Monday, October 11, 2010

Galas: Bukan Kayu Pengukur


Pilihanraya DUN Galas akan berlangsung pada 4 November ini. Bermakna. Penduduk dalam kawasan tersebut akan membuang undi sekali lagi dalam Pilihanraya Kecil 2010 selepas membuatnya pada pilihanraya umum yang lalu. Dalam pilihanraya umum tersebut, calon PAS Che Hashim Sulaima telah berjaya menewaskan calon BN dari UMNO dengan majoriti yang agak tipis. Namun, kemenangan tersebut dianggap manis kerana ia merupakan kubu kuat UMNO apatah lagi berada di bawah Parlimen Gua Musang.

Gua Musang adalah faktor penentu yang menarik. Maka, tidak menjadi kehairanan mana-mana pihak, baik PAS dan UMNO berebut-rebut menggunakan faktor Ahli Parlimen kawasan tersebut, Tengku Razaligh Hamzah. Ahli Parlimen veteran itu dianggap faktor penarik undi kepada pilihanraya kecil kali ini.

UMNO dengan pantas menggunakan Ku Li sebagai Pengarah Pilihanraya Kecil DUN Galas. Ia sesuatu yang menarik sekali apabila Ku Li diberi tanggungjawab sebagai pengarah. Sebelum ini, Ku Li bolehlah dianggap sebagai ahli yang terpinggir dalam agenda UMNO. Di tambah pula dengan penglibatan Ku Li yang menyebelahi Kerajaan Kelantan dalam isu tuntutan Royalti Minyak di sana. UMNO tidak menyembunyikan rasa kurang senang tersebut.

Saya melihat Ku Li sebagai Ahli Parlimen yang konsisten. Beliau bertindak atas prinsip demokerasi. Menjangkaui batas-batas parti dalam isu tuntutan royalti minyak. Begitulah politik yang berasas dan berprinsip. Berdiri atas kebenaran. Bertindak atas kewajaran. Bukan perkauman dan adu domba. Semangat perkauman yang sempit. Beliau tidak menyokong PAS. Tetapi menyokong urusan Kerajaan Negeri Kelantan menuntut hak dalam perlembagaan. Sampas masa yang diperlukan, beliau mengakui keahliannya sebagai ahli UMNO. Bertindak pula menjadi Pengarah Pilihanraya bagi pihak UMNO.

PAS pula janganlah perasan dengan tindakan Ku LI. Beliau tidak memberi sokongan pada PAS. Kegigijan Ku Li hanyalah berkaitan 'isu perlembagaaan' dan tuntutan Kerajaan Negeri kepada Kerajaan Kelantan. Beberapa pemimpin PAS yang memberi pandangan berkaitan pemilihan Ku Li dianggap seolah-olah Ku Li bukan ahli UMNO. Ku Li tetap ahli, pemimpin dan Ahli Parlimen UMNO. Beliau berkiblatkan UMNO. Tetap kepada UMNO. Apatah lagi Ku Li juga seperti Ibrahim Ali. Melompat ke sana dan ke sini. Cumanya dalam hal royalti. Saya memandang beliau konsisten dan bertepatan menyokong Kerajaan Negeri Kelantan.

Keghairahan UMNO ada haknya. Pengaruh Ku Li tidak dapat dinafikan di Galas nanti. Keputusan pilihanraya umum wajar dianalisis PAS. PAS kalah di kedua-dua DUN di bawah Parlimen Gua Musang. Cuma menang di Galas. Itu pun dengan majoriti yang rendah. Pengaruh Ku Li dan semangat 'Melayu' ada di sana. Tentulah 'isu-isu Kemelayuan' akan dipalu UMNO di Galas. Isu nasional seperti tuntutan royalti minyak belum pasti menjadi faktor penarik kemenangan sebagaimana di Manek Urai. Galas kawasan yang agak membangun dalam Parlimen Gua Musang. Orang Asal juga ada hampir 2000 sebagai pengundi di sana. Entah apa nanti janji yang akan ditabur UMNO kepada penduduk Orang Asal itu.

Saya lebih suka PAS bersifat sederhana. Mendampingi pengundi terutama kaum Melayu. Rekod dan statistik beberapa pilihanraya kecil menyaksikan PAS gagal menarik pengundi Melayu. Entah mengapa. UMNO masih lagi dilihat talian hayat kepada pengundi Melayu. Terutama masyarakat luar bandar, pendalaman dan Felda. Itu kekuatan UMNO. Meraih simpati dikalangan mereka yang dihimpit kemiskinan. Menabur janji kepada mereka yang tersepit dengan arus perdana. Sebab itulah kekuatan UMNO ada di sana.

PAS kalah pun tidak mengapa. Ia tidak dapat sama sekali menganggu keutuhan dan majoriti 2/3 PAS dalam DUN Kelantan. Cumanya, ia dilihat lebih kepada aspek moral kepada kedua-dua parti bertanding. Begitu juga UMNO. Kalau menang. Nantikanlah keriuhan TV3 dan Utusan Malaysia. Itu sahaja. Habis berjuta pun ia tidak membawa apa-apa kesan kepada PAS di Kelantan. Cuma lebih bersorak dan bergembira.

Mesej?.

Adalah nanti. Pastilah Utusan Malaysia akan memikirkan tajuk-tajuk yang akan memberikan kredit kepada UMNO. Muka hadapan 7 hari 7 malam.

Maknanya.

Galas bukan kayu ukur kekuatan PAS dan UMNO.

Ia lebih dilihat pesta demokerasi negara kita.

No comments:

Post a Comment