Thursday, April 21, 2011

Sumpah:Hanya Patuh Kepada Peraturan Allah


Saya kira sudah lama sy tidak menulis di dalam blog. Selepas banyak menghabiskan masa berbahas di Facebook. Hari ini, saya memperoleh satu lagi maklumat yang boleh dikongsi bersama. Terpulang untuk kita mempercayai sejauh mana pandangan ini. Ia datang dari ulama yang suatu ketika dahulu menjadi ahli panel forum perdana hal ehwal Islam. Rujukan yang sama. Kitab yang sama. Pandangan sahaja yang berbeza. Lain-lain pandangan juga digalakkan untuk dibaca bersama. Tiada yang salah dalam memberi pendapat. Namun, yang berbeza ialah cara kita menghuraikan pandangan tersebut dan rujukan yang betul lagi benar.

Dari Harakah

Setahu para ulama, tiada sumpah dalam urusan yang melibatkan zina, rogol liwat (melainkan isteri yang mengadu kepada hakim bahawa dia diliwat oleh suami dibenarkan bersumpah), tuduhan seseorang itu melakukan zina tanpa mengemukakan saksi (qazaf) berpandukan tindakan yang tidak memanggil Safwan atau Aisyah bersumpah dalam peristiwa fitnah ke atasnya.

Demikian penerangan yang diberikan Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengenai cabaran bersumpah dari bekas bendahari agung Perkasa, Datuk Shuib Lazim kepada dua pemimpin kanan PAS, Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Presiden, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini bagi membuktikan kebenaran dakwaan rakaman video seks yang dikaitkan dengan Anwar.

“Sumpah hanya ada dalam urusan yang bukan jenayah di atas, yang pembuktian hanya dilakukan melalui penyaksian atau pengakuan.

“Andainya dibenarkan sumpah dalam urusan qazaf, nescaya akan binasalah masyarakat, apabila seseorang wanita atau lelaki yang khianat atau berniat jahat kepada seorang imam, sanggup bersumpah dengan nama Allah:

“Wallahi, wabillahi, watallahi, imam itu telah merogol saya, nescaya akan punah keyakinan masyarakat pada imam, demikian seterusnya,” terang Tuan Ibrahim dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily hari ini.

Lantaran itu, katanya yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang, Rasulullah s.a.w mengkategorikan qazaf sebagai dosa membinasakan – yakni ia akan membinasakan diri yang dituduh, keluarganya mungkin bercerai-berai, masyarakat hilang kepercayaan padanya dan institusi atau syarikat akan membawa hilang kredibiliti kepada majikannya.

“Bayangkan kalau sumpah dibenarkan dalam tuduhan zina, rogol dan liwat, sudah tentu akan ada golongan yang akan mengambil kesempatan sanggup bersumpah demi menjatuhkan maruah seseorang,” tambahnya.

Disebabkan itu, katanya, Islam menyeru umatnya agar berpegang pada panduan ilmu yang disampaikan oleh para ulamak yang muktabar.

“Apabila Dr Yusuf al-Qardhawi menjelaskan tiadanya sumpah dalam urusan qazaf, bermakna inilah panduan syarak yang perlu dipatuhi oleh umat Islam.

“Semoga Allah menjauhi kita dari membuat tuduhan yang berupa qazaf kerana ia termasuk dalam tujuh dosa besar yang membinasakan umat manusia,” kata Tuan Ibrahim.

Oleh itu, beliau berkata, Shuib harus mendalami peraturan syarak sebelum mencabar pemimpin PAS untuk bersumpah.

“Yang minta saksi ini bukan PAS, tapi Allah dan Rasul-Nya. Jangan kita anggap Allah jahil dalam membuat peraturan-Nya – Allah yang Maha Mengetahui dan Maha Hakim dalam menetapkan hukuman-Nya.

“Kita mesti ikut peraturan Allah, bukan membuat peraturan baru yang bercanggah dengan peraturan Allah. PAS tidak berhasrat membela sesiapa tetapi kita perlu ikut peraturan Allah,” tegas Tuan Ibrahim.

Kalau Shuib merasakan klip video seks itu satu kes penting, kata Tuan Ibrahim dia perlu menayangkannya pada hakim yang bakal memutuskan sesuatu kes dan bukannya kepada orang ramai untuk minta penghakiman awam.

“Dia perlu mengadu kepada polis bukan tayang pada wartawan untuk jadi bahan menjatuh seseorang, kalau ianya benar sekalipun, apa lagi ianya penuh dengan pertikaian kesahihannya,” bidas Tuan Ibrahim, yang turut melahirkan rasa kesal ke atas kelambatan polis untuk mengambil tindakan terhadap trio Datuk T yang diketuai bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik yang melakukan jenayah secara terang dengan menyiarkan video lucah kepada orang awam.

Dari Keadilandaily

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinangyang bersidang pada 7 April 2011 lalu, telah membincangkan mengenai isu penyiaran video lucah yang didakwa melibatkan ketua pembangkang.

Mesyuarat yang dipengerusikan Mufti Kerajaan Pulau Pinang, Datuk Haji Hassan Ahmad, memutuskan bahawa penyiaran video lucah kepada orang ramai jelas bertentangan dengan Hukum Syarak.

Menurut AJK Fatwa berkenaan, rakaman video tidak boleh diterima sebagai bukti keterangan dalam Islam kerana ianya boleh direka dan dilakonkan semula.

Manakala mereka yang terlibat menyiarkannya adalah tidak bermoral sebagaimana firman Allah dalam surah berikut:

Surah an-Nur : ayat 4

“Dan orang yang melimparkan tuduhan zina kepada perempuan yang baik-baik, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka lapan puluh kali sebat; dan janganlah kamu menerima penyaksian mereka selamanya; dan mereka adalah orang yang fasik”.

Surah an-Nur : ayat 13

“Sepatutnya mereka (yang menuduh) membawa empat orang saksi membuktikan tuduhan itu. Oleh kerana mereka tidak mendatangkan empat saksi itu, maka mereka itu
pada sisi hukum Allah adalah orang yang dusta”

Surah an-Nur : ayat 23

“Sesungguhnya orang yang menuduh wanita-wanita yang terpelihara kehormatannya, yang tidak memikirkan sebarang kejahatan, lagi beriman, akan dilaknat (oleh Allah) di dunia dan di Akhirat, dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang besar”.

Surah al-Hujarat : ayat 6

“Wahai orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang yang fasiq membawa sesuatu berita, maka selidikilah kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada kaum dengan sebab kejahilan kamu sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu lakukan”.

Oleh itu kata Jawatankuasa Fatwa tersebut berkata , orang awam dinasihatkan tidak menonton video itu kerana menurut Hukum Syarak dan Undang-Undang Islam, rakaman video tidak boleh dijadikan hujah dalam pembuktian untuk menjatuhkan hukuman had zina.

“Malah orang yang menyiarkan video itu boleh dijatuhi hukuman had qazaf (tuduhan zina) jika gagal membawa empat orang saksi yang adil.