Monday, January 4, 2010

Keadilan untuk semua

Keadilan suatu yang mustahak. Di mana-mana. Keadilan mesti ditegakkan. Dalam keluarga, orginasasi mahupun negara. Ia mesti diletakkan sebagai suatu perkara yang utama. Kunci dalam mengelakkan penyelewengan, penyalahgunaan atau pengkhianatan. Amanah adalah jawapan kepada tertegakknya keadilan tersebut.

Amanah seorang bapa menjaga keluarganya. Amanah seorang ketua menjaga organisasinya. Amanah pemerintah menjaga rakyatnya. Bertitik tolak dari amanah tersebut, siapa sahaja mesti menjaga keadilan kepada yang berhak.

Islam menitik beratkan hal ini. Agama Buddha juga tidak terkecuali. Begitu juga Konfusianisme. Hindu sama. Kristian juga begitu. Keharmonian dalam menjaga keadilan dinyatakan kepentingannya oleh semua agama. Walaupun kita mungkin berbeza dari segi kepercayaan dan Tuhan, namun persamaan menegakkan keadilan tidak pernah dinafikan oleh mana-mana agama.

Keadilan dalam Islam dibuktikan oleh Nabi Muhammad SAW dalam pemerintahannya sebagai Ketua Negara. Begitu juga sebagai suami dan ayah. Dijaganya amanah itu seperti menjaga diri sendiri. Tidak pernah sekalipun Baginda mengkhianati amanah ini. Begitu tegar dan takut sekali beliau jika mengkhianati amanah dan tidak berlaku adil pada isteri, anak, sahabat dan rakyat!. Ketakutan baginda begitu ketara sekali. Ketakutan itu mencerminkan ketaqwaan Baginda pada Allah SWT. Menggambarkan keimanan Baginda. Itu jelas. Jika sesuatu perkara dikenakan pada rakyat, ia juga sama pada Aishah RA. Tidak pernah Baginda mengasing-asingkan peraturan atau undang-undang kepada rakyat dan kaum kerabat sendiri. Ketaqwaan Baginda wujud dengan menjaga amanah dan keadilan. Bukan untuk sesiapa. Tetapi kepada Allah SWT yang sentiasa memerhatikan segala tindak-tanduk manusia. Mungkin jika kita mengkhianat tiada siapa yang tahu. Namun, jangan dilupakan kepada Yang Maha Esa. Barangkali kita selamat di dunia, akhirat siapa tahu. Ini yang dipegang Rasulullah SAW. Akhirat. Syurga dan neraka. Dosa dan pahala. Tidak pernah dipisahkan keadilan dan amanah dengan agama. Sepatutnya begitu. Jangan diasingkan kedua-duanya. Barulah berasa takut kita.

Itu Rasulullah SAW. Kita juga patut mencontohi beliau. Dalam apa jua sudut. Sebagai ketua dalam organisasi. Keadilan mesti diutamakan. Jangan diletakkam kepentingan diri dan pilih kasih dalam apa jua segi. ‘Self interest’ mesti dipisahkan dari kegiatan organisasi. Jangan kerana ‘mereka’ rapat dengan kita, maka keputusannya berat sebelah. Jangan kerana ‘mereka’ berjauhan, lain pula tindakannya. Ini sama sekali berbeza dengan pendekatan agama. Sebagai ketua, Nabi Muhammad SAW wajar dicontohi. Ambil pendekatan Baginda. Tiru Baginda. Jagalah amanah. Jangan dikhianati amanah yang diberi. Pendekatan agama mesti didekatkan. Itu wajar bagi mencerminkan diri sebagai ketua. Menjaga sebuah organisasi samalah seperti menjaga rakyat dalam sesebuah negara. Segala percaturan dan pembahagian tugas mestilah adil. Semua urusan. Jangan dikecualikan. Pemberian kepada mana-mana pihak mesti diterapkan dengan nilai-nilai keadilan. Adil tidak semestinya sama. Tetapi diletakkan sesuatu pada tempatnya. Kalau baik kata baik, kalau buruk katakan buruk. Pilih kasih mesti dijauhkan. Jika tidak, akan ada yang membenci. Ada yang negatif. Ada yang itu, ada yang ini.

Jawapan kepada keadilan adalah agama. Jangan dipisahkan elemen agama dalam menjaga amanah dan keadilan pada pekerja. Ketua bertanggungjawab. Sampai ke akhirat. Mungkin kita tidak merasai apa-apa penganiyaan pada pekerja. Tetapi di akhirat siapa tahu. Di sana, mulut dikunci. Segala tindak-tanduk kita yang mengkhianati amanah dan keadilan diulang tayang. Jangan dipisahkan sebarang keputusan dengan agama. Tidak berlaku adil jawapanya berdosa. Berdosa tempatnya neraka. Itu ketua. Bukan orang lain.

Doa ‘mereka’ yang dizalimi sentiasa diberkati Allah SWT. Kalau dirasai dikhianati atau tidak diadli dengan sewajarnya. Itu janji Allah SWT pada hambanya.

No comments:

Post a Comment