Saturday, May 15, 2010


Kemerosotan sesebuah tamadun manusia digariskan oleh Ibnu Khaldun dengan baik sekali. Beliau menggariskan beberapa faktor yang menjadi sebab musabab sesebuah Tamadun Manusia itu akan hancur dan jatuh merudum. Tanpa mengambil kira faktor yang lain. Saya hanya mahu menyentuh satu faktor sahaja yang barangkali dapat membuatkan kita berfikir dengan hati yang terbuka.

Salah satu faktor yang disebut oleh Ibnu Khaldun ialah, keruntuhan akhlak dan moral manusia. Akhlak dan moral menjadi petunjuk aras dalam sesebuah tamadun manusia itu bertahan kekal atau sebaliknya. Akhlak dan moral datangnya dari kelakuan, sifat, tabiat dan tingkahlaku manusia. Manakala, kelakuan, sifat, tabiat dan tingkahlaku manusia pula dikawal dengan akal fikiran kurniaan Allah SWT. Akal pula mestilah bersangkut dengan agama. Jika hanya dibiar akal menelaah alam. Tanpa melibatkan agama dan kepercayaan. Maka manusia akan hanya menggunakan logik akal mereka semata-mata. Dijauhkan agama dalam kehidupan. Dpinggirkan agama dalam sesuatu tindakan. Maka hasilnya adalah manusia yang murah moralnya. Rendah akhlaknya. Merudum kualiti tingkahlakunya. Rosak binasa.

Tamadun Manusia yang dilakarkan selepas tamatnya Zaman Pra-Sejarah dan Logam ialah hasil buah tangan manusia. Manusia yang diciptakan Allah SWT diberikan hak untuk mengurus. Mengurus segala kehidupannya. Maka, manusia berlumba-lumba membina tamadun untuk kehidupannya bagi mengurus manusia-manusia yang lain.

Diciptanya undang-undang untuk mengurus tingkahlaku manusia. Mengawal dari sudut peraturan. Juga sistem agama dan kepercayaan. Bagi menaruh tindak balas bahawa manusia hidup di atas muka bumi ini ‘bertuan’. Bahasa dan tulisan. Seni dan kebudayaan. Rekacipta dan teknolgi. Diuruskan manusia. Dibentuk masyarakat. Adanya tuan dan hamba. Mengurus dan diuruskan. Kehidupan manusia berubah dari satu tahap ke tahap yang lain. Disebut ‘transformasi manusia’. Alam jahil ke peradaban. Bogel ke berpakaian. Gua ke kawasan perumahan. Sara diri ke perdagangan. Nafsu ke akal fikiran.

Kesemuanya dibentuk oleh manusia itu sendiri. Kata kuncinya adalah mengurus. Mengurus kehidupan manusia ke arah kesempurnaan hidup. Didefinisikan sebagai ‘tamadun’, peradaban, civiliszation, pencapaian, hadharah dan lain-lain.
Manusia yang bertanggungjawan mengaturkan ke semua itu. Dalam teori peradaban ciptaan Ibnu Khaldun. Beliau merumuskan tahap tamadun manusia ada tingga tangganya. Pertama, permulaan atau pembinaan. Kedua, kemuncak atau kegemilangan. Dan ketiga, kejatuhan atau kemerosotan.

Saya memilih untuk berbincang tahap yang ketiga itu. Dengan mangambil satu faktor kajian Khaldun.

Oleh kerana tamadun manusia diciptakan manusia. Tanggungjawab menjahanamkannya juga mestilah dari tangan manusia. Bukan babi hutan atau biawak air. Buaya atau itik dan ayam.

Keruntuhan akhlak dan moral juga adalah datangnya dari manusia. Keruntuhan akhlak dan moral masyarakat merupakan faktor jelas keruntuhan serta kerosakkan sesebuah tamadun manusia.

Beberapa tamadun yang menemui jalan kehancuran boleh dibuktikan dengan jelas. Dengan tidak menolak faktor serangan pihak luar atau bencana alam. Saya menganjurkan akhlak dan moral sebagai tunjang utama.

Tamadun Melaka yang diasaskan oleh Parameswara pada 1400 M adalah contoh terbaik sebagai permulaan perbincangan. Menemui ketiga-tiga tahap perkembangan yang disebut Ibnu Khaldun. Permulaan, Kemuncak dan Kemerosotan. Selain dari serangan Portugis pada tahun 1511 pimpinan Alfonso de Albuquerque. Antara foktor menarik kejatuhan Melaka juga adalah rasuah, iri hati, cemburu dan fitnah. Kekalutan bencana fitnah berlaku ke atas Tun Mutahir hingga ke peringkat beliau dibunuh oleh Sultan Mahmud Syah. Tatkala itu. Tidak ada lagi yang berkelayakan memegang jawatan Bendahara. Diangkatnya Tun Perpatih Putih yang uzur dan tepok. Lalu, kelemahan pentadbiran Melaka dapat dikesan oleh Portugis yang sudah pun bersiap sedia menyerang Melaka. Akibat kezaliman, menjatuhkan hukuman tanpa usul periksa, berat sebelah, iri hati, cemburu, adu domba, rasuah dan fitnah. Kegemilangan Tamadun Melaka itu hancur berkecai di tangan penjajah. Seluruh Melaka di tawan. Pusat dagaangan dan pelabuhan. Hasil cukai dan kekayaan. Tamatnya riwayat sebuah Tamadun Melayu di Melaka pada 24 Ogos 1511.

Tamadun Turki Uthamniyyah yang menjadi empayar Islam terkuat dan mengusai dunia Eropah juga menunjukkan tahap kejatuhan juga berpunca dari akhlak dan moral. Mengambil kira faktor Gerakan Turki Muda, pimpinan Kamal Attarturk. Beberapa buah buku berkaitan sejarah Turki tidak menolak sama sekali tabiat dan tingkahlaku kerajaan Sultan Abdul Hamid II itu. Pemerintahan yang tidak cekap dengan bermulanya sikap lupa diri, suka bermewah-mewah, meminum minuman keras, bermain perempuan dan hiburan. Menjadi aktiviti utama sang pemerintah dan golongan istana. Pembaca boleh merujuk sebuah buku yang sangat baik berkenaan kemerosoton Tamadun Islam ini, iaitu ‘Jatuhnya Sesebuah Tamadun’, tulisan Mohamad Nurhakim. Akibat kehidupan yang tidak berakhlak terbabit. Menjadikan Sultan Abdul Hamid II adalah Khalifah terakhir Turki Uthmaniyyah. 1281-1924 M.

Kedua-dua contoh tersebut adalah Tamadun Melayu dan Islam. Kegagalan mengawal akhlak dan moral menjadikan tamadun Melayu dan Islam itu dijajah oleh bangsa Barat.
Al-Quran meliputi sejarah lampau dan peringatan. Nasihat dan ibadat. Undang-undang dan peraturan. Namun, masyarakat Islam adalah umat yang tidak mempedulikan sama sekali kitab peninggalan Kekasih Allah tersebut.

Penyakit akhlak dan moral dalam masyarakat semakin membarah meliputi seluruh umat Melayu dan Islam sedunia. Kehidupan pemimpin dan kerajaan umat Islam sama sekali berbeza dengan apa yang diajarkan al-Quran. Keindahan pemerintahan Islam juga tidak lagi bersinar akibat peradaban kerajaan umat Islam tidak langsung meneliti contoh pemerintahan Nabi Muhammad SAW dan para Khulafa ar-Rasyidin mentadbir negara.
Kalau dikatakan negara umat Islam mengikuti Barat ada baiknya. Lihat negara New Zealand. Antara negara yang bersih dari rasuah. Hong Kong umpamanya. Mempunyai Suruhanjaya Pembasmi Rasuah antara yang terbaik di dunia. Singapura dan China. Maju dalam ekonominya dan bersih dari gejala rasuah dan tidak hidup bermewah-mewah. Di Jepun. Jika ada Perdana Menterinya yang melakukan rasuah dan pembaziran. Mereka akan membunuh diri sebagai tindak balas kepada akhlak dan moral yang menjijikan. Thailand selepas Thaksin mengambil alih pemerintahan menggubal Undang-undang menembak mati polis yang mengambil rasuah. Di beberapa negara Eropah pula, mereka mengawal aktiviti perjudian dan minuman keras.

Itu negara Barat.

Ia tampak sama sekali berbeda dengan Negara umat Islam. Sedangkan Islamlah agama yang memerangi rasuah, pembaziran, perjudian, larangan arak yang paling keras. Nabi Muhammad SAW meninggalkan peraturan dan undang-undang kawalan tingkahlaku dan moral manusia dengan begitu telitinya. Mangawal tingkahlaku manusia dari melakukan amalan jijik seperti rasuah, menindas, meminum minuman keras, berjudi, berzina, berhibur melampaui batas, membazir dan bermewah-mewah.

Malangnya. Nilai murni ciptaan Allah SWT dan akhlak terpuji peninggalan Muhammad SAW diwarisi kerajaan, pemimpin dan masyarakat bukan Islam. Model pemerintahan yang ditinggalakan para Khulafa ar-Rasyiddin diamalkan sepenuhnya negara Barat. Jadi. Tidak hairanlah mengapa mereka terus maju dalam pemerintahan dan hebat dari sudut teknolgi. Berkuasa dan meluaskan kuasa. Padanlah negara umat Islam terus mundur dan dijajah. Diperkotak-katikan bangsa Eropah sekian lama.
Apakah ini petujuk kepada pesanan Ibnu Khaldun dalam teori keruntuhan tamadun yang diciptakannya?

Akibat keruntuhan akhlak dan moral menjadikan kita terus hina dan papa?
Di Malaysia. Kita baru sahaja dikejutkan dengan pengumuman pemberian lesen judi sukan berbentuk taruhan bolasepak. Lesen yang diluluskan sendiri oleh Menteri Kewangan dan Perdana Menteri sebuah negara umat Islam. Hadiah lesen tersbut diserahkan kepada tauke judi nombor satu negara, Tan Sri Vincent Tan melalui syarikatnya Berjaya Sports. Sebanyak 2000 lesen premis dibenarkan untuk berjudi dan bertaruh kepada rakyat Malaysia tercinta. Alasan kerajaan bagi mengawal pertaruhan judi haram yang tidak berlesen. Dengan member lesen. Seolah-olah meletakkan ‘Sijil Halal’ maka kawalan ke atas judi haram dapat dibanteras pihak berkuasa.
Singkat sungguh pemikiran pemimpin kita. Mengapa tidak diharamkan dan bertindak menyerang sahaja lubuk judi haram. Tidakkah itu cara yang terbaik. Tidak cukup penguatkuasa. Lantik sahaja beribu-ribu pemegang ijazah yang menganggur sebagai Pegawai Penguatkuasa. Berikan mereka gaji dan pendapatan. Salurkan jawatan melalui SPA. Saya pasti berpuluh-puluh ribu manusia akan menawarkan diri. Beruntung dari segi ekonomi. Rakyat yang ada pekerjaan dapat membeli dan menjana ekonomi barangan.
Dari segi pendapatan negara. Wang judi atau cukai pengeluaran lesen ini akan diletakkan di dalam Kumpulan Wang Yang Disatukan. Disatukan bermakna dicampur adukan dengan wang cukai dari pelbagai sumber kewangan yang lain. Apabila disatukan. Ia akan dijadikan pendapatan ekonomi negara dan akan dibelanjakan oleh kerajaan untuk pelbagai pengurusan dan pembangunan rakyat jelata. Ia akan ke sektor pendidikan, pertahanan, gaji kakitangan awam, belia, kebajikan, pembinaan jalan raya, pembinaan segala kemudahan masyarakat sejagat. Ke semua perbelanjaan ini datang dari pelbagai sumber. Halal dan haram. Maka, dibinalah ekonomi negara kita dengan sumber haram tadi.

Mana keberkatannya dalam pemerintahan?. Mana kerahmatan dari Allah SWT kepada negara. Mana tidaknya masyarakat kita murah sekali moralnya. Mana tidaknya jenayah berleluasa. Mana tidaknya anak-anak remaja kita rosak peribadinya?. Mana tidaknya rakyat negara kita rendah kualiti tingkahlakunya?

Apabila akhlak dan moral kerajaan, pemimpin dan rakyat semakin jauh dari akal dan agamanya. Semakin hampir tamadun manusia di bumi Malaysia menuju kehancurannya. Semakin ia dekat sekali dengan kejahilan sifat, tingkahlaku, tabiat, kelakuan dan sivik. Semakin terbuktilah kajian Ibnu Khaldun ke atas peradaban manusia.
Semakin ia hampir semakin rasa takut.
Takut akan kejatuhanannya. Takut akan kehancurannya.

No comments:

Post a Comment