung atau rugi.

Semuanya akan melayang-layang di kepala anda. Kerana hujung keputusan itu tidak akan dapat dilihat dan dinilai. Samada ia bertepatan dengan kehendak kita. Kerana manusia tidak dapat melihat masa depan dirinya. Ia terletak di tangan Allah swt. Hanya Allah Yang Maha Berkuasa mengetahui apa yang akan berlaku esok, lusa, minggu depan, tahun depan dan masa hadapan.

Kita manusia hanya layak untuk merancang itu dan ini. Segala ketentuan di tangan Allah swt.

Maka sebab itulah ia terlalu sukar untuk kita membuat keputusan. Menelan hakikat untuk ke depan. Ramai yang tidak memahaminya. Malah ada yang mengajak untuk kita melupakan sesuatu perkara yang telah terjadi. Sedangkan mereka begitu mengetahui ia amat sukar sama sekali. Sukar untuk seseorang menerima hakikat yang pahit itu.

Kesukaran itulah memerlukan seseorang mempunyai kekuatan dalaman dalam diri.

Kekuatan menelan apa sahaja yang berlaku. Ketabahan seseorang untuk menerima hakikat yang telah ditakdirkan oleh Allah swt kepada mereka.

Mereka mempunyai kekuatan dalaman yang jitu. Boleh menerima sesuatu dengan hati yang terbuka. Baik buruk seseorang dinilai dengan akal dan hati. Tiada langsung kekesalan atas keputusan yang dibuat. Bahkan, mereka langsung tidak memikirkan apa yang akan terjadi atas keputusan tersebut. Hati mereka begitu tegas dan kuat. Kekuatan itulah yang menjadi dorongan kepada mereka untuk membuat keputusan.

Bilakah hati saya akan menjadi sebegitu?

Kuat dan tabah.

Menerima sesuatu perkara dengan hati yang terbuka,

Memaafkan sesuatu yang cela. Membuat keputusan tanpa menoleh ke belakang.

Tabah menghadapi saat-saat sukar.

Bilakah?

1 comment:

  1. "Sabar.. Dan percaya pada diri.. apa yg terjadi itu.. pasti ada hikmah..Keputusan di buat mengikut fikiran..dan di susuli dgn hati..bila kita ikut kan hati rasa kesian, rasa marah, rasa geram..rasa kecewa..semua nya ada...sabar & tenangkan fikiran.. dan cuba berfikir secara waras..insyallah..ada jalan penyelesaian nya..doa yg terbaik..minta pendapat dari org tua...dan buat penilaian...yg paling penting..bersabar ya adek..semua dugaan ini datang dari nya..

    ReplyDelete