Wednesday, November 21, 2012

Doa

Polemik doa sehari dua ini amat menarik. Menarik dari segi penghujahan yang dibuat oleh kedua-dua belah pihak. Pihak yang berdoa dan yang didoakan. Mengapa entah. Marah sungguh pihak yang diketahui doa untuk menghancurkan parti mereka dan komponennya. Perlu dijelaskan kepada kita semua. Kandungan doa tersebut tidak dihalakan kepada ahli-ahli dalam parti tersebut. Jadi, janganlah bimbang. Kepada penganut-penganut parti nasionalis itu, anda tidak perlu gusar. Anda hidup seperti biasa. Tidak terkeluar dari landasan yang benar. Mengapa suara-suara respons seakan begitu takut dengan doa yang dipimpin TG Nik Razi Nik Mat itu. Seakan takut. Takut dihancurkan dan dimusnahkan. Puas saya berfikir. Takut kerana salah. Berani kerana benar. Apa bimbang dengan doa? . Bukan kerja kita menentukan doa itu akan dimakbulkan. Biarkanlah sahaja mereka dengan doa itu andai anda dipihak yang benar.

Kedua. Fahamlah kita betapa hebat kuasa berdoa. Bukankah doa itu adalah senjata orang mukmin. Beratus ribu kandungan doa di dalam al-Quran. Andai ada masa belik-beliklah sebentar. Membaca tafsir al-Quran. Lihat dengan mata sendiri. Bagaimana Allah swt menggunakan 'bahasanya'. Kutukan kepada yang musyrik dan munafik. Padanlah dengan perbuatan manusia yang sedemikian rupa.

Andai ada yang membuat jahat kepada kita. Berkehendak diam seribu bahasa itu tanda kejahilan kita. Sekuat-kuat untuk menentang. Kalah jua dengan doa. Doa senjata orang mukmin. Mohon dan mintalah. Hanya Allah swt berkuasa memakbulkan atau menolak. Andai makbul. Alhamdulillah. Andai tidak, doa lagi!

Rasulullah SAW adalah manusia yang paling mulia dikalangan manusia. Baginda juga tidak lekang dari berdoa. Semua tindakannya bermula dengan doa. Makan, minum, bergerak dengan kenderaan, meninggalkan rumah, hendak berperang, tidur, ke tandas, masuk ke masjid, menerima cahaya mata, mati dan bermacam-macam lagi. Semuanya bermula dengan doa. Doa yang baik dan doa ke atas manusia jahat. Ada dibuatnya. Kisah-kisah para Nabi juga menceritakan kepada kita juga betapa hebatnya doa para Nabi. Nabi Ibrahim memohon kepada Allah swt saat dihukum RajaNamrud. Nabi Luth kepada kaumnya yang laknat. Nabi Nuh juga berdoa kepada Allah swt memohon kutukan kepada kaumnya yang jahil.

Doa juga boleh ditujukan kepada sesiapa. Apatah lagi suasana sekarang. Kita diminta berdoa kepada pejuang-pejuang Palestine di Gaza. Yang dibaham teruk oleh Zionis Laknatullah. Bersama-samalah kita berdoa agar diberi kemenangan kepada Briged Al-Qassam yang berjuang habis-habisan menentang tentera Zionis Laknatullah.

Mungkin masyarakat melihat ia keterlaluan. Memohon kepada Allah swt untuk menang dalam Pilihanraya suatu keganjilan kepada sesetengan manusia. Barangkali mereka tidak mengetahuinya. Bahawa Allah swt sedia 'mendengar' apa sahaja doa. Menang politik juga adalah jalan untuk mendapatkan kuasa. Kuasa politik itulah hendak digunakan untuk mengangkat kemenangan agama Allah swt ditempat yang sepatutnya. Maka relevanlah Allah swt dimohonkan pertolongan yang sewajarnya. Inilah kehebatan Islam yang tiada kepada penganut agama lain. Mengadu kepada Allah swt adalah saat istimewa seorang hamba kepada Tuhannya. Kerana politik itu tiada pisah dengan Islam. Mesti digunakan Islam untuk berpolitik. Memahami itu. Fahamlah doa yang dipohon itu.

Berdosakah berdoa kehancuran sesama Islam?. Jawapannya sudah pasti tidak. Ada riwayat yang mengisahkan Said b. Zaid telah berdoa kepada Allah swt berkenaan dengan seorang wanita yang bernama Arwa binti Ausy. Kerana perempuan tersebut telah menuduh Said b. Zaid mencuri tanah haknya. Maka kes kecurian ini telah dihadapkan kepada Marwan b. Hakam. Antara isi kandungan doa Said b. Zaid ialah, "Ya Allah, jika dia berbohong, butakanlah matanya dan bunuhlah dia di atas tanah". Ternyata, Arwa binti Ausy mati di atas tanahnya sendiri kerana terjatuh di dalam lubang dan buta mata di saat hujung nyawanya. Dan dia sentiasa mengungkap bahawa dia telah terkena doa yang dipohon oleh Said b. Zaid.

Kisah kedua ialah Saad b. Abi Waqqas. Seorang sahabat Rasulullah yang dijanjikan syurga. Besar jasanya kepada agama Allah. Apabila berjaya melebarkan syiar Islam hingga ke China. Beliau pernah dituduh menyeleweng dalam pemerintahnnya di Kufah. Maka, Saidina Umar memecatnya dan menggantikannya dengan Ammar b. Yasser. Selepas itu, Saidina Umar telah melakukan penyiasatan di Kufah dengan membuat selidikan ke atas masyarakat Kufah berkenaan pemerintahan Saad b. Abi Waqqas sebagai Gabenor Kufah. Semua respons yang diperolehi Saidina Umar menyatakan bahawa pemerintahan Saad b. Abi Waqqas tiada kesalahannya. Kecuali respons dari sebuah masjid yang dimiliki oleh Bani Aabs. Di sana ada seorang yang bernama Usamah b. Qatadah. Beliau digelar sebagai Abu Saadah. Usamah b. Qatadah menyebut. "Jika engkau hendak mengetahui pemerintahan Saad b. Abi Waqqas, bahawa beliau tidak menyertai peperangan, jika membahagikan harta perang tidak adil dan dia adalah seseorang yang berhukum dengan tidak saksama". Maka, Saad b. Abi Waqqas berdoa kepada Allah 3 perkara. "Ya Allah, jika dia ini bercakap hanya untuk menunjuk-nunjuk dan berbohong, maka Engkau panjangkanlah umurnya, panjangkan kefakirannya dan dedahlah dia kepada fitnah". Maka diakhir hayat Usamah b. Qatadah, dia tua sehingga jatuh bulu matanya, ahli keluarganya ramai dan dia miskin. Dia juga sering menggatal dengan anak gadis orang dan kuat meraba.

Kisah-kisah boleh dijadikan tauladan kepada kita. Apakah polemik yang disebutkan di atas benar-benar kesahihnya atau hanya permainan media massa yang cukup bahaya dalam usaha memecah belahkan umat Islam dengan kejahilan mereka sendiri. Betapa jahil sehingga ke peringkat bodoh yang nyata.

Perlulah kita mempelajarinya. Bukan bergantung harap kepada media massa yang sering kalah dalam mahkamah atas laporan palsu.

Gunakanlah akal.

Monday, November 19, 2012

Hanafee b. Abd. Rahman

Pemergian sahabatku pada 18-11-2012, 9 pagi akibat serangan jantung adalah perkara yang sakit menyakitkan untuk ditelan. Pemergian yang secara tiba-tiba dalam usia 27 tahun. Muda. Isteri yang sedang mengandung benihnya, sudah tentu bukan suatu perkara yang mudah untuk diterima. Mati itu pasti. Mati itu benar. Maka sebagai manusia kita harus mengakui tentang perkara tersebut. Sebagaimana firman Allah swt, dalam Surah Al-Imran, ayat 185, "Tiapa-tiap yang bernyawa akan merasakan mati. Dan sesunggguhnya pada hari kiamat sajalah disempurnakan pahamu. Barang siapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka ia telah beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan"

Maha Suci Allah yang membuktikan kebenaran tentang kematian itu. Tidak kenal usia dan latarbelakang. Dibuktikan kepadaku bahawa umur yang muda. Tidak pula akan hidup selamanya. 

Kesedihan ini akan menjadi nyata selama-lamanya. Sahabatku, yang dikenali sebagai 'Sahabat Dunia Akhirat' padaku. Tanpa perlu merujuk kepada istilah manusia lain. Tanpa perlu mendengar apa dikata manusia lain. Tanpa perlu pedulikan apa yang disebut oleh manusia lain. Hanafee b. Abd.Rahman adalah sahabatku dunia akhirat.

Segala kenangan yang kita lalui bersama. Sejak kita menggenggam erat tangan. Bersalaman untuk berkenali. Mengetahui dirimu secara jelas dan nyata. Tiada yang dapat digantikan dengan harta benda. NIilai persahabatan yang kita jalin bersama. Adalah penghargaan kita di dunia. Ditemukan oleh Allah swt. Maka diakhiri jua oleh Allah swt.

Akan aku pahatkan segalanya. Air mata menjadi temanku. Al-Fatihah penyambung antara kita selepas ini. Tidak akan aku biarkan diriku terpalit lagi dengan kesalahan-kesalahan yang dilalui.

Aku benci dengan diriku sendiri. Saat kau hidup. Aku biarkan dirimu bersendirian. Pada mata yang memandang. Melihat ini satu kebiasaan. Tetapi pada diriku. Ia adalah kesalahan. Kesalahan yang tidak dapat aku ukilkan dengan kata-kata. Mungkin. Ini adalah takdir Allah swt. Melihatmu bersama kebahagian dari jauh. Mendengar khabar beritamu dari pihak lain. Adalah kesalahan dariku. Tidak mencari dan mendekatimu.

Sahabatku. Aku memaafkan segala kesilapan yang lalu antara aku dan kamu. Tidak terdetik dihatiku persoalan dendam yang jitu. Tiada lagi khilaf antara kita di atas dunia. Segala-galanya aku halalkan. Dunia dan akhirat. 

Bermunajat aku siang dan malam. Memohon agar rohmu tenang di sana. Bersua kembali dengan Pencipta. Dalam keadaan syurga. Aku bermohon agar kau ditempatkan bersama-sama dengan golongan yang beriman dan beramal soleh. Tenang bersama kedua ibubapamu. Tenang bersama PenciptaMu.

Sahabat. Kau adalah permata hatiku. Salahnya aku kerana membiarkan persahabat kita 'digantung' begitu sahaja. Terkilannya aku dengan diriku sendiri. Membiarkan kau berseorangan tanpa teman.

Maafkanlah aku Hanafee b. Abdul Rahman. Maafkan aku. Maafkan aku. Maafkan aku.

Aku sayang kepadamu. Sayangnya aku bagai menyayangi saudaraku sendiri. Kau adalah sabahatku dunia akhirat.

Ketemulah kita nanti di alam yang lain. Akan aku mendekatimu. Mengenalimu sekali lagi. Akan ku tunggu saatnya itu. Saat jasadku dijemput Malaikat Izrail. Untuk bertemu dengan mu.

Semoga rohmu tenang di sana........