Wednesday, November 21, 2012

Doa

Polemik doa sehari dua ini amat menarik. Menarik dari segi penghujahan yang dibuat oleh kedua-dua belah pihak. Pihak yang berdoa dan yang didoakan. Mengapa entah. Marah sungguh pihak yang diketahui doa untuk menghancurkan parti mereka dan komponennya. Perlu dijelaskan kepada kita semua. Kandungan doa tersebut tidak dihalakan kepada ahli-ahli dalam parti tersebut. Jadi, janganlah bimbang. Kepada penganut-penganut parti nasionalis itu, anda tidak perlu gusar. Anda hidup seperti biasa. Tidak terkeluar dari landasan yang benar. Mengapa suara-suara respons seakan begitu takut dengan doa yang dipimpin TG Nik Razi Nik Mat itu. Seakan takut. Takut dihancurkan dan dimusnahkan. Puas saya berfikir. Takut kerana salah. Berani kerana benar. Apa bimbang dengan doa? . Bukan kerja kita menentukan doa itu akan dimakbulkan. Biarkanlah sahaja mereka dengan doa itu andai anda dipihak yang benar.

Kedua. Fahamlah kita betapa hebat kuasa berdoa. Bukankah doa itu adalah senjata orang mukmin. Beratus ribu kandungan doa di dalam al-Quran. Andai ada masa belik-beliklah sebentar. Membaca tafsir al-Quran. Lihat dengan mata sendiri. Bagaimana Allah swt menggunakan 'bahasanya'. Kutukan kepada yang musyrik dan munafik. Padanlah dengan perbuatan manusia yang sedemikian rupa.

Andai ada yang membuat jahat kepada kita. Berkehendak diam seribu bahasa itu tanda kejahilan kita. Sekuat-kuat untuk menentang. Kalah jua dengan doa. Doa senjata orang mukmin. Mohon dan mintalah. Hanya Allah swt berkuasa memakbulkan atau menolak. Andai makbul. Alhamdulillah. Andai tidak, doa lagi!

Rasulullah SAW adalah manusia yang paling mulia dikalangan manusia. Baginda juga tidak lekang dari berdoa. Semua tindakannya bermula dengan doa. Makan, minum, bergerak dengan kenderaan, meninggalkan rumah, hendak berperang, tidur, ke tandas, masuk ke masjid, menerima cahaya mata, mati dan bermacam-macam lagi. Semuanya bermula dengan doa. Doa yang baik dan doa ke atas manusia jahat. Ada dibuatnya. Kisah-kisah para Nabi juga menceritakan kepada kita juga betapa hebatnya doa para Nabi. Nabi Ibrahim memohon kepada Allah swt saat dihukum RajaNamrud. Nabi Luth kepada kaumnya yang laknat. Nabi Nuh juga berdoa kepada Allah swt memohon kutukan kepada kaumnya yang jahil.

Doa juga boleh ditujukan kepada sesiapa. Apatah lagi suasana sekarang. Kita diminta berdoa kepada pejuang-pejuang Palestine di Gaza. Yang dibaham teruk oleh Zionis Laknatullah. Bersama-samalah kita berdoa agar diberi kemenangan kepada Briged Al-Qassam yang berjuang habis-habisan menentang tentera Zionis Laknatullah.

Mungkin masyarakat melihat ia keterlaluan. Memohon kepada Allah swt untuk menang dalam Pilihanraya suatu keganjilan kepada sesetengan manusia. Barangkali mereka tidak mengetahuinya. Bahawa Allah swt sedia 'mendengar' apa sahaja doa. Menang politik juga adalah jalan untuk mendapatkan kuasa. Kuasa politik itulah hendak digunakan untuk mengangkat kemenangan agama Allah swt ditempat yang sepatutnya. Maka relevanlah Allah swt dimohonkan pertolongan yang sewajarnya. Inilah kehebatan Islam yang tiada kepada penganut agama lain. Mengadu kepada Allah swt adalah saat istimewa seorang hamba kepada Tuhannya. Kerana politik itu tiada pisah dengan Islam. Mesti digunakan Islam untuk berpolitik. Memahami itu. Fahamlah doa yang dipohon itu.

Berdosakah berdoa kehancuran sesama Islam?. Jawapannya sudah pasti tidak. Ada riwayat yang mengisahkan Said b. Zaid telah berdoa kepada Allah swt berkenaan dengan seorang wanita yang bernama Arwa binti Ausy. Kerana perempuan tersebut telah menuduh Said b. Zaid mencuri tanah haknya. Maka kes kecurian ini telah dihadapkan kepada Marwan b. Hakam. Antara isi kandungan doa Said b. Zaid ialah, "Ya Allah, jika dia berbohong, butakanlah matanya dan bunuhlah dia di atas tanah". Ternyata, Arwa binti Ausy mati di atas tanahnya sendiri kerana terjatuh di dalam lubang dan buta mata di saat hujung nyawanya. Dan dia sentiasa mengungkap bahawa dia telah terkena doa yang dipohon oleh Said b. Zaid.

Kisah kedua ialah Saad b. Abi Waqqas. Seorang sahabat Rasulullah yang dijanjikan syurga. Besar jasanya kepada agama Allah. Apabila berjaya melebarkan syiar Islam hingga ke China. Beliau pernah dituduh menyeleweng dalam pemerintahnnya di Kufah. Maka, Saidina Umar memecatnya dan menggantikannya dengan Ammar b. Yasser. Selepas itu, Saidina Umar telah melakukan penyiasatan di Kufah dengan membuat selidikan ke atas masyarakat Kufah berkenaan pemerintahan Saad b. Abi Waqqas sebagai Gabenor Kufah. Semua respons yang diperolehi Saidina Umar menyatakan bahawa pemerintahan Saad b. Abi Waqqas tiada kesalahannya. Kecuali respons dari sebuah masjid yang dimiliki oleh Bani Aabs. Di sana ada seorang yang bernama Usamah b. Qatadah. Beliau digelar sebagai Abu Saadah. Usamah b. Qatadah menyebut. "Jika engkau hendak mengetahui pemerintahan Saad b. Abi Waqqas, bahawa beliau tidak menyertai peperangan, jika membahagikan harta perang tidak adil dan dia adalah seseorang yang berhukum dengan tidak saksama". Maka, Saad b. Abi Waqqas berdoa kepada Allah 3 perkara. "Ya Allah, jika dia ini bercakap hanya untuk menunjuk-nunjuk dan berbohong, maka Engkau panjangkanlah umurnya, panjangkan kefakirannya dan dedahlah dia kepada fitnah". Maka diakhir hayat Usamah b. Qatadah, dia tua sehingga jatuh bulu matanya, ahli keluarganya ramai dan dia miskin. Dia juga sering menggatal dengan anak gadis orang dan kuat meraba.

Kisah-kisah boleh dijadikan tauladan kepada kita. Apakah polemik yang disebutkan di atas benar-benar kesahihnya atau hanya permainan media massa yang cukup bahaya dalam usaha memecah belahkan umat Islam dengan kejahilan mereka sendiri. Betapa jahil sehingga ke peringkat bodoh yang nyata.

Perlulah kita mempelajarinya. Bukan bergantung harap kepada media massa yang sering kalah dalam mahkamah atas laporan palsu.

Gunakanlah akal.

No comments:

Post a Comment