Monday, June 21, 2010

Hancurkan Mereka

Saya masih berpendirian penuh yakin bahawa judi adalah penyakit sosial yang merosakkan masyarakat. Judi adalah senjata halus yang tajam mampu membinasakan masyarakat.

Kemiskinan, pergaduhan, cerai-berai, hutang, pembunuhan, dan yang setara dengannya.
Pihak-pihak tertentu meyakinkan dengan hujah bahawa keruntuhan moral dan akhlak tidak terletak hanya pada pihak pemerintah.

Saya setuju 100%. Tanpa soal.

Walaubagaimanapun pihak pemerintah atau ulul amri mempunyai kuasa penuh bagi membendung masalah sosial ini. Mempunyai kuasa dalam perundangan, peraturan, polisi, dasar, pendekatan. Berkuasa penuh dan mutlak.

Sejak Tun Mahahtir memperkenalkan Dasar Penerapan Agama Islam, pengumuman Malaysia ‘Negara Islam’ tahun 2001 dalam majlis perhimpunan Parti Gerakan. Tun Abdullah Badawi memperkenalkan ‘Islam Hadhari’ dan hari ini ‘1Malaysia’. Judi masih lagi berleluasa. Tidak kira samada berlesen atau haram. Kedua-duanya haram.

Dilesenkan bagi memperoleh cukai dari hasil judi itu. Katanya, bagi meningkatkan hasil negara. Untuk rakyat dan pembangunan. Saya tidak mahu mengulas bagaimana wang hasil itu digunakan. Kalau untuk rakyat pastinya meliputi semua urusan. Pendidikan, agama, pembangunan, kebajikan, infrasturuktur dan lain-lain. Hasil judi itu akan disatukan dengan semua hasil negara. Wang itu digunakan. Akhlak dan moral masyarakat bermula dari salah satu penggunaan hasil itu. Terbentuklah ‘sturuktur sosial masyarakat’.

Faktor keruntuhan moral juga barangkali tidak dapat ditolak dari pengaruh keluarga dan ibubapa.

Tetapi, saya mengulas dari sudut pendapatan negara. Datang dari hasil judi. Judi yang diharamkan agama dan Allah SWT. Hasil judi itu diguna pakai untuk rakyat. Jadi, bagaimana keberkatan rezeki dari Allah itu kita mahu harapkan?
Kita bangunkan masjid dan surau. Dewan serbaguna. Kita anjurkan majlis-majlis ilmu agama untuk masyarakat. Pertandingan membaca al-Quran. Bacaan yassin. Kita berzikir dan berdoa. Memohon kesejahteraan, kerahmatan, rezeki yang murah, keselamatan.

Dijauhkan dari bala bencana, rebut taufan, kebuluran, peperangan dan keruntuhan akhlak masyarakat.

Dalam masa yang sama. Kita menentang isi kandungan al-Quran. Isi kandungan yang dijelaskan Allah SWT berkenaan pengharam judi. Terang dan jelas.
Sekalipun jelas. Ia masih lagi belum difahami oleh pemimpin Islam. Yang membaca al-Kitab terbabit.

Dalam masa yang sama juga. Kita mempertahankan ‘Kalimah Allah’ dengan penuh jitu. Berhimpun dan mengeluarkan kenyataan. Mengecam habis-habisan parti yang menggunakan masjid untuk berpolitik. Memisahkan agama dan politik. Syurga dan neraka.
Mereka golongan yang sama. Satu sisi mengeluarkan lesen judi. Satu sisi lagi gerak gempita mengecam penggunaan ‘Kalimah Allah’ untuk majalah Kristian.
Mereka adalah kumpulan yang sama.

Mereka bersandarkan hujah ekonomi dan jurnal murahan yang melihat peraturan itu barangkali dipakai hanya untuk zaman pemerintahan Muhammad SAW. Tidak sesuai dengan mereka. Mundur dan kebelakang. Barangkali mereka melihat begitu.
Maka judi itu dibenarkan. Dibenarkan dengan ‘lesen’ kerajaan.

Mungkin mereka terlupa. Allah SWT juga telah mengeluarkan ‘lesen’ pengharaman.

Mungkin mereka jarang terjumpa dalam al-Quran. Atau meninggalkan ayat Allah SWT itu untuk dibaca.

Mungkin begitu.

Atau mereka sudahpun ada jawapan tersendiri untuk dijawab di Padang Masyar kelak sebagai ulul amri.

Jawablah dengan tenang.

Jawablah penuh yakin.

No comments:

Post a Comment