Tuesday, November 30, 2010

Biarkan


Saat malam terus berlalu. Dengan iringan angin-angin malam yang dingin. Sejuk rasa diri. Tidak sama dengan hati. Penyakit meyakinkan diri masih lagi jauh dari fikiran. Untuk meletakkan noktah penamat. Seakan masih jauh perjalanan yang dirancang. Belum sampai ke pertengahan jalan. Ia sekali lagi mengganggu benak hati. Bermain-main di kepala. Seperti batu-batu pasir di pantai. Banyak sekali. Dipukul ombak dan badai. Sekuat-kuatnya ia menghempas. Hilang sekelip mata. Tidak semudah itu.

Pegangan prinsip kekal di situ. Ia bukan seperti perkiraan ilmu hisan ciptaan al-Khawarizmi. Dihitung 3 bersama 3 menjadi 6. Dikali 2 bersama 5 menjadi 10. Bukan semudah itu membuat keputusan.

Kisah-kisah lalu terus mengejar diri. Memilih untuk dipadam. Atau memulakan langkah baru. Yang juga kelihatan semakin pudar indah.

Sesudah madu ditabur. Racun memakan diri. Sampai bila?

Perhitungan masa hadapan bukanlah seperti merancang perjalanan. Ke timur dan ke barat. Ia sukar sama sekali. Mungkin suasana diluar sana begitu indah. Kanak-kanak bermain riang. Diiringan gelak gembira. Mereka sememangnya tiada beerti tentang kebingungan sesiapa. Menurut sahaja rasa hati. Berasak ke sana ke mari. Alangkah indahnya dunia mereka.

Sayang seribu kali sayang. Kita tidak seperti mereka.

Siang hari kita dihimpit matahari. Malam kita dikejar dalam mimpi.

Lena kita hanya untuk melelapkan mata. Melupakan seketika. Esok apabila terbitnya sinar. Kita bersua lagi. Dengan kesukaran itu. Bukan mudah untuk sesiapa. Menjadikan dirinya serba sempurna. Menjadi manusia yang bersedia. Menempuh badai. Melawan ombak. Memekik petir. Menghambat hujan.

Tidak semudah itu untuk kita menerima ujian dan getir dari Tuhan Yang Maha Berkuasa.

Sesiapa sahaja.

Jantan dan betina.

Tetapi apa perlu kita meratap perkara yang sukar itu?. Bukankah kita diberi pilihan memilih alur yang tenang. Memilih jalan yang sesuai. Mengapa kepayahan yang mahu dituruti?. Ada apa dengan kepayahan itu. Untung diri atau sesal di kemudian hari?

Atau kita manusia pilihan. Dipilih Tuhan untuk dibebani. Dipilih Tuhan untuk berkorban. Dipilih Tuhan untuk kesukaran. Untuk dilihat. Apakah dirimu bersedia menghadapi ujian.

Sebagaimana Musa yang berdepan dengan si Firaun yang maha zalim. Yusuf yang difitnah. Muhammad yang dicaci dan di maki. Sedangkan mereka Kekasih Allah menerima ujian dan percubaan.

Bagaimana dirimu yang insan biasa?.

Mahu mengelak dan mengeluh. Sedangkan ia tidak seberat beban yang ditanggung para Nabi dan Rasul.

Bolehkah begitu?.

Untuk apa aku yang dipilih. Sejak aku membuka mata. Bersedia bersuara. menghadapi 'mereka-mereka' yang datang dengan kemaslahan dunia. Seribu satu cerita.

Untuk apa aku diberikan 'mereka-mereka'?.

Sedangkan selepas 'mereka-mereka' berbahagia. Tangan seia tidak pernah memujuk hati. Mereka terus berlari dengan kegembiraan. Meninggalkan masalah dan bebanan. Kepada tangan yang menghulurkan saat 'mereka-mereka' beroleh kesempitan dari matahari. Mimpi ngeri di malam hari.

Aku belum bersedia.

Belum bersedia menjadi insan yang dipilih. Dipilih dari Tuhan untuk mengharungi semua itu.

Biarkan aku terus terkeliru dengan diri sendiri. Menghabiskan saat-saat hidup dengan jalanku sendiri. Biarpun tiada berteman. Atau berkawan.

Aku bersedia menjadi pengecut dunia.

Menjaga hati sendiri.

Dari menjadi manusia yang hipokrasi. Menyalak kebenaran dihadapan. Mengiakan penipuan dibelakang.

Sesat dalam siang. Buta dalam malam.

Aku selesa begitu.

Wednesday, November 24, 2010

Akal dan Hati

Kekuatan dalaman diri seseorang lahir dari kekuatan akal fikiran. Juga hatinya bagi menerima sesuatu perkara yang amat sukar. Tentunya menjadi kesukaran kepada seseorang untuk menerima hakikat dalam kehidupan dengan cara yang mudah. Mustahil sama sekali. Ketentuan yang difitrahkan kepada manusia adalah sebahagian sesuatu takdir yang harus kita terima bulat-bulat. Apatah lagi kalau kita berbicara soal rezeki dan jodoh, ajal dan maut. Ianya dilihat terlalu bergantung kepada takdir.

Manusia dianugerahkan Allah swt untuk berfikir secara waras. Berfikir tentang kebaikan dan keburukan. Kebaikan atas dirinya. Keburukan juga atas dirinya sendiri. Maka sekiranya berlaku sesuatu perkara. Perlu ia bertanggungjawab atas apa yang dilakukan. Jangan salahkan sesiapa. Kerana akal fikiran yang dianugerahkan Illahi tidak dikongsi secara beramai. Ia diberi satu-satu secara berasingan kepada setiap manusia.

Ia untuk digunakan oleh manusia.

Bukan disimpan seperti barangan antik. Atau perhiasan diri semata-mata.

Kekuatan itulah yang memerlukan seseorang manusia bertindak secara waras. Menggunakan akal dan hati sebagai penyokong. Disebut naluri. Kekuatan akal kadang-kadang dicabar dalam pelbagai situasi. Samada untuk kita memilih sesuatu atau 'seseorang'.

Kekuatan dalaman untuk itulah yang menjadi sukar. Boleh menerima sesuatu yang pahit dan terkesan atas dirinya. Ke kiri dan ke kanan. Ia menjadi serba-salah. Kekuatan untuk menerima hakikat atas apa yang dilakukan oleh diri kita sendiri.

Kekuatan itu tidak ada secara semula jadi. Ia dibentuk dari pelbagai faktor dan sebab. Atas pilihan itu ia menjadi penyakit yang mendesak hati untuk mengatakan 'ya' pada sesuatu perkara. Atau 'tidak' pada sesuatu perkara. Mengesahkan sesuatu atau menidakkan sesuatu. Kemahiran itu dpanggil 'membuat keputusan'. Membuat keputusan atas dorongan akal yang menimbang salah dan betul, buruk dan baik, panjang dan pendek serta boleh ataupun tidak. Ia mesti juga berdasarkan dorongan hati. Hati yang menyokong atas keputusan yang dibuat oleh kita sendiri. Betul ataupun tidak keputusan yang akan dicapai. Betul atau tidak pemilihan diri. Betul atau tidak keputusan itu. Benar atau tidak. Untung atau rugi.

Semuanya akan melayang-layang di kepala anda. Kerana hujung keputusan itu tidak akan dapat dilihat dan dinilai. Samada ia bertepatan dengan kehendak kita. Kerana manusia tidak dapat melihat masa depan dirinya. Ia terletak di tangan Allah swt. Hanya Allah Yang Maha Berkuasa mengetahui apa yang akan berlaku esok, lusa, minggu depan, tahun depan dan masa hadapan.

Kita manusia hanya layak untuk merancang itu dan ini. Segala ketentuan di tangan Allah swt.

Maka sebab itulah ia terlalu sukar untuk kita membuat keputusan. Menelan hakikat untuk ke depan. Ramai yang tidak memahaminya. Malah ada yang mengajak untuk kita melupakan sesuatu perkara yang telah terjadi. Sedangkan mereka begitu mengetahui ia amat sukar sama sekali. Sukar untuk seseorang menerima hakikat yang pahit itu.

Kesukaran itulah memerlukan seseorang mempunyai kekuatan dalaman dalam diri.

Kekuatan menelan apa sahaja yang berlaku. Ketabahan seseorang untuk menerima hakikat yang telah ditakdirkan oleh Allah swt kepada mereka.

Mereka mempunyai kekuatan dalaman yang jitu. Boleh menerima sesuatu dengan hati yang terbuka. Baik buruk seseorang dinilai dengan akal dan hati. Tiada langsung kekesalan atas keputusan yang dibuat. Bahkan, mereka langsung tidak memikirkan apa yang akan terjadi atas keputusan tersebut. Hati mereka begitu tegas dan kuat. Kekuatan itulah yang menjadi dorongan kepada mereka untuk membuat keputusan.

Bilakah hati saya akan menjadi sebegitu?

Kuat dan tabah.

Menerima sesuatu perkara dengan hati yang terbuka,

Memaafkan sesuatu yang cela. Membuat keputusan tanpa menoleh ke belakang.

Tabah menghadapi saat-saat sukar.

Bilakah?

Monday, November 22, 2010

Guru: Doa Ibu untuk anaknya


Ketika artikel ini ditulis. Saya bersama teman-teman yang berada di bawah satu agensi. Yang dalam pemikiran saya berjumlah 600 orang itu berada di British Malaysian Institute (BMI). Kami di sini menyertai Program Diploma Pendidikan. Di mana salah satu syarat di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia. Seseorang guru itu mesti mempunyai Diploma Pendidikan. Ia bagi mengesahkan seseorang itu berkelayakan menjadi seorang pendidik. Ia adalah prosedur biasa. Sama seperti rakan-rakan yang lain. Kami di sini selama sebulan.

Sebulan itu mencari ilmu pendidikan. Dengan hidangan ilmu-ilmu berkaitan pendidikan secara formal. Tidak lagi berkaitan dengan penguasaan sesuatu subjek semata-mata. Ia lebih dari itu. Hidangan ilmu yang datangya dari pensyarah berwibawa dari UIAM ini. Pasti menjadi bekalan terbaik buat kami lebih bersemangat untuk ke sesi pengajian persekolahan 2011 yang akan menjelang tiba.

Tahun yang kedua bagi saya.

Ia terlalu manis buat saya yang tidak menyangka langsung menjadi seorang pendidik. Ketika sedang mengisi borang kemasukan ke universiti pada tahun 2005 yang lalu. Emak meminta saya menjadikan program Pendidikan Sejarah di UPSI sebagai pilihan pertama. Saya menolak. Tidak mahu saya menjadi guru. Tetapi jangkaan saya meleset. Saya hanya berkelana setahun dua. Akhirnya, Allah swt menzahirkan doa ibu saya. Menjadi juga saya kerjaya yang saya tidak mahu itu 5 tahun yang lepas.

Ia adalah ketentuan.

Rezeki manusia dari Allah swt.

Bukan 'ketentuan' seseorang yang menjadikan saya guru.

Ia datang dari Allah swt.

Saya percayakan ketentuan itu.

Sunday, November 14, 2010

Jangan Dipaksa Hati Mereka

Pernahkan perasaan dan hati anda tenang sekali. Tanpa memikirkan apa-apa tentang masa lalu. Biarkan ia berlalu tanpa ada sebarang kenangan. Melupakan saat-saat indah, jahat, buruk dan hampir sempurna itu. Menjadikan ia seperti buih-buih di lautan. Terhempas ke pantai lenyap segalanya. Bertukar-tukar. Menjadikan ia lenyap terus. Menghitamkan benda yang putih tidak semudah itu. Tidak sebegitu jadinya kalau perasaan kita menjadikan ia kenangan yang tidak terfikir sama sekali.

Jangan memaksa hati itu. Untuk menerima dengan hati yang terbuka. Keadaan sebelumnya. Walaupun ketika itu. Anda tidak bersama hati yang dilukai itu. Ketika itu anda tidak bersamanya. Berhak melupakan segalanya. Kerana dia tidak berfikir panjang. Saat dan ketika itu. Anda tidak berhak memaksanya. Kerana dia tidak mahu perkara itu menjadi rasa sakit yang amat sangat di dalam hati. Sakit dan terus sakit. Mengenangkan saat-saat itu. Yang mana. Anda sahaja melaluinya. Bukan orang lain. Sebelum atau sesudah. Ia sangat sukar untuk diterima. Ia tidak mudah untuk dipadamkan dalam bentuk mata fikiran. Sejauh ia berlegar-legat di kepala. Saat sentiasa memikirkannya. Menjadi ia terlalu sakit di dalam hati. Sakit itu dibimbangi anda menjadi bahan ungkitan suatu hari nanti. Menjadi senjata hati untuk menikam. Perasaan itu akan sentiasa ada untuk memarahi dan menengking. Mencaci dan mencerca. Binasa badan.

Ia disebut dendam.

Dendam kesumat ke atas-atas perkara tertentu. Apabila ia tidak dapat dilupakan. Maka ia bernanah di dalam hati. Terjerit-jerit dan meronta. Menunggu masa untuk diletupkan. Tanpa mengira masa dan ketika. Ia bakal melukakan hati anda. Buat selamanya-lamanya.

Kesalahan dan kesilapan perkara lumrah di dalam kehidupan. Bukankah kita manusia biasa. Tidak terkecuali. Kita dilemah dihasut syaitan. Melakukan perkara yang bukan-bukan. Yang kadang-kadang tidak terlintas difikiran. Tiada dalam alam binatang. Tiada perkara seumpama itu dihutan, langit dan bulan. Tetapi manusia melakukannya mengikut gerak hati masing-masing.

Ada manusia yang merogol anaknya sendiri, ada yang menjual harga diri di malam kelam. Ada bercinta sesama sendiri. Ada ibubapa yang dibunuh anaknya sendiri. Ada kanak-kanak yang diculik, di rogol dan dibunuh. Ada adik yang diperkosa abang tiri. Ada ibu yang kehilangan anak dan suami. Ada perempuan yang aniayai. Ada. Ada itu dan ini. Yang mana tidak terlintas akal fikiran kita.

Ada manusia yang melakukan semua itu.

Semua yang mengikut gerak hati. Tanpa berfikir menggunakan akal kurniaan Illahi. Kesalahan itu dipanggil kesilapan.

Kesilapan yang mahu ditebus. Kesilapan yang dijanji tidak ada ulangan. Ada manusia yang lain yang dipaksa menerima kesilapan dan kesalahan tersebut. Ada yang mahu. Ada yang tidak.

Saya tidak akan menerima kesilapan yang tidak menggunakan akal itu.

Jangan memaksa saya melakukannya. Memejamkan mata dan memikakkan telinga. Mendengar dan menerima dengan hati yang terbuka. Akan kesalahan dan kesilapan yang mereka lakukan. Mahu dipersembahkan kepada saya akan hal itu. Dan mahukan penerimaan seadanya.

Menerima kesalahan dan kesilapan yang lalu. Berjanji membuka cerita baru. Yang mahukan si penerima itu menerimanya dengan rela hati.

Jangan.

Jangan sesekali merimanya andai bukan dari hati. Yang datang melalui hawa nafsu dan bisikan iblis yang mahukan kesesatan. Bercampur baur dengan iman senipis kulit bawang. Hati yang kekal disitu. Meyakinkan dengan perkataan jangan.

Biarkan ia kekal di situ. Barangkali ia bukan untukmu. Ia untuk insan lain. Yang lebih baik dari dirimu. Kamu lemah. Kamu lemah sama sekali menerima kesilapan orang lain. Panas baranmu akan menjelma walaupun hal itu tiada kena mengena dengan kamu sebelum dirinya menjadi milikmu. Kamu akan memeram dendam. Dilepaskan dengan maki hamun yang tiada kena mengena. Ke semuanya akan menampakkan kesalahan dan kesilapan lalu. Kamu akan menyebut-menyebut hal itu. Kamu tiada biada usaha untuk melupakannya. Kamu terus menerus menyalahkan dirinya.

Sedangkan kamu sedia tahu. Itu kesilapan lalu. Tiada maknanya berkelahi. Kerana masa tidak bisa berputar kembali. Menjadikan kamu yang pertama. Bukan kedua.

Tetapi hatimu kekal begitu. Keras dan bebal. Kamu gagal menahan api kemarahan yang membuak-buak itu. Maka lepaskannya bersama marah, sakit hati dan dendam.

Walaupun ketika itu. Dia sah menjadi milikmu.

Maka jangan terus begitu. Terima atau tinggalkan dengan hati luka hari ini. Tetapi tidak esok, Keheningan semalam hanya sementara. Barangkali begitu. Fikiran itu terus membantu memadamkan luka semalam. Memujuk-mujuk menerima dengan hati yang terbuka. Bukan rezeki maknanya. Bukan hak milik dirimu. Bukan sesiapa yang boleh menentukan. Ia kekal dari Allah Yang Maha Berkuasa.

Jika hatimu sedemikian rupa. Janganlah terus ke depan bersamanya. Bimbang dia akan terseksa dengan watak-watak dirimu yang penuh dengan api dendam yang sukar dipadam

Biarkan dia menangis kehilangan dirimu hari ini.

Biarkan dia pergi.

Pergi menangisi cintanya yang tiada berpanjangan.

Thursday, November 4, 2010

Galas dan Batu Sapi: Gerakan Demokerasi


Hari ini. Para pengundi Dun Galas dan Parlimen Batu Sapi akan membuat perhitungan bagi memilih wakil rakyat mereka yang baru. Pelbagai kempen dan adu domba yang di war-warkan di media massa tamat jam 12 tengah malam tadi. Sejak hari penamaan calon pada 26hb yang lalu. Yang menyaksikan pertadingan satu lawan satu di Galas. Dan perhitungan tiga penjuru di Batu Sapi. Menyaksikan kempen dari semua parti bertanding mengemukakan pelbagai janji dan harapan kepada para pengundi.

Paling menarik ialah kelancaran projek-projek segera dan durian runtuh kepada masyarakat setempat. Syukur kepada Tuhan. Para rakyat bawahan terutama masyarakat Orang Asli di Galas dan masyarakat pendalaman di Batu Sapi terpaksa menunggu wakil rakyat mereka 'meninggal dunia' terlebih dahulu sebelum menikmati keselesaan hidup sebagai manusia di Malaysia.

Di Galas. Masyarakat orang Asli dilayan begitu istimewa sekali. Mereka diberikan pelbagai peruntukan dan skim-skim segera oleh PAS dan UMNO. Besar harapan dijanjikan kepada mereka. Bukan sahaja padang bola. Malah jalan raya, jambatan baru, lot tanah dan sekolah semuanya dikhaskan kepada mereka. Bahkan, sekali sekala masyarakat orang Asli ini juga bergaya di hadapan kamera memberi pelbagai ulasan dan pandangan. Kadang-kadang dengan hanya berbaju T-shirt, berkain batik dan pelekat. Mereka bergaya bak 'penganalisis politik' memberi pengujahan mereka terhadap pilihanraya kecil di Galas. Pandangan pula secara terus disiarkan sekiranya 'laporan' itu berkait dengan keburukan PAS di Kelantan. Ia disiarkan berkali-kali!.

SPR sebagai pengurus pilihanraya di Malaysia masih lagi dilihat berpihak kepada UMNO/BN dalam beberapa sudut. Kempen di sekolah masih lagi boleh dijalankan di Galas dengan menyaksikan calon UMNO beberapa kali 'dijemput' merasmikan majlis-majlis di kawasan sekolah. Pasti tujuannya untuk berkempen. Semalam. TPM Muhyiddin Yassin bertempik di salah sebuah sekolah Cina di Gua Musang. Dengan bertemakan 'pemimpin bersama rakyat'. Mereka bebas berceramah dalam kawasan sekolah. Sedangkan. Kalau perkara sedemikian dibuat pemimpin Pakatan Rakyat. Saya kira perkara itu akan terus dihakimi sewajarnya SPR. Bahkan boleh jadi liputan 7 hari 7 malam bagi TV3 dan Utusan Malaysia. 'Pembangkang peralatkan institusi pendidikan', 'PAS guna masjid kempen politik', itu dan ini.

Saya tidak hiraukan apa jua cara untuk berkempen dikalangan parti politik. Baik PAS atau UMNO. Namun, biarlah undang-undang dan peraturan yang ditetapkan oleh SPR. Dikuatkuasakan kepada semua pihak. Samada UMNO/BN atau PAS/Pakatan Rakyat. Undang-undang itu berada dan 'dikunci kemas' dalam Perlembagaan Perseketuan. Sekiranya seseorang itu melanggar undang-undang dan peraturan. Dia juga sebenarnya secara tidak langsung tidak menghormati Perlembagaan Perseketuan. Tidak kira samada di TPM, Menteri, Menteri Besar, Ketua Menteri, pegawai kerajaan, polis, Raja atau Sultan!. Mereka juga wajar dihukum andai melanggar undang-undang. Itulah demokerasi. Menghakimi sesiapa sahaja tanpa memilih bulu, pangkat, warna kulit, bangsa atau agama.

Sekiranya suasana itu berlaku. Sudah pasti kita akan melihat kempen yang lebih demokeratik dan suasana pilihanraya yang berkualiti dari ahli politik di Malaysia. Sayang seribu kali sayang. Kita tidak mempunyai pengurus pilihanraya berhati telus dan jujur. Mereka lebih gemar berpihak. Samada secara langsung atau tidak. Terbukti sudah. SPR adalah 'rakan karib' BN.

Dun Galas juga hangat di hari terakhir apabila dilaporkan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat memberi rasuah kepada tiga pemuda orang Asli yang baru diislamkan oleh Mursyidul Am PAS itu. Berita dan gambar itu disebar sekali alam. Bagi memperlihatkan persepsi yang negatif kepada PAS. Tok Guru dikatakan memberi rasuah dalam pilihanraya. Peliknya, wang itu cuma diberikan kepada 3 pemuda sahaja. Bagaimana 3 pemuda itu yang kalau mereka juga pengundi di Galas boleh diberi rasuah dalam suasana yang terbuka. Apakah dengan memberi rasuah kepada 3 pengundi tersebut mampu memenangkan calon PAS di Galas?. UMNO dengan bersungguh-sungguh menggunakan media massa sebagai talian penghubung menghebahkannya. Perkasa membuat laporan polis. SPR dan SPRM dihambat UMNO untuk bertindak terhadap Tok Guru yang dikatakan memberi rasuah dalam pilihanraya. Sebagai diduga. Hambatan itu disegerakan SPR yang dilaporkan untuk menyiasat dan mendakwa sekiranya terbukti rasuah. Siasatan belum lagi bermula. Tetapi 'perlakuan' dalam bentuk gambar, berita yang disensasikan sudahpun menemui media massa dengan pelbagai tuduhan. Salah atau tidak belum lagi dibuktikan. PAS sudahpun dimalukan sebegitu rupa. Itulah 'wajah' demokerasi di Malaysia.

Buat UMNO. Mereka wajar meneliti surah At-Taubah, ayat 60, yang bermaksud,

Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang faqir, dan orang-orang miskin, dan Amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.


Ia adalah zakat.

Mereka tidak mengetahuinya. Tidak beriman dengan ayat-ayat Allah. Tidak beramal dengan amalan Rasulullah saw. Maka dengan sebab itulah mereka janggal sekali melihat muallaf diberi wang zakat selepas diislamkan atau memeluk agama Islam. Itulah kaedahnya.

Namun. Ia tidak dipihak UMNO. Mereka tidak memahaminya. Tidak faham akan amalan sedemikian rupa. Adu domba dan fitnah adalah 'makanan dan minuman' mereka setiap kali pilihanraya.

Jadi. Amat mustahil untuk kita menyaksikan pertarungan politik yang berentak 'jantan'. Andai amalan berat sebelah, permainan media massa, fitnah dan adu domba menjadi pilihan parti politik dalam amalan demokerasi di Malaysia. SPR sendiri secara terang-terangan gagal menghalang amalan ini. Sejak dari dahulu, kini dan selamanya.

Di Batu Sapi. Pertelingkahan antara PKR, BN dan SUPP lebih kepada hak masyarakat Sabah yang sekian lama dinafikan. Walaupun Sabah adalah salah sebuah negeri penerima royalti minyak. Mereka tidak sekaya sebagaimana kekayaan pemimpin Sabah. Masih banyak kawasan pendalaman di daerah Batu Sapi ketinggalan dari sudut infrastruktur mudah sebagai pelengkap kehidupan. Seperti biasa. Apabila berlaku pilihanraya. Para pemimpin politik akan menjanjikan segala-galanya untuk mereka. Dapat tidak. Bukan persoalan. Yang penting janji ditabur untuk mereka.

Bagaimana pula dengan pengumuman projek-projek segera dan 'rasuah' secara terang-terangan pengemuman peruntukan berjuta ringgit. Dengan menggunalkan kapasiti 'Kerajaan Persekutuan'. Mereka jelas sekali menggunakan jentera kerajaan untuk berkempen di kedua-dua kawasan pilihanraya yang terbabit. Apakah amalan mengumumkan peruntukan secara besar-besaran itu tidak diistilahkan sebagai 'rasuah pilihanraya'?. Dengan secara tiba-tiba JKR diarahkan menurap jalan tar yang baru, pembinaan jambatan dan jalanraya. Para doktor dan jururawat Kementerian Kesihatan diarahkan membuat kempen kesihatan di kampung-kampung. Mahasiswa yang berkampung dalam program 'Anak Angkat'. Polis dan tentera. JKM yang tiba-tiba menghulurkan bantuan kepada penduduk miskin.

Semuanya berlaku secara tiba-tiba.

Adakah penglihatan SPR atau SPRM kabur tentang perkara itu.

Kepada semua pengundi di Galas dan Batu Sapi. Segeralah anda pada hari ini. Menunaikan tanggungjawab sebagai warganegara Malaysia. Menunaikan amanah itu. Pangkah dan pilihlah calon yang berwibawa dan berkualiti tinggi. Parti hanyalah mewakili mereka. Amanah itulah yang menjadi pilihan utama. Selain beriman dan bertakwa. Sedarkan diri anda dengan adu domba dan harta. Pilihlah 'wakil rakyat' anda dengan perasaan yang tenang dan matang.

Suasana demokerasi yang tidak seimbang ini wajar ditentang. Biar sesiapa pun wakil anda. Amalan demokerasi tulen dan saksama wajar dipamerkan dalam pilihanraya kecil Dun Galas dan Batu Sapi. Tamatkan amalan adu domba dan fitnah. Ketidakadilan dan ketidaksempurnaan dalam negara kita. Dengan melawan suasana buruk itu. Kita wajar memperbetulkannya. Ia hak rakyat dan negara. Usirkan mereka yang berkuasa secara kuku besi dan diktator murahan.

Ayuh, kembalikan demokerasi matang. Berpolitik secara bijak dan ilmu akal.

Bukan perkauman sempit dan fitnah syaitan.

Masa kini untuk Rakyat Malaysia bertindak.

Pengundi Galas dan Batu Sapi wajar memulakan langkah ini.