Monday, January 25, 2010

Kegembiraan dan Kesedihan


Hari ini. Hari yang menggembirakan saya. Selepas hampir 3 bulan saya menunggu. Akhirnya khabar gembira itu sampai juga. Kita merancang, Tuhan menentukan. Kegembiraan bercampur sedih sebenarnya.

Saya telah mendapat tawaran berkhidmat sebagai Pegawai Pendidikan Mara di Langkawi. Saya perlu melapor diri pada awal Februari. Tarikh yang sama saya menerima khabar gembira tahun 2009. Berulang kembali pada Februari 2010. Saya masih dalam lapangan yang sama. Lapangan akademik. Saya tidak bertukar arah destinasi.

Gembira kerana usaha saya berhasil, doa saya dimakbulkan untuk mendapat pekerjaan yang lebih stabil dan status pekerjaan tetap. Ini yang menggembirakan saya. Organisasi Mara adalah Badan Berkanun. Ribut dan taufan ekonomi yang melanda Malaysia, insyallah Mara tidak akan ditutup!. Itu kestabilan. Gaji juga berubah selain elaun tetap yang saya akan terima juga lebih baik dari apa yang saya perolehi hari ini. Berkat doa semua pihak. Saya bersyukur dan gembira.

Sedih. Saya terpaksa meninggalkan teman-teman di sini. Rakan sekerja dan sahabat-sahabat pensyarah di Cybernetics. Juga 'anak-anak' murid dan pelajar yang baik dan bersemangat tinggi. Beberapa kelas tadi saya sudah umumkan pengunduran saya. Saya tidak tahu apa perasaan mereka. Barangkali ada yang gembira. Cik Zul dah pindah!. Barangkali juga ada yang bersedih. Barangkali ada. Atau mungkin tiada.

Ini bukan kehendak saya. Allah mentakdirkan segala-galanya. Komitmen dan semangat sebagai pendidik tidak pernah luntur dalam jiwa saya. Mungkin tempat menabur ilmu sahaja yang bertukar. Mungkin itu kehendak Allah SWT. Mahu mengembangkan keupayaan saya ditempat lain. Siapa tahu. Ini cara Allah menguji saya. Memberi pengiktarafan kepada saya. Saya hanya menurut kehendak Yang Maha Kuasa.

Saya masih ada seminggu lagi. Persiapan peperiksaan pertengahan tahun masih ada. Bukan untuk sesiapa. Untuk para pelajar yang saya sayangi dan kasihi. Insyaallah, segala permasalahan mereka berhubung kelas, kuiz, tutorial, tugasan dan peperiksaan akan saya selesaikan. Itu janji saya. Itu komitmen saya pada mereka.

Perjalanan masih jauh. Kepada sahabat-sahabat dan teman-teman teruskan agenda islah yang kita rancangkan. Sebarang perubahan ke arah organisasi yang positif mesti diteruskan. Kita perlu mengasak ke arah yang lebih baik. Jangan lupa agenda kita. Jangan lupa pada gerakan yang kita santuni bersama.

Kepada para pelajar saya. Teruskan komitmen anda semua. Lapangan akademik masih terbentang luas. Diploma yang anda ada sekarang bukan pengakhiran kepada jalan menuntut ilmu. Masih banyak ruang. Masih banyak lagi. Justeru, teruskan daya usaha. Tingkatkan ilmu pengetahuan dan berlumba-lumbalah ke arah kecermelangan kendiri. Bukan untuk sesiapa. Untuk kejayaan peribadi. Muliakan ilmu. Cintakan ilmu. Itu tanggungjawab anda. Jangan pedulikan sesiapa. Kejar dan terus berkejar ke arah ilmu pengetahuan.

Semoga kita dirahmati. Diberikan daya yang kuat menghadapi segala cabaran duniawi.

No comments:

Post a Comment