Saturday, December 19, 2009

Memimpin Perubahan, Menjana Kemenangan

Hari ini, sejarah terukir lagi dalam arus politik perdana negara kita. Komponen parti-parti pembangkang yang terdiri daripada PAS, PKR dan DAP bersatu hati menubuhkan Majlis Konvensyen yang pertama antara mereka. Dengan tema 'Memimpin Perubahan, Menjana Kemenangan'. Majlis berlangsung di Dewan MBSA, Shah Alam pagi tadi dan tamat jam 5.30 petang. Beberapa dasar bersama antara ketiga-tiga parti telah diluluskan semua perwakilan setiap parti komponen. Tahniah Pakatan Rakyat.

Saya mengharapkan agar kerjasama erat Pakatan Rakyat berterusan sehingga mampu menjadi 'pesaing' sengit kepada BN. Malah mampu ke tahap menggantikan Barisan Nasional sebagai parti pemerintah di Malaysia. Agenda perubahan mesti direalisasikan bersama. Konsep 'keadilan sosial' mesti diterjemahkan secara padu oleh Pakatan Rakyat. Saya menyokong agenda perubahan politik ini. Memandangkan BN yang berkuasa mutlak mempamerkan prestasi negatif sejak mutakhir ini, maka perlunya parti pembangkang yang kuat di Malaysia yang mampu 'menyaingi' BN. Setidak-tidaknya pemerintah tidak sentiasa berada dalam situasi 'comfort zone'.

Pengganti BN. Itu mesti diterapkan dalam mentaliti Pakatan Rakyat. Kuatnya parti pembangkang di Malaysia bukan bertujuan menjahanamkan negara, mengkhianati Perlembagaan dan menghancurkan agama. Sebaliknya, kekuatan itu mesti berteraskan amalan demokrasi yang tulen, membantu membangunkan negara dan menguatkan bangsa Malaysia. Itu tujuannya. Kekuatan seumpama ini diharap dapat digembeling bersama-sama rakyat menurunkan mana-mana pemimpin yang rakus, tamak, 'racist', biadap dan sombong. Tidak kira siapa. Pakatan atau Barisan. Itu kehendak saya.

Ini peringkat permulaan. Saya mengharapkan lebih banyak agenda perubahan berlaku selepas ini. Aspek-aspek yang lemah di negara kita perlu diperbaiki. Baik dari segi pemerintahan, pentadbiran dan undang-undang. Masih banyak kelemahan. Itu harapan saya. Agenda perubahan Pakatan Rakyat mesti direalisasikan untuk semua sudut. Setidak-tidaknya lebih baik dari BN.

Saya menyokong yang baik, telus dan ikhlas. Kalau selepas ini pemimpin UMNO dan BN juga mahu 'memimpin' perubahan. Memperbaiki kelemahan. Saya juga akan menyokong. Tradisi amalan demokrasi pasti ada pemerintah dan pembangkang. Kita bukan negara feudal. Mesti kita mengiktiraf kedua-dua belah pihak. Apa yang baik dari pemerintah mesti diiyakan. Apa yang buruk mesti dinyatakan. Begitu juga pembangkang, apa yang positif disokong. Apa yang negatif ditentang. Baru demokrasi namanya. Bukannya menafikan hak mana-mana pihak. Haprak kita jadinya.

Oleh yang demikian, saya menyokong perubahan. Agenda murni mesti diteruskan.
Bersama menjana perubahan!

No comments:

Post a Comment