Wednesday, November 21, 2012

Doa

Polemik doa sehari dua ini amat menarik. Menarik dari segi penghujahan yang dibuat oleh kedua-dua belah pihak. Pihak yang berdoa dan yang didoakan. Mengapa entah. Marah sungguh pihak yang diketahui doa untuk menghancurkan parti mereka dan komponennya. Perlu dijelaskan kepada kita semua. Kandungan doa tersebut tidak dihalakan kepada ahli-ahli dalam parti tersebut. Jadi, janganlah bimbang. Kepada penganut-penganut parti nasionalis itu, anda tidak perlu gusar. Anda hidup seperti biasa. Tidak terkeluar dari landasan yang benar. Mengapa suara-suara respons seakan begitu takut dengan doa yang dipimpin TG Nik Razi Nik Mat itu. Seakan takut. Takut dihancurkan dan dimusnahkan. Puas saya berfikir. Takut kerana salah. Berani kerana benar. Apa bimbang dengan doa? . Bukan kerja kita menentukan doa itu akan dimakbulkan. Biarkanlah sahaja mereka dengan doa itu andai anda dipihak yang benar.

Kedua. Fahamlah kita betapa hebat kuasa berdoa. Bukankah doa itu adalah senjata orang mukmin. Beratus ribu kandungan doa di dalam al-Quran. Andai ada masa belik-beliklah sebentar. Membaca tafsir al-Quran. Lihat dengan mata sendiri. Bagaimana Allah swt menggunakan 'bahasanya'. Kutukan kepada yang musyrik dan munafik. Padanlah dengan perbuatan manusia yang sedemikian rupa.

Andai ada yang membuat jahat kepada kita. Berkehendak diam seribu bahasa itu tanda kejahilan kita. Sekuat-kuat untuk menentang. Kalah jua dengan doa. Doa senjata orang mukmin. Mohon dan mintalah. Hanya Allah swt berkuasa memakbulkan atau menolak. Andai makbul. Alhamdulillah. Andai tidak, doa lagi!

Rasulullah SAW adalah manusia yang paling mulia dikalangan manusia. Baginda juga tidak lekang dari berdoa. Semua tindakannya bermula dengan doa. Makan, minum, bergerak dengan kenderaan, meninggalkan rumah, hendak berperang, tidur, ke tandas, masuk ke masjid, menerima cahaya mata, mati dan bermacam-macam lagi. Semuanya bermula dengan doa. Doa yang baik dan doa ke atas manusia jahat. Ada dibuatnya. Kisah-kisah para Nabi juga menceritakan kepada kita juga betapa hebatnya doa para Nabi. Nabi Ibrahim memohon kepada Allah swt saat dihukum RajaNamrud. Nabi Luth kepada kaumnya yang laknat. Nabi Nuh juga berdoa kepada Allah swt memohon kutukan kepada kaumnya yang jahil.

Doa juga boleh ditujukan kepada sesiapa. Apatah lagi suasana sekarang. Kita diminta berdoa kepada pejuang-pejuang Palestine di Gaza. Yang dibaham teruk oleh Zionis Laknatullah. Bersama-samalah kita berdoa agar diberi kemenangan kepada Briged Al-Qassam yang berjuang habis-habisan menentang tentera Zionis Laknatullah.

Mungkin masyarakat melihat ia keterlaluan. Memohon kepada Allah swt untuk menang dalam Pilihanraya suatu keganjilan kepada sesetengan manusia. Barangkali mereka tidak mengetahuinya. Bahawa Allah swt sedia 'mendengar' apa sahaja doa. Menang politik juga adalah jalan untuk mendapatkan kuasa. Kuasa politik itulah hendak digunakan untuk mengangkat kemenangan agama Allah swt ditempat yang sepatutnya. Maka relevanlah Allah swt dimohonkan pertolongan yang sewajarnya. Inilah kehebatan Islam yang tiada kepada penganut agama lain. Mengadu kepada Allah swt adalah saat istimewa seorang hamba kepada Tuhannya. Kerana politik itu tiada pisah dengan Islam. Mesti digunakan Islam untuk berpolitik. Memahami itu. Fahamlah doa yang dipohon itu.

Berdosakah berdoa kehancuran sesama Islam?. Jawapannya sudah pasti tidak. Ada riwayat yang mengisahkan Said b. Zaid telah berdoa kepada Allah swt berkenaan dengan seorang wanita yang bernama Arwa binti Ausy. Kerana perempuan tersebut telah menuduh Said b. Zaid mencuri tanah haknya. Maka kes kecurian ini telah dihadapkan kepada Marwan b. Hakam. Antara isi kandungan doa Said b. Zaid ialah, "Ya Allah, jika dia berbohong, butakanlah matanya dan bunuhlah dia di atas tanah". Ternyata, Arwa binti Ausy mati di atas tanahnya sendiri kerana terjatuh di dalam lubang dan buta mata di saat hujung nyawanya. Dan dia sentiasa mengungkap bahawa dia telah terkena doa yang dipohon oleh Said b. Zaid.

Kisah kedua ialah Saad b. Abi Waqqas. Seorang sahabat Rasulullah yang dijanjikan syurga. Besar jasanya kepada agama Allah. Apabila berjaya melebarkan syiar Islam hingga ke China. Beliau pernah dituduh menyeleweng dalam pemerintahnnya di Kufah. Maka, Saidina Umar memecatnya dan menggantikannya dengan Ammar b. Yasser. Selepas itu, Saidina Umar telah melakukan penyiasatan di Kufah dengan membuat selidikan ke atas masyarakat Kufah berkenaan pemerintahan Saad b. Abi Waqqas sebagai Gabenor Kufah. Semua respons yang diperolehi Saidina Umar menyatakan bahawa pemerintahan Saad b. Abi Waqqas tiada kesalahannya. Kecuali respons dari sebuah masjid yang dimiliki oleh Bani Aabs. Di sana ada seorang yang bernama Usamah b. Qatadah. Beliau digelar sebagai Abu Saadah. Usamah b. Qatadah menyebut. "Jika engkau hendak mengetahui pemerintahan Saad b. Abi Waqqas, bahawa beliau tidak menyertai peperangan, jika membahagikan harta perang tidak adil dan dia adalah seseorang yang berhukum dengan tidak saksama". Maka, Saad b. Abi Waqqas berdoa kepada Allah 3 perkara. "Ya Allah, jika dia ini bercakap hanya untuk menunjuk-nunjuk dan berbohong, maka Engkau panjangkanlah umurnya, panjangkan kefakirannya dan dedahlah dia kepada fitnah". Maka diakhir hayat Usamah b. Qatadah, dia tua sehingga jatuh bulu matanya, ahli keluarganya ramai dan dia miskin. Dia juga sering menggatal dengan anak gadis orang dan kuat meraba.

Kisah-kisah boleh dijadikan tauladan kepada kita. Apakah polemik yang disebutkan di atas benar-benar kesahihnya atau hanya permainan media massa yang cukup bahaya dalam usaha memecah belahkan umat Islam dengan kejahilan mereka sendiri. Betapa jahil sehingga ke peringkat bodoh yang nyata.

Perlulah kita mempelajarinya. Bukan bergantung harap kepada media massa yang sering kalah dalam mahkamah atas laporan palsu.

Gunakanlah akal.

Monday, November 19, 2012

Hanafee b. Abd. Rahman

Pemergian sahabatku pada 18-11-2012, 9 pagi akibat serangan jantung adalah perkara yang sakit menyakitkan untuk ditelan. Pemergian yang secara tiba-tiba dalam usia 27 tahun. Muda. Isteri yang sedang mengandung benihnya, sudah tentu bukan suatu perkara yang mudah untuk diterima. Mati itu pasti. Mati itu benar. Maka sebagai manusia kita harus mengakui tentang perkara tersebut. Sebagaimana firman Allah swt, dalam Surah Al-Imran, ayat 185, "Tiapa-tiap yang bernyawa akan merasakan mati. Dan sesunggguhnya pada hari kiamat sajalah disempurnakan pahamu. Barang siapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka ia telah beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan"

Maha Suci Allah yang membuktikan kebenaran tentang kematian itu. Tidak kenal usia dan latarbelakang. Dibuktikan kepadaku bahawa umur yang muda. Tidak pula akan hidup selamanya. 

Kesedihan ini akan menjadi nyata selama-lamanya. Sahabatku, yang dikenali sebagai 'Sahabat Dunia Akhirat' padaku. Tanpa perlu merujuk kepada istilah manusia lain. Tanpa perlu mendengar apa dikata manusia lain. Tanpa perlu pedulikan apa yang disebut oleh manusia lain. Hanafee b. Abd.Rahman adalah sahabatku dunia akhirat.

Segala kenangan yang kita lalui bersama. Sejak kita menggenggam erat tangan. Bersalaman untuk berkenali. Mengetahui dirimu secara jelas dan nyata. Tiada yang dapat digantikan dengan harta benda. NIilai persahabatan yang kita jalin bersama. Adalah penghargaan kita di dunia. Ditemukan oleh Allah swt. Maka diakhiri jua oleh Allah swt.

Akan aku pahatkan segalanya. Air mata menjadi temanku. Al-Fatihah penyambung antara kita selepas ini. Tidak akan aku biarkan diriku terpalit lagi dengan kesalahan-kesalahan yang dilalui.

Aku benci dengan diriku sendiri. Saat kau hidup. Aku biarkan dirimu bersendirian. Pada mata yang memandang. Melihat ini satu kebiasaan. Tetapi pada diriku. Ia adalah kesalahan. Kesalahan yang tidak dapat aku ukilkan dengan kata-kata. Mungkin. Ini adalah takdir Allah swt. Melihatmu bersama kebahagian dari jauh. Mendengar khabar beritamu dari pihak lain. Adalah kesalahan dariku. Tidak mencari dan mendekatimu.

Sahabatku. Aku memaafkan segala kesilapan yang lalu antara aku dan kamu. Tidak terdetik dihatiku persoalan dendam yang jitu. Tiada lagi khilaf antara kita di atas dunia. Segala-galanya aku halalkan. Dunia dan akhirat. 

Bermunajat aku siang dan malam. Memohon agar rohmu tenang di sana. Bersua kembali dengan Pencipta. Dalam keadaan syurga. Aku bermohon agar kau ditempatkan bersama-sama dengan golongan yang beriman dan beramal soleh. Tenang bersama kedua ibubapamu. Tenang bersama PenciptaMu.

Sahabat. Kau adalah permata hatiku. Salahnya aku kerana membiarkan persahabat kita 'digantung' begitu sahaja. Terkilannya aku dengan diriku sendiri. Membiarkan kau berseorangan tanpa teman.

Maafkanlah aku Hanafee b. Abdul Rahman. Maafkan aku. Maafkan aku. Maafkan aku.

Aku sayang kepadamu. Sayangnya aku bagai menyayangi saudaraku sendiri. Kau adalah sabahatku dunia akhirat.

Ketemulah kita nanti di alam yang lain. Akan aku mendekatimu. Mengenalimu sekali lagi. Akan ku tunggu saatnya itu. Saat jasadku dijemput Malaikat Izrail. Untuk bertemu dengan mu.

Semoga rohmu tenang di sana........




Sunday, June 10, 2012

Karnival Janji Ditepati

DS Najib Tun Razak bersama isteri beliau ke kampung halaman saya pada Jumaat, 8hb Jun yang lalu. Saya mengambil kesempatan pergi ke sana. Melihat sendiri dengan mata kepala. 'Wajah Sang Perdana Menteri', kerana seumur hidup saya. Ini lah kali pertama saya melihat wajah PM itu. Sebelum ini tidak pernah. Saya hadir sebagai rakyat Malaysia yang sayangkan negara dan pemerintahnya. Kerana pada pengamatan saya. Sudah pasti ada rahmat disebaliknya andai PM sebagai Ketua Kerajaan negara anda melawati kawasan atau kampung halaman anda. Sudah tentu juga. Ia akan menggembirakan ramai rakyat. Terutama rakyat negeri Kedah dan Kulim itu sendiri. Apabila PM hadir ke kawasan mereka. Sungguh mereka gembira.

PM hadir ke Karnival Janji Ditepati pada sebelah petang. Umum mengetahui. Sebelum ke Kulim, beliau hadir ke P.Pinang. Bagi melihat sendiri 'kekalutan' masyarakat P.Pinang terutama Melayu yang semakin hari, semakin dipinggirkan di sana. Entah beribu ribu sudah orang Melayu yang dihalau dari P.Pinang. Belum dikira lagi yang mati disembelih. Bangunan-bangunan milik orang Melayu yang dimusnahkan dan dibakar. Ada juga, penempatan-penempatan orang Melayu di sana yang dirampas. Hebat. Malang sungguh orang Melayu di P.Pinang. Mereka bertuankan 'orang Cina' di sana. Sejak Merdeka, P.Pinang adalah milik orang Melayu. Pemerintahnya juga 'dikenali Melayu'. Sebelum 'budak Cina' itu memerintah, ada seorang hamba Melayu berpangkat Laksamana yang memegang tampuk pemerintahan P.Pinang. Di kenali sebagai Laksamana Koh Tsu Koon. Beliau ternyata hebat. Terutama selok belok tari Melayu, drama pentas Melayu, lagu-lagu nusantara dan makan menggunakan tangan. Walaubagaimanapun, saya tidak pasti samada Laksamana itu cebok atau tidak ketika hadas besar. Barangkali kerana terlalu tebal Melayunya, saya yakon dan percaya, dia selesa menggunakan 'tisu'.

Karnival Janji Ditepati berlangsung dengan tema 'Orange'. Oren dalam BM. DS Najib dan isteri menggayakan kemeja T berwarna oren bagi menghidupkan suasana di karnival tersebut yang berlangsung keseluruhannya di Taman Tek.Hi-Tech, Kulim, berhadapan sebuah kilang, Fuji. Saya ke sana dengan isteri. Isteri saya bekerja di H-Tech, sebuah anak syarikat milik Kerajaan Negeri Kedah.

Saya ke sana atas nama Rakyat Malaysia. Bahkan di dalam kepala saya. DS Najib hadir sebagai Ketua Kerajaan Malaysia. Namun, sebaliknya yang saya lihat tidak yang saya duga.

Sebelum kehadiran beliau. Penuh bendera-bendera UMNO/BN di pacakkan di bandar Kulim. Gerak Pemuda UMNO sejak sekalian lamanya mengerah tenaga memasang bendera-bendera ini bagi menyambut Ketua Kerajaan negara kita.

Pemuda-pemuda UMNO dengan sokongan 'mat-mat rempit' berarak dengan kawalan polis trafik membunyikan hon sepanjang konvoi mereka dari satu-satu kawasan ke Hi-Tech dengan penuh kebanggaan. Di tapak karnival sokongan polis tidak berbelah bahagi, dibantu dengan cawangan Polis Trafik, RELA mereka mengawal sepenuhnya kedatangan PM dan perarakan konvoi penyokong-penyokong UMNO/BN. Ke semua khemah-khemah pameran dibuka oleh Jabatan Kerajaan termasuklah beberapa agensi Swasta. Pelik saya, Pertubuhan Vateran ATM juga hadir dengan segak bergaya mengenakan diri dengan Baju Melayu/bersongkok hitam di palitkan diri dengan pingat-pingat kebesaran. Agensi PTPTN juga hadir.

Seluruh karnival itu disertai Agensi Kerajaan Persekutuan. Termasuklah Hot.FM dan TV3 sebagai penyiar rasmi karnival. Untuk makluman, kos atau penganjuran Karvival Janji Ditepati ini adalah anjuran Media Prima. Mereka menyatakan sokongan kepada PM untuk terus mempromosikan 'Janji-jani PM' pada rakyat Malaysia.

Seluruh ucapan DS Najib adalah berkenaan dengan kejayaan yang dilakukan Kerajaan BN kepada rakyat Malaysia. Seluruhnya diulang rakam termasuklah pemberian BR1M, RM100 baucar buku, bantuan itu, bantuan ini dan terus nya menyindir pembangkang dengan kejayaan UMNO/BN membangunkan negara. Penyokong-penyokong UMNO/BN di bawah pentas bersorak gembira. Melihat Presiden parti mereka berucap dengan penuh semangat. DS Najib, sekali mengulangkan ungkapan 'tengok ramai macam ini yang hadir, boleh buat PRU dah, boleh menang?'.

Terkesima saya. Pada pengamatan saya. DS Najib akan hadir sebagai PM bukan Presiden UMNO atau Penegrusi BN. Kalau kehadiran beliau sebagi Pengerusi BN, apa perlu seluruh jentera kerajaan diarahkan untuk hadir memberi sokongan kepada beliau. Mengapa dikerahkan Polis? Rela? Pelajar-pelajar Kolej Komuniti? termasuk kemudahan bas agensi Kerajaan untuk pergi ke sana menyambut Presiden UMNO itu?. Bukankah jika UMNO kuat dan yakin dengan sokongan rakyat kepada mereka. Gunakan sahaja jentera parti dan komponen BN seperti Pemuda, Wanita dan Puteri bagi menggerakan program BN itu.

Sebaliknya, sindrom harta kerajaa adalah harta UMNO/BN belum terpisah. Tanpa segan silu. Mereka penuh bangga menggunakan segala kemewahan harta kerajaan (harta rakyat) untuk kepentingan parti. Ini adalah salah.

Kebanyakkan dari masyarakat kita. Belum dapat memahami 'istilah kerajaan dan parti' dengan jelas dan betul. Kita biasanya menganggap parti itu kerajaan dan kerajaan itu adalah parti. Maka, segala kemudahan dan hak kerajaan akan dianggap hak parti tersebut. Mereka menggunakannya tanpa usul periksa dan semahu-mahunya. Itu adalah salah. Salah sama sekali.

Kalaulah PM hadir atas nama Ketua Kerajaan Malaysia. Saya yakin. Kerajaan Kedah harus menyambut kedatangan beliau sebagai Ketua Kerajaan Pusat yang mahu menziarahi jajahan-jajahan negaranya. Sama seperti menziarahi 'anak-anak' sendiri bagi melihat perkembangan 'anak-anak' dari segi pencapaian ekonomi, pendidikan, infrastruktur, prasarana negeri, kemudahan-kemudahan awam, kebajikan dan lain-lain. Malangnya, itu tidak berlaku. Kehadiran beliau  adalah bersifat politik dan meraih sokongan untuk tujuan PRU-13. Maka, eloklah beliau disambut 'mat-mat rempit' UMNO yang rata-ratanya remaja belasan tahun. Hasil 'paksaan' kepada kakitangan awam. Maka, DS Najib bangga menyebut 30,000 kehadiran ke karnival tersebut bagi menyambutnya ke Kulim.

Semua yang hadir juga diberi t-shirt. Ramai yang dapat.

Anda dapat?

Saya dapat. Terima kasih UMNO. Insyallah saya akan pakai t-shirt tersebut.

Thursday, June 7, 2012

Keghairahan Semula

Penuh dengan aktiviti. Saya kira tahun 2012 adalah tahun yang agak sibuk bagi saya. Sudah lama saya tidak berkesempatan mengemaskini blog yang saya kira adalah minat saya yang paling mendalam. Melihat kepada diri. Saya bukanlah cemerlang dalam bidang-bidang seperti muzik, kreativiti, inovasi dan lain-lain. Saya bukan manusia kreatif seperti manusia-manusia lain. Yang diketahui saya, adalah menulis dengan citarasa sebegini.

Peluang mendapat akses internet bukan lagi masalah pada saya. Ditempat kerja atau di rumah. Namun, peluang menulis pula tiada. Sebelum pergi lebih jauh. Saya sudahpun berkahwin pada tahun lepas. Pembaca dapat merujuk 'facebook' saya bagi melihat 'siapa' isteri saya. Hampir sudah 6 bulan saya berkahwin. Insyallah, pada masa akan datang. Saya akan coretkan kisah-kisah kenangan manis dalam perkahwinan saya.

Tahun ini juga. Adalah tahun cabaran dalam politik negara kita. Sebagaimana 2008. Bila blog ini dimulakan. saya antara individu yang aktif terbabit secara tidak langsung dalam PRU-12 yang lepas. Sama seperti biasa. Blog ini saya gunakan untuk memperincikan lagi kisah-kisah, coret, suasana, demam pilihanraya. Menjurus ke arah demokerasi di Malaysia. Saya akan terus meletakkan ciri-ciri demokerasi untuk kita sebagai rakyat Malaysia melihat keadaan dan parti yang mesti diundi pada PRU yang akan datang. Bukan politik adu domba dan perkauman. Sebaliknya, politik ke arah keuntungan masyarakat Malaysia sejagat.

Umum juga mengetahui. Tentang suasana politik itu.

Saya akan cuba mengaktifkan diri semula. Menjadi 'perantara' kepada peminat blog untuk meneliti dan menganalisis setiap elemen politik tersebut.

Wednesday, January 11, 2012

Bukan hanya Anwar pelu dibela


Setelah 3 tahun bertarung dengan penuh semangat dan keletihan di suatu-suatu masa. Akhirnya, Mahkamah Tinggi, Jalan Duta, melalui penghakiman yang dibaca oleh Hakim yang teramat mulia, memutuskan Saudara Anwar Ibrahim tidak didapati bersalah dalam kes Liwat II, membabitkan pertuduhan oleh seorang pemuda yang diketahui usianya 25 tahun. Bangga dengan usia yang muda, tidak mampu menahan asakan 'parang' tumpul yang perlu di 'asak' dari belakang, Saiful Bukhari merelakan dirinya diliwat oleh si lelaki tua berumur 40 tahun lebih tua darinya. Bayangkan!

Teringat persoalan tersebut dibangkitkan oleh seseorang dalam kuliah Ustaz Azhar Idrus. Jawapan yang jenaka dan sinis. Membuktikan 'tidak mustahil' itu boleh berlaku dan tidak juga boleh diterima persoalan waras dan logik akal.

Kesemuanya ditaburkan di mahkamah. Soal DNA, sampel air mani, seluar dalam, mandi junub, mandi hadas besar, berak, lubang dubur, pelincir, 9 kali, paksa, rela, apartmen dan pelbagai hal lain. Menarik, memualkan, memalukan dan kegembiran itu dikongsi Buletin Utama TV3, RTM, Utusan Malaysia, Berita Harian. Ke semuanya berminat sungguh mendedahkan perihal tersebut dengan terperinci. Sehingga ada yang menggelarkan suratkhabar negara kita sebagai Utusex!.

Bagaimana sekarang?

Penghakiman dan pertuduhan 'salah' dari media massa ke atas saudara Anwar Ibrahim?. Perbicaraan yang berlangsung selama 3 tahun itu diulas dengan menarik oleh mereka. Ada yang menyebutnya dengan terang dan jelas bahawa saudara Anwar Ibrahim memang bersalah, peliwat, homoseks dan lain-lain.

Mungkin. Ada teman-teman yang akan mengatakan. Bahawa saudara Anwar Ibrahim memang meliwat Saiful Bukhari itu. Tetapi, dek kerana tidak cukup bukti, dia didapati tidak bersalah oleh Hakim Zaki di Mahkamah Tinggi. Mungkin. Ada yang mengatakan begitu, maka atas 'semangat peliwat', Utusan Malaysia di muka surat hadapan pada 10 Jan, menulis dengan penuh berhemah, 'Anwar dibebaskan, tak cukup bukti'. Menarik bukan.

Masyarakat pendalaman, Felda dan luar bandar. Sudah tentu dihidangkan dengan Utusan Malaysia di kedai-kedai kopi, restoran dan rumah mereka. Apa yang mereka ada sebagai bahan bacaan ilmiah, selain media massa yang dihidangkan kerajaan dan akhbar adu domba itu. Sudah pasti, Pemuda UMNO dengan bantuan Pegawai Penerangan dan JASA, lebih sibuk dari biasa selepas episod 901. Susuk tubuh yang membenci Anwar Ibrahim akan digunakan semahu-mahunya untuk' fakta spin' yang menarik. Anwar liwat, tapi mahkamah tidak cukup bukti!

Saya suka melihat dari sudut yang lain. Saya tidaklah gembira apabila Anwar Ibrahim dibebaskan dan didapati tidak bersalah. Anwar bukan 'mentor' kepada saya. Ceramahnya yang mengulang-ulang fakta yang sama. Kadang-kadang membosankan. Tetapi ucapan awamnya lebih menarik dari Najib Razak dan Muhyiddin Yassin, kalau dibandingkan dengan jawatan mereka. Sudah tentu. Orang UMNO pun mengakuinya. Mendatar sahaja. Tidak bersemangat. Lebih membosankan. Patutlah tidak ada video rakaman berbentuk VCD/DVD yang terjual berkaitan ceramah Najib Razak atau Muhyiddin Yassin. Kalau ada rakaman pun, dari RTM dan TV3, itupun hanya untuk bahan berita. Kasihan.

Berbalik kepada pembebasan Anwar Ibrahim. Sudut dan sisi yang harus dilihat ialah. Sistem Kehakiman belum wajar dikatakan 'bersih' yang untuk kes membabitkan Anwar Ibrahim. Jangan disebut sebegitu rupa. Kerana hanya seorang individu yang berpengaruh dilepaskan dari penghukuman. Maka, nada kita berpusing 360 darjah mengatakan sebaliknya. Kita harus melihat dari keseluruhan penghakiman dan perjalanan kes. Kalau benar ia bersih dan adil. Dari awal-awal lagi Kes Liwat II ini dibakul sampahkan. Dalil, bagaimana seorang yang mengaku 'dirogol dan diliwat' mengambil masa selama 2 hari untuk melaporkan kepada polis di hotel tentang kejadian yang membabitkan maruah dirinya, kenyataan 3 pakar perubatan HKL yang memeriksa dubur Saiful Bukhari bersepakat bahawa tidak ada kesan koyakan atau tusukan seperti diliwat, sampel air mani yang disimpan polis di dalam peti besi selama lebih 60 jam tetapi masih hidup sel-sel yang boleh direka, DNA Anwar Ibrahim diambil oleh polis tanpa kebenarannya, kejadian di apartment yang melibatkan 7 0rang termasuk pakar ekonomi kerajaan, tuan rumah, Anwar dan Saiful dalam 1 apartmen, dalam 1 masa dan 1 ketika, Saiful dirogol didalam rumah yang ada manusia-manusia lain!. Beliau tidak menjerit, tidak melaung-laung meminta tolong dan tidak berusaha mempertahankan diri, malah lari dalam dakapan Anwar Ibrahim. Hebat!

Kalau benar ada keadilan dalam mahkamah. Ia sudah lama dibakul sampah melalui elemen-elemen kecil yang saya catatkan. Tidak tahulah saya kalau ada yang berhujah berkenaan hal lain. Tetapi kisah Nabi Yusuf AS dan Zulaikha. Wajar diambil contoh dalam kes-kes sedemikan rupa. Kalau ada yang mengatakan Saiful Bukhari rela diliwat, sudah tentulan perkataan 'rogol dan paksa' tiada sama sekali dalam hal ini. Dakwa juga Saiful Bukhari. Kerana melakukan hubungan seksual songsang dengan orang tua!

Lihat dari sudut yang berbeza.

Membuatkan kita tidak terbuai dengan 'nada dan alunan' yang sama dengan 'mereka-mereka' yang bemusuh atau berkawan dengan kita.

Pihak sana dengan bangga mengatakan bahawa. Mahkamah sentiasa berlaku adil. Membuktikan pihak eksekutif tidak pernah mencampuri urusan sistem kehakiman, konspirasi atau apa sahaja.

Pihak sebelah sini pula sebaliknya. Bersyukur tidak terhingga. Memuji-muji hakim bahawa beliau bijaksana. Membuat keputusan yang adil dan saksama.

Jangan kita lupa terhadap Teoh Beng Hock, Ahmad Sarbani, Aminulrasyid dan lain-lain manusia yang dikhianati amanah adil kepada mereka.

Ia belum cukup 'bersih dan adil kerana Anwar Ibrahim sahaja'.

Kalau anak Pak Mat dirogol, dibunuh, Kak Leha dicabul, Samad difitnah di Jerlun, Kodiang atau mana-mana jajahan taklukan. Kita wajar membelanya.

Apa sudah jadi dengan sumpah?

Bila lagi Mahkamah Syariah mahu meneliti kes seumpama itu. Nasihat dari mufti pun tiada. Senang menuduh. Selepas tuduh orang itu, orang ini. Angkat sumpah, selepas dimalukan semahu-mahunya di media massa, yang menuduh 'bebas' terbang ke mana sahaja. Yang dituduh malu atas dunia. Selepas yang dituduh didapati tidak bersalah, apa pula langkah kepada yang menuduh?

Ini tidak bersih dan adil sebenarnya.