Tuesday, March 16, 2010

Agenda Perubahan

Agenda perubahan yang hendak dilakukan bukanlah sesuatu yang mudah. Bukan juga menjadi idaman semua pihak. Kadang-kadang perubahan mendapat bantahan. Ada juga pujian. Tetapi tidak dominan. Individu yang mahukan perubahan juga tidak ramai. Mereka yang ramai lebih gemar mengikut arus. Jarang mahu menentang. Mungkin ia agak sukar atau tidak berminat. Mungkin juga tidak mahu dianggap serong atau menyebelah.

Salahkah menentang arus?. Salahkan mengubah sesuatu yang buruk dalam kehidupan. Ia sesuatu yang menarik. Bahkan ia sesuatu yang membanggakan kalau menjadi realiti dalam kehidupan. Tidak semua perkara yang dibuat masyarakat terdahulu benar belaka. Tidak semua kalangan yang tua dari kita membuat perkara yang betul. Ada juga yang salah. Kadang-kadang buruk kelakunya dari kita yang muda. Tidak boleh tidak ditegur. Alasan 'makan garam dahulu' dari kita sudah ketinggalan zaman. Patutnya, kalau dah makan garam dahulu jadi lebih berpengalaman. Yang tua kita hormati. Tetapi hormat yang patut. Bukan membuta tuli.

Perubahan boleh datang dari pelbagai aspek. Diri sendiri, kawan-kawan dan suasana sekeliling. Boleh datang dari mana-mana. Sokongan ke arah itu juga mesti datang dari perkara yang sama. Adakah diri kita mahu berubah?. Adakah kawan-kawan menyokong untuk diubah?. Adakah suasana sekeliling juga menyokong akan perubahan tersebut?. Sekiranya tiga perkara ini ada, sesuatu perubahan itu sangat mudah dilakukan. Perubahan apa-apa pun, baik dari segi ekonomi, pendidikan, sosial atau politik.

Kesukaran di sini. Hanya individu itu sahaja yang mahukan perubahan. Yang lain. Tidak menyokong. Saya sempat berbual dengan sahabat saya. Peluang bercuti sebegini perlu digunakan untuk berbual dengan 'individu' yang betul. Setidak-tidaknya, otak saya tidak berhenti untuk berfikir. Berfikir perkara yang matang, berfikir ke arah perubahan.

Sahabat saya sangat sukakan perubahan. Mengubah gaya kerja dan atmosfera dalam kerangka organisasinya. Beliau bercita-cita membentuk budaya akademik yang sangat saya setuju. Tidak ada yang negatif. Berfikir secara akademik. Bekerja sebagai 'karakter pensyarah'. Bukan kerani atau pemandu teksi. Mereka menyumbang ke arah ekonomi dengan tidak menganggur. Tetapi tidak mengubah dari aspek penjanaan ekonomi. Mereka hanya mengikut sistem yang ada. Tidak pernah terfikir untuk mengubah pendapatan. Dari RM1 ke RM10.

Malang. Tidak ada yang mengikut. Jauh sekali bersetuju. Saya sebutkan pada peringkat awal tadi. Perubahan perlu disokong oleh kawan-kawan atau teman sekeliling, teman sekerja. Juga perlu disokong 'suasanan sekeliling'. Beliau tidak mendapat sokongan kedua-duanya.

Mengeji dari orang lain itu perkara biasa. Tidak ada yang sempurna. Perlukah begitu dalam suasana jalur lebar tanpa wayar, penghantaran makhluk bumi ke bulan, peperangan jarak jauh dan penyampaian ilmu melalui layar putih. Kasihan mereka yang primitif. Tinggal di dalam rumah tetapi masih menggunakan batu untuk menyalakan api. Memakai kemeja bila bekerja tetapi masih tinggal di dalam gua.

Masyarakat kita memang begitu. Benci dengan individu yang mahukan perubahan. Mereka masih dengan 'budaya' kerja yang lemah identitinya. Mencari makan bukan rezeki. Menjadi guru tetapi bukan peransang daya fikir. Mengumpat jadi sarapan pagi, dengki bila makan tengahari dan mengeji di waktu petang.

Kesukaran yang ditempuhi sahabat saya bukan perkara baru yang beliau terima. Jarang-jarang ada manusia seperti beliau. Di mana-mana. Carilah sendiri kalau ada. Beliau adalah perangsang kepada agenda perubahan. Perangsang anak-anak muda. Perangsang kepada atmosfera perubahan.

Saya puji bukan kerana saya kenal. Saya puji kerana saya pernah bekerja dengan beliau. Bekerja dengan suasana yang sama.

No comments:

Post a Comment