Wednesday, January 6, 2010

Kalimah 'Allah': Jangan dipolitikan

Isu penggunaan kalimah 'Allah' semakin merumitkan. Rata-rata ulasan semakin hari semakin ke arah 'Agenda Perkauman'. Benarkah begitu. Saya melihat dengan penuh berhati-hati. Semakin menyakitkan hati sekiranya 'isu' agama yang boleh dibincang secara ilmiah dan penuh ketamadunan ini diheret ke arah 'Agenda Perkauman' atau 'Agenda Perkelahian Agama' di Malaysia.

Isu Islam-Kristian begitu sensitif. Kedua-dua agama Samawi ini telah mencipta sejarah peperangan yang panjang. Bukan hanya di Malaysia. Malah ketika zaman pemerintahan Islam di Eropah lagi pergaduhan Islam-Kristian biasa tercetus. Perang Salib merupakan contoh yang baik dalam isu ini.

YAB Tuan Guru Nik Abdul Aziz, MB Kelantan memberikan pandangan yang bernas dan bijak. Dicadangkan diadakan pertemuan antara kedua-dua pemimpin agama Islam-Kristian bagi menjelaskan tentang hak dan kebenaran penggunaan kalimah 'Allah' bagi ke atas kedua-dua penganut agama. Islam sentiasa menganjurkan perbincangan, diskusi dan dialog. Ini yang lebih baik akhlaknya dari menjadi 'pencetus' perkelahian antara agama. Banyak 'isu' yang boleh diulas sebenarnya antara Islam dan Kristian. Bukan hanya tentang pengguanaan kalimah 'Allah'. Lebih dari itu.

Jangan diheret 'isu' ini ke arah 'perkauman' dan amalan politik sempit. Beberapa pihak sudah merancang bagi mengadakan demonstrasi bantahan. Mempertahankan Islam kononya. Dipalung rebana dan kompang bagi menghasut 'pihak-pihak' tertentu menari bersama. 'Mereka' cuba mempolitikkan 'isu agama' ini. Kristian dicemuh dan diberikan amaran. Soal pokok belum dibincang. Tetapi lebih kepada 'pergaduahan'. Ini jauh dari pendekatan Islam.

Kenyataan penuh Presiden PAS dalm isu ini mencerminkan 'ketokohan' beliau sebagai Ulama dan pemimpin Gerakan Islam. Penuh rasional dan bijaksana. Antara ungkapan dalam kenyataan beliau ialah,

"Setiap warganegara Malaysia wajib memelihara suasana dan keadaan ini. PAS ingin menjelaskan bahawa berdasarkan kepada kaedah Islam, penggunaan nama Allah pada asasnya adalah dibenar untuk digunakan oleh agama samawi seperti Kristian dan Yahudi.

Walau bagaimanapun, penggunaan kalimah Allah secara salah dan tidak bertanggungjawab mestilah dielakkan supaya ianya tidak menjadi isu yang boleh menjejaskan keharmonian kaum dan agama dalam negara ini.

PAS memberikan peringatan kepada semua pihak supaya tidak menyalahgunakan perkataan Allah bagi mengelirukan atau menjadikan politik murahan untuk mendapatkan sokongan rakyat".


Islam, Kristian dan Yahudi adalah agama Samawi. Agama yang mempunyai kitab ajaran. Ketiga-tiga agama ini menggunakan kalimah 'Allah' bagi maksud menyebut Tuhan atau 'God'. Dari sudut sebutan dan panggilan adalah sama. Namun, bagi maksud pengertian nama 'Allah' sama sekali berbeza. Islam meletakkan nama 'Allah' bagi maksud Tauhid. Iaitu Allah hanya Satu, tiada dua. Tidak mempunyai anak atau diperanakkan. Bagi agama Samawi yang lain, penggunaan nama 'Allah' hanyalah sebagai penggilan dan tidak diisi dengan maksud 'Tauhid' tersebut.

Namun demikian. Walaupun dibenarkan masyarakat Katolik menggunakan nama 'Allah' bagi maksud panggilan pengganti nama Tuhan dan 'God'. Rasa curiga perlu juga dibenarkan. Perasaan tentang ia tidak disalahgunakan oleh masyarakat Kristian bagi tujuan-tujuan tertentu. Tujuan dakyah, memesongkan dan menyesatkan. Terutama ke atas golongan masyarakat Islam. Dakyah ini perlu diberi perhatian. Terutama bagi tujuan yang jahat. Ini yang perlu dikhuatiri.

Kita jangan cepat melatah dalam isu ini. Isu sebegini tidak boleh diadili dengan emosi dan sensitiviti yang negatif. Islam penuh dengan ilmu. Hujah lawannya hujah.

Persetujuan terhadap kenyataan Presiden PAS wajar diamati. Bantahan dan sokongan mestilah dinyatakan dengan iklas dan jujur. Bukan berkepentingan. Bukan ada 'agenda' yang tersembunyi.

Jangan diheret isu ini ke arah 'perpecahan kaum' di negara kita.

‘‘Katakanlah: Hai Ahli Kitab,marilah (berpegang) kepada suatu kalimat (ketetapan) yang tidak ada perselisihan antara kami dan kamu, bahawa tidak kita sembah kecuali Allah dan tidak kita persekutukan Dia dengan sesuatu pun dan tidak (pula) sebahagian kita menjadikan sesama manusia seperti pemimpin dan sebagainya sebagai tuhan selain Allah’’

No comments:

Post a Comment