Tuesday, October 26, 2010

Belanjawan 2011


Saya kira belum terlambat untuk membuat beberapa ulasan berkenaan dengan Belanjawan Negara yang baru sahaja dibentangkan YAB PM pada 15 Oktober yang lalu. Belanjawan setebal 45 muka surat itu dibentangkan pada jam 3 petang di Parlimen. Yang mana pada waktu tersebut bursa saham negara ditutup bagi pembentangan belanjawan.

Ramai yang tidak mengetahui bahawa belanjawan kali ini merupakan belanjawan yang paling besar dalam tempoh 12 tahun yang lalu dengan nilai RM213.9 billion. Apa yang ganjil adalah nilai yang diperuntukan bagi pembangunan hanya sebanyak RM23.9 billion manakala kos operasi pula sebanyak RM76.1 billion.

Persepsi awal terhadap Belanjawan 2011 menampakkan sesuatu yang bergerak secara sendirinya ke arah Pilihanraya Umum yang akan berlangsung dalam masa terdekat. Walaupun dinafikan UMNO dan BN. Tetapi persepsi itu jelas wujud dengan 'gula-gula' yang diumumkan. Kehendak kita mengatasi segala-galanya. Proksi Rosmah Mansor juga kelihatan jelas ketara kali ini. Sepangjang pembentangan belanjawan itu. Rakyat bawahan sama sekali tidak memperoleh apa-apa. Bukannya tidak ada. Tetapi nafsu 'memboros' dalam belanjawan kali ini muncul lagi dengan projek mega yang mahu di bina.

Pembinaan Menara Warisan yang dianggarkan RM5 billion bertingkatkan 100 akan di bina Najib Razak sebagai mercu tanda pemerintahannya dalam pembentangan belanjawan kali ini. Ia akan di bina di Kuala Lumpur. Projek ini akan diusahakan oleh PNB sebagai pelabur utama projek berkenaan. Dalam laman sosial facebook, sudah ada pasukan yang menentang pembinaan 100 storey Mega Tower berkenaan. Tahniah. Ini mesej kepada kerajaan agak menimbang semula idea berkenaan. PNB bukan hak mutlak mana-mana. Di mana dana dan pelaburannya datang dari masyarakat awam. Walaupun PNB menegaskan ia sama sekali tidak menggunakan wang pelaburan rakyat tetapi jaminan tersebut sama sekali tidak mutlak. Sebagaimana negara pernah dikejutkan dengan kehilangan wang PPRT, KWSP, Tabung Haji, Felda dan lain-lain GLC.

Ini adalah 'taktik' lama. Menggunakan alasan pembinaan projek untuk membina kekayaan peribadi golongan elit tertentu. Saya tidak menuduh. Tetapi persepsi awal itu wujud dalam pemikiran kita.

Apakah pembinaan Menara Warisan ini suatu keperluan yang amat sangat pada masa sekarang?. Bukankah kerajaan sendiri melaungkan kempen berjimat cermat kepada rakyat tentang kesempitan wang amat sangat. Dalam keadaan subsidi minyak ditarik, harga barang yang melambung tinggi, kenaikan harga insurans, tol dan kadar gaji minumum yang belum selesai. Kerajaan dengan mengah mengumumkan mahu membina 'bangunan' semata-mata. Apa perlu menara ini kepada pemandu teksi, penjual ikan, penjaja kecil dan sederhana, tukang jahit, pemandu bas dan lori?. Bukankah taraf hidup mereka sedang dihimpit kesusahan dalam talian ekonomi kapitalis ciptaan kerajaan melalui penswastaan dan dasar ekonomi yang berat sebelah?

Anda tahu. Melalui tender terbuka, kos pembinaan sesebuah politeknik adalah bernilai RM100 juta manakala kos untuk membina Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) kira-kira RM35 juta. Hal ini bermakna, dengan nilai RM5 billion yang anggarkan untuk membuat 'Menara 1oo tingkat' Najib-Rosmah boleh membina 50 politeknik dan kira-kira 142 MRSM!.

Untuk siapa sebenarnya Menara Warisan ini?. Untuk menarik peabur saya kira, pembersihan amalan kerajaan dalam rasuah dan penyalahgunaan kuasa wajar disemak semula. Tanda aras FDI begitu buruk sama sekali. Alasan pelabur adalah amalan rasuah dan campurtangan dalam instusi kehakiman. Bukan tiada bangunan!

Perkara kedua yang menarik perhatian kita ialah pengecualian terhadap cukai imprt terdap 300 jenis barangan pakai seperti baju dalam, seluar dalam, pakaian tidur, kasut, pewarna rambut, tas tangan dan lain-lain. Kesemua jenis barangan ini adalah import dan mewah. Dengan mengecualikan cukai import, akan membenarkan barangan tersebut murah harganya dan boleh dibeli sesiapa sahaja. Bahkan, ia akan membuatkan Malaysia dikenali sebagai syurga membeli belah dikalngan pelancong asing.

Siapa yang boleh membeli tas tangan yang bernilai RM300-RM500?. Baju dalam yang mahal harganya?. Seluar dalam berjenama import yang boleh dibeli digedung-gedung mewah dalam negara?. Untungnya kepada rakyat jelata atan pelancong?. Kalau untungnya pada pelancong, maka ia meningkatkan kadar pengaliran wang masuk ke negara kita. Namun, terfikirkah kita dengan 'hak membeli' rakyat bawahan terhadap semua keperluan tersebut. Mungkin bagi Rosmah Mansor ia suatu yang menggembirakan apabila barang-barang keperluan dan kesukannya tiada lagi dikenakan cukai. Dengan duit siapa dia membeli dan bermewah-mewah?. Apa untung masyarakat luar bandar apabila baju dalam dan seluar dalam import dikecualikan cukai import?. Mereka ini. Kadang-kadang pergi ke kebun, sawah, menoreh getah, menangkap ikan pun tidak memakai seluar dalam!

Saya juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada kerajaan dalam belanjawan kali ini yang meningkat elaun JKKK, imam, ketua kampung, ketua orang asli dan guru KAFA. Semoga kenaikkan elaun ke atas mereka ini akan terus meningkat. Meraka adalah rakyat diperingkat bawahan yang bertungkus lumus bekerja seharian. Juga ke atas pemberian bonus kepada kakitangan kerajaan sebanyak RM500 dari Gred 54 ke bawah. Jazzakallah kasirun!

Kakitangan perkhidmatan pendidikan siswazah (Guru) mendesak kerajaan meningkatkan sistem gred kepada mereka. Perlu diadakan penyemakan semula kenaikkan gred guru dan penstrukturan semula 'time based' kepada guru-guru. Perjumpaan Najib dengan 14,000 guru-guru disebut di dalan Utusan Malaysia lebih kepada isu bonus. Ia sama sekali tidak tepat. Guru tidak menuntut bonus sebulan gaji sebagaimana yang dilaporkan Utusan Malaysia. Alasan Najib pemberian bonus sebulan gaji kepada kakitangan awam akan menelan belanja RM1.3 billion. Kerajaan melalui Kementerian Kewangan perlu berjimat cermat dengan perbelanjaan. Maka sebab itulah bonus hanya diberikan sebanyak RM500 sahaja. Sedangkan, tuntutan guru-guru adalah berkaitan kenaikan gred mereka. Tempoh 8-10 tahun dari Gred DG41-DG44 adalah suatu tempoh yang terlalu lama. Ini berbeza dengan gred pensyarah yang begitu cepat sekali kenaikan mereka. Begitu juga dengan kakitangan pengurusan dan penguatkuasaan. Bagaimana dengan pendidik?. Bukankah kami semua yang melahirkan anda sebagai doktor, jurutera, polis, pegawai, Menteri dan Perdana Menteri!.

Congak semula.

Belanjawan juga turut mengurniakan RM100 juta kepada Program Permata anjuran isteri PM sebagai program perintis kanak-kanak. Dengan begitu mudah. Perbelanjaan kepada Program setahun jagung itu begitu ketara sekali. Bagaimana dengan keberkesanan program berkenaan. Adakah ia mengurangkan kadar kelahiran anak luar nikah dalam negara kita. Kalau bukan kerana faktor itu. Apa kata digunakan RM100 juta itu untuk pembangunan keagamaan semua kaum?. Bukankah apa yang dinyatakan oleh Shahrizat Jalil berkenaan dengan zina dan anak luar nikah suatu yang membimbangkan hari ini dalam negara kita?.

Terakhir sekali. Saya mahu kita sedarkan diri dengan tuntutan gaji minimum kepada rakyat negara kita yang masih berada dalam paras kemiskinan. Garis kemiskinan negara pada hari ini adalah RM720. Dan rakyat dalam negara ini yang bekerja terutama dalam sektor swasta masih ramai yang menerima gaji di bawah paras kemiskinan tersebut. Tuntutan CUEPACS kepada kerajaan dalam hal ini adalah jelas merupakan tuntuan yang mendesak kerajaan menggubal Akta Gaji Minimum kepada rakyat dalam negara. Contoh jelas, dalam belanjawan 2011, kenaikkan gaji posmen dan pegawai keselamatan.

Kononnya Belanjawan kali ini memberi pengiktirafan kepada posmen dan pegawai keselamantan(sebut pak guard). Selepas ditanya posmen yang menghantar surat setiap hari ke rumah, rupa-rupanya gaji pokok seorang posmen selama ini adalah sebanyak RM610.00 dan hanya dinaikkan sehingga RM710 sebulan. Sukar juga apabila cuba memahami logik di sebalik meletakkan gaji pokok minimum pegawai sekuriti yang ditetapkan antara RM500 hingga RM700 sebulan, mengikut pemerhatian dan pengetahuan kita, gaji minima pegawai sekuriti sememangnya di sekitar RM700 sebulan.

Mengikut Kajian Kementerian Sumber Manusia mengenai gaji pekerja dalam negara mendapati bahawa hampir 34% daripada kira-kira 1.3 juta pekerja memperolehi pendapatan bulanan bawah RM700. Barangkali posmen dengan pendapatan RM700.00 sebulan itu adalah kayu ukur kepada apa yang dimaksudkan dengan negara berpendapatan tinggi.

Sama ada pendapatan sebanyak RM700.00 memadai untuk kadar tol yang sedia ada, harga petrol yang dinaikkan secara diam-diam, harga gula, kopi, teh, susu, dan sebagainya, itu cubalah kita serahkan kepada pengguna sendiri untuk dinilai. Kajian Bank Dunia mendapati bahawa pergerakan gaji di Malaysia hanya mencatatkan pertumbuhan 2.6% setiap tahun sejak 10 tahun lepas berbanding dengan peningkatan kos hidup dalam tempoh itu. Kita juga yakin Menteri Sumber Manusuia S. Subramaniam mengetahui hal ini, mungkin beliau gagal meyakinkan penasihat fesyen Yang Amat Berhormat Perdana Menteri yang segak berbaju Melayu berwarna merah jambu ketika membaca Belanjawan 2011.

Kehendak rakyat jelata. Terutama diperingkat bawahan masih lagi kurang mendapat perhatian kerajaan. Kita bersetuju dengan kemelesetan ekonomi dunia dan kantung kerajaan yang semakin menipis dalam perbelanjaan. Namun, apakah kita yang perlu disalahkan dengan permasalahan tersebut dengan melihat pemimpin-pemimpin kerajaan bebas berbelanja dengan laba yang tinggi?

Bukankah kita wajar dilihat penting pada setiap masa.

No comments:

Post a Comment