Monday, December 21, 2009

'Demokrasi dan Federalisme'

"Kalau tak sokong Kerajaan, jangan ambil biasiswa kerajaan, jangan sekolah kerajaan, jangan belajar di universiti kerajaan. Buat la sekolah dan universiti sendiri!".

Saya mulakan dengan dialog seorang sahabat berkenaan dengan perbualan politik di Malaysia. Saya suka politik dan berada dalam suasana politik. Itu manusia. Kita tidak boleh pisah dari politik. Sebagai umat Islam, politik adalah sebahagian dari agama. Kita tak boleh pisahkan. Politik adalah jalan kehidupan. Mana mungkin agama dan kehidupan dipisahkan. Salah. Itu yang manusia tak faham. Kita bukan Buddha, Hindu dan Konfusianisme. Agama lain, kehidupan lain. Sesat namanya.

Sahabat saya begitu berang apabila ada rakan-rakan yang provok beliau. Rakan-rakan yang menyokong parti PAS sebagai wadah perjuangan politik mereka. Itu demokrasi. Kita berhak menyokong parti mana yang kita suka. UMNO, PAS, PKR, DAP atau apa sahaja. Kalau orang Melayu nak sokong Samy Vellu pun boleh. Kita negara demokrasi.

Apabila keluar dialog sebegitu rupa, saya kurang bersetuju. Saya tidak memihak. Saya lebih gemar mendokong 'National Interest'. Perlembagaan sebagai rujukan utama dalam amalan politik. Begitu juga dengan nas-nas agama. Jangan ditinggalkan. Saya menyokong kehendak itu. Jadi, apabila timbul dialog sahabat saya tadi, saya bingkas bangun dan menerangkan serba sedikit pengetahuan yang saya ada berkaitan ilmu 'Federalisme dan Demokrasi' yang kita amalkan.

Pertama, kewujudan sesebuah kerajaan datang dari amalan pilihanraya. Parti mana yang menang, jadi kerajaan. Malaysia amalkan begitu. Dapat 2/3 majoriti undi boleh bina kerajaan. Amalan itu dibina British, kita amalkan. Samada Kerajaan Pusat (kerajaan Malaysia) atau Kerajaan Negeri, kita amlakan proses yang sama. Pilihanraya. Parti mana yang menang jadi kerajaan, kutip cukai dari semua pihak. Penyokong yang menang bayar cukai, yang kalah pun bayar juga. Amaun yang sama.

Kedua, hasil dari cukai semua pihak. Tidak kira dari orang PAS atau UMNO dikutip untuk membiyai perbelanjaan Negara atau Negeri. Oleh yang demikian, kalau diperoleh hasil cukai itu dari semua pihak maka wajib bagi Kerajaan Pusat atau Negeri membiyai rakyatnya tanpa mengira fahaman politik. Konsep Kerajaan dan Parti tidak sama. Lain bunyinya. PAS parti Kerajaan di Kelantan, jadi pembangkang di Johor. UMNO, jadi Kerajaan di Pahang tetapi pembangkang di Kedah, Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor. Ini perkara biasa dalam amalan 'demokrasi'. Kerajaan Kelantan tidak boleh menafikan hak penyokong UMNO itu mendapatkan tanah, subsidi, bantuan persekolahan, biasiswa, bantuan bencana alam dan lain-lain perkara. Walaupun mereka UMNO tetapi mereka adalah rakyat pembayar cukai!. Begitu juga di Pahang, Johor dan lain-lain negeri yang diterajui UMNO. Kerajaan UMNO di Johor tidak boleh menafikan hak-hak penyokong PAS, PKR dan DAP mendapatkan biasiswa, bantuan kebajikan, bantuan bencana alam, tanah, subsidi baja dan lain-lain perkara. Penyokong PAS juga pembayar cukai di Johor!. Itu amalannya.

Ketiga, konsep Kerajaan dan Parti diasingkan sejauh-jauhnya dalam Perlembagaan Malaysia. Semua mendokongnya. Tidak kira PAS atau UMO. Pembangkang atau Kerajaan. Rakyat Malaysia mendokong dan menyokong amalan tersebut. 'Doktrin Pengasingan Kuasa' dalam elemen 'Konsep Federalisme' diceritakan panjang lebar dalam Perlembagaan Malaysia. Hubungan Kerajaan Pusat dan Negeri serta kuasa diantara kedua-dua belah pihak diperincikan sedalam-dalamnya. Rakyat memahaminya. Pemimpin politik saya tak tahu. Tetapi saya tahu. Buku-buku berkenaan dengan perkara ini manjadi buktinya. Hatta dalam buku teks Sejarah Malaysia tingkatan 3 pun ada, begitu juga dalam subjek Pengajian Am tingkatan 6 pun ada menulis tentang perkara ini. Semua orang tahu dan patut tahu. Itu ilmunya. Jadi, Kerajaan Pusat tidak boleh menafikan hak Kerajaan Negeri. Begitu juga Kerajaan Negeri, tidak boleh menafikan hak Kerajaan Pusat. Apa yang hak mesti diberikan. Termasuk hak royalti minyak!. Jangan dinafikan. Itu demokrasi. Dalam 'Federalisme', sebuah Kerajaan Negeri juga dianggap anggota Kerajaan. Sabotaj pada Kerajaan Negeri juga dianggap sabotaj pada sistem 'Federalisme dan Demokrasi'. Itu hujah saya.

Saya tak hairan dialog teman saya tadi. Beliau tidak arif tentang perkara ini. Saya memberitahunya. Beliau terima. Hujah saya tidak berbaur politik. Lebih kepada 'National Interest', semangat Perlembagaan. Itu sahaja. Tetapi saya tidak boleh terima hujah yang sama kalau datang dari pemimpin politik. Nampak begitu dangkal dan lemah. Kalau pelajar tingkatan 3 dengar apa kata mereka?. Pasti tertawa. Lainlah kalau ada yang menyokongnya. 'Tukang kata dah nampak dungu, pasukan sorok pasti nampak bodohnya'.

Itu hujah saya.

1 comment:

  1. salam....saya agak bersetuju dengan pendapat saudara...saya merupakan pelajar di sebuah IPTA.. dan telah ditugaskan untuk membuat bertajuk federialisme antara teori dan amalan..saya hendak mintak pandangan daripada saudara..apa yang boleh saya boleh bincangkan bagi menyiapkan tugasan ini..

    ReplyDelete