Sunday, December 27, 2009

Apa khabar UMNO Selangor?

Apabila YB Khalid Samad, MP PAS Shah Alam bercita-cita untuk jadikan Shah Alam sebagai Kota Raya Islam, beliau dipersenda oleh beberapa pihak. Artikel tersebut boleh dilihat dan dibaca di beberapa blog yang ada. Saya hairan. Kalau idea ini dipersenda oleh Gerakan, MIC, MCA, PPP atau DAP saya boleh menerima dengan hati yang terbuka. Maklumlah. Mereka bukan Islam. Pasti mereka 'hairan' dan 'tidak percaya' dengan kekuatan Islam yang bukan sahaja sebagai agama malah boleh dibangunkan sebagai 'Kota Raya'.

Darul Islam bukanlah sesuatu yang pelik. Junjungan besar kita, Nabi Muhammad SAW dan para sahabat serta Khalifah Islam membuktikannya. Islam dibangunkan sebagai negara. Lihat sahaja kehebatan Islam di Timur Tengah, Asia Timur dan Islam di India. Malah, di Eropah juga Islam berjaya dibuktikan sebagai modul pemerintahan yang berjaya.

Apa peliknya Kota Raya Islam?. Jika ini berlaku, Shah Alam merupakan bandaraya yang kedua di Malaysia cuba membuktikan kehebatan Islam dibangunkan sebagai 'Kota Raya Islam selepas Kota Bharu memperkenalkan Bandaraya Islam. Insyallah. Idea yang baik harus disokomg semua pihak.

Malang bagi pihak-pihak tertentu. Kerana kuasa politik. Mereka mempersenda sahabat dan saudara seagama untuk 'membangunkan' Islam di Malaysia. Kenyataan saya berasas. Pembaca boleh merujuk sendiri artikel di sini. Pelik bukan?. Ia sama sekali tidak ditentang masyarakat bukan Islam. Tetapi oleh 'umat Islam' sendiri. Inilah hakikat politik yang berasaskan 'assabiyyah'.

Saya menerima idea MP Shah Alam dengan hati yang gembira. Sejarah membuktikan kehebatan Islam yang dibangunkan sebagai Kota Raya dan Negara. Kota Constantinapole membuktikan kehebatan Kota Raya Islam. Muhammad al-Fateh membuktikan kehebatan Islam. Tiba giliran YB Khalid Samad membuktikannya pula.

Masyarakat Shah Alam pasti ternanti-nanti Kota Raya yang aman, bersih dan diredhai Allah. Kemajuan Shah Alam sebagai Bandaraya sangat hebat. Di sana, penduduk majoriti Islam dan Melayu membuktikan kehebatan mereka memilki aset yang berjaya. Cuma, adakah bandaraya itu diredhai oleh Allah?. PAS cuba membuktikannya.

Kehebatan UMNO menidakkan usaha PAS bukanlah sesuatu yang luar biasa. UMNO adalah juara rakyat. Terutama dalam konteks Melayu dan Islam. Mereka adalah sang juara yang berjaya membangunkan Shah Alam, khasnya dan Selangor amnya. Kehebatan UMNO memartabatkan Islam di Shah Alam begitu menterujakan semua pihak. Terutama orang-orang Melayu.

Di sini saya petik beberapa episod kehebatan UMNO memartabatkan Islam di Shah Alam dan keseluruhan Selangor bagi kita mengingati 'Sejarah Kehebatan Islam' dibawah amirul Mukminin Khir Toyo dan jemaah fisabilillah Parti UMNO.

1. Memecat Mufti Selangor, Almarhum Tuan Guru Dato' Ishak Baharom yang melarang wanita Melayu Selangor dari bertanding Pertandingan Ratu Cantik. Larangan ini disokong oleh JAIS. Namun, ia mendapat bantahan dari Tun Mahathir (PM ketika itu). Tun Mahathir dan UMNO menentang larangan mufti dan menyebelahi ratu cantik. Almarhum Dato' Ishak Baharom dipecat kerana menjalankan amanah Allah SWT dan hukum Allah SWT.

2. Melarang kuliah-kuliah agama di masjid-masjid sekitar Selangor dengan alasan masjid bukan tempat berpolitik. Masjid dan politik mesti dijauhkan. Jadi, kalau ada kuliah atau ceramah agama di masjid ia akan jadi medan politik. Masjid dipantau. Kegiatan masjid dikawal. AJK dan IMAM di perhatikan setiap masa agar mereka tidak berpoiltik atau dilihat memihak kepada sesebuah parti. Khutbah Jumaat diskripkan. Khutbah sama sekali tidak akan menyentuh persoalan hukum hakam, halal haram, judi dan lain-lain. Tajuknya sama. Diulang dan diulang.

3.Melarang para ulama dan ustaz berceramah dan menyampaikan kuliah agamma di Selangor. Antara tokoh-tokoh agama yang dilarang termasuklah Ustaz Dato' Dr. Harun Din, Ustaz Dato'
Ismail Kamus, Ustaz Dato' Dr. Hasan Ali, Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man, Ustaz Abd.
Ghani Shamsuddin, Ustaz Ahmad Awang, Ustaz Kamal Ashaari, YAB Tuan Guru Dato' Nik Aziz
Nik Mat, YB Tuan Guru Dato' Seri Abd. Hadi Awang dan beberapa para alim ulama yang lain.
Mereka disenaraikan hitamkan oleh UMNO Selangor dari masuk ke negeri tersebut bagi
menyampaikan kuliah dan ceramah agama di Selangor.

4. UMNO dengan kerjasama JAIS dan Pengutakuasa merobohkan Surau di Bangi dengan alasan surau itu tidak sah. Ketika surau itu dirobohkan, umat Islam sedang mendengar kuliyah agama oleh Ustaz Harun Din. Mereka dihalau. Surau dirobohkan.

5. Penjualan arak di Selangor tidak pernah dikawal oleh Pejabat Agama (JAIS) atau PBT. Peniaga bebas untuk berniaga arak di Selangor. Tidak kira di mana. Kedai runcit, supermarket,
hypermarket, kedai serbaneka 24 jam, stesen minyak dan lain-lain. Arak dibebaskan. Sepanjang 50 tahun memerintah Selangor, tidak pernah sekali pun UMNO mengambil peluang sebagai pemerintah untuk mengawal penjualan arak. Meminda peraturan atau sekurang-kurangnya menguatkuasakan undang-undang penjualan arak di Selangor.

6. Pusat-pusat hiburan. Bagaikan cendawan tumbuh di Selangor. Lihat sahaja di Klang, Petaling Jaya, Subang Jaya, Kelana Jaya, Puchong, Serdang, Damansara dan lain-lain daerah di Selangor. Remaja dan belia dilalaikan. Mereka dicandukan dengan hiburan. Pendekatan agama dijauhkan. Dipinggirkan pemerintah.

Masih banyak sekiranya mahu dibincangkan 'kehebatan' dan 'pembangunan' Islam yang dimartabatkan oleh UMNO Selangor. Catatan di atas hanya sebagai renungan kita. Islam dibawah panji UMNO terlalu banyak 'jasanya'. Barangkali modul penmerintahan ini yang patut dibanggakan oleh 'Orang-orang Melayu' di Selangor.

Tahniah UMNO Selangor. Jasamu dikenang!

No comments:

Post a Comment