Thursday, July 29, 2010

Pilihanraya Umum: SPR Tiada Kuasa


Tan Sri Muhyiddin Yassin menyebut bahawa hanya SPR yang berkuasa untuk mengisytiharkan sesuatu pilihanraya di Malaysia. Ia sama sekali silap dan salah menurut peruntukan undang-undang sedia ada.

Peruntukan yang jelas dalam sesebuah negara demokerasi di Malaysia semestinya bergantung kepada Perlembagaan Persekutuan yang menjadi Undang-undang Tertinggi di Malaysia.

Sebagai seorang TPM. Sepatutnya Tan Sri Muhyiddin Yassin menyemak perlembagaan atau setidak-tidaknya beliau membuat 'homework' sebelum mengeluarkan sesuatu kenyataan berhubung undang-undang. Jadi, tidaklah nampak beliau kelihatan 'bodoh' dihadapan masyarakat awam terutama mereka yang tahu berkenaan dengan undang-undang.

Pilihanraya Umum bagi negara kita adalah sesuatu yang mustahak bagi memilih kerajaan yang dihajati. Amalan tradisi ini yang bermula sejak Pilihanraya Umum 1959 adalah amalan terbiasa kita mengadakan pilihanraya serentak antara Parlimen dan DUN. Parlimen bagi membentuk kerajaan Persekutuan, DUN pula untuk memilih kerajaan negeri.

Walaubagaimanapun, tiada peruntukan khas yang menyebut bahawa pilihanraya umum mestilah diadakan serentak bagi sesuatu pilihanraya. Pilihanraya 1959 sebagai contoh, berlaku dari negeri ke negeri. Tetapi itu berlaku kerana keadaan negara dan ketidakcukupan kakitangan yang menyaksikan Malaya membuat pilihanraya berasingan.

Undang-undang tidak menyebut bahawa sekiranya Parlimen dibubarkan, DUN juga wajib turut sama. Hal ini kerana. Bagi sesebuah DUN, ia terletak ditangan MB atau KM untuk berhadapan dengan Sultan/YDP Negeri bagi membubarkan sesebuah DUN. Sebagaimana di peringkat Parlimen, PM berkuasa penuh bagi mengadap YDPA untuk diperkenankan urusan pembubaran Parlimen.

Selepas Parlimen dan DUN dibubarkan. Barulah SPR yang dilantik oleh Majlis Raja-raja bertindak sebagai 'pengurus' pilihanraya mempunyai 60 hari dari tarikh pembubaran Parlimen dan DUN bagi mengisytiharkan pilihanraya. SPR bukanlah 'penguasa' bagi mengarahkan pilihanraya atau menetapkan sesebuah pilihanraya. SPR hanyalah bertindak selaku pengurus, pengelola, pemantau dan lain-lain hal berkaitan pilihanraya yang diadakan. Hatta tarikh pilihanraya pun, ia mendapat mandat dari PM bukan SPR.

Bidang kuasa SPR dijelaskan dalam Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan iaitu:

113 (1) Maka hendaklah ada suatu suruhanjaya Pilihan Raya yang ditubuhkan mengikut Perkara 114, dan yang akan menjalankan pilihan raya bagi Dewan Rakyat dan Dewan Negeri serta menyedia dan menyemak daftar-daftar pemilih untuk pilihan raya itu tertakluk kepada peruntukan undang-undang persekutuan.

Pada asasnya, itulah kuasa SPR dan SPR hanya boleh bertindak atau melaksanakan tanggungjawabnya setelah dimaklumkan secara rasmi berkaitan pembubaran Dewan Rakyat artau DUN ataupun berlaku kekosongan kerusi dewan berkenaan oleh Speaker berkaitan.

Oleh itu, DUN yang dikuasai Pakatan Rakyat berhak untuk tidak membubarnya serentak dengan Dewan Rakyat atau DUN lain sekiranya mereka tidak mahu mengadakan pilihan raya serentak. Mereka boleh memilih untuk mencukupkan tempoh lima tahun seperti yang diperuntukkan di bawah undang-undang.

Jadi, SPR tiada apa-apa kuasa atau hak untuk mengarahkan mana-mana negeri membubarkan DUN bagi memenuhi hasrat Kerajaan Persekutuan untuk mengadakan pilihanraya.

Sesuatu pilihanaraya mestilah didahulukan dengan pembubaran DUN itu sendiri. Kalau DUN tidak dibubar, bagaimana hendak diadakan pilihanraya?

Kes pertembungan Perlembagaan sebegini bukanlah sesuatu yang luar biasa. Sejak pilihanraya umum yang lalu. Tindak tanduk SPR dilihat melebihi tindakan BN itu sendiri. Kes Kota Seputih dan 3 DUN di Perak adalah kes penganiayaan SPR terhadap peruntukan undang-undang.

SPR bertindak melebihi 'hakim' sesebuah mahkamah pilihanraya.

Itu dikenal pasti.

Berkaitan:
Tarikh rayuan kes kerusi Kota Siputeh ditentukan hari ini

No comments:

Post a Comment