Monday, September 20, 2010

Hari Raya 2010

Saya kira masih lagi dalam 'mood' Aidilfitri. Saya langsung tidak berkesempatan merakamkan ucapan Hari Raya kepada semua melalui blog. Pulang ke kampung menyebabkan kemudahan internet langsung terputus.

Hari ini saya sudah mula bekerja. Akses untuk menulis ada semula. Keriangan hari raya tahun ini tidaklah seperti tahun-tahun sebelum. Ada beberapa rumah yang saya tidak kunjungi. Termasuk, sebuah yang menjadi kewajipan kepada saya sejak tahun 2004. Saya tidak mahu mengulas hal itu. Biarkan dahulu. Yang pasti. Kehidupan dan tanggungjawab sebagai manusia harus dilalui dengan tenang. Ada hari 'mereka', ada hari saya. Biarkan terhenti buat seketika. Yang baik pasti akan dimakbulkan Allah SWT. Yang buruk sudah tentu kita perlu hindari bersama.

Syawal kali ini juga sedikit terubat dengan himpunan sahabat-sahabat lama dari SMKK. Rakan-rakan sekolah mengatur beberapa atucara bermula dari 30 Ramadhan di Seoul Garden berbuka puasa sehingga ke 2 Syawal di rumah teman kami bersekolah dahulu. Di sana kami berkumpul. Yang berkahwin mengusung isteri dan anak. Yang bujang bergaya dengan kemewahan hasil kerjaya. Tidak sangka semuanya. Nakal di sekolah dahulu menjadikan kami akrab dan mesra. Walaupun setahun sekali. Tetapi ia cukup manis dan bermakna. Apatah lagi dengan hati yang terluka. Sedikit sebanyak mengubat rasa gundah gulana itu.

Dengan kesempatan yang ada. Saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri dan Maaf Zahir Batin kepada seluruh teman-teman, rakan dan sahabat sejak saya mengenali mereka sehingga hari ini. Semoga persahabatan kita semua akan terus terjalin dan utuh walau apa pun yang terjadi. Segala kesilapan di dunia ini, saya memohon sejuta keampunan dari hujung rambut ke hujung kaki. Janganlah kerana kesalahan yang tidak terduga dalam hati menyebabkan kita tidak menjadi mesra semula.

Begitu juga kepada yang tersayang. Semoga hubungan kita akan terus diberkati dan direstui. Semoga kesilapan lalu dijadikan teladan dan iktibar sehingga akhir hayat kita. Jangan ditangisi hari lalu. Tetapi bangkitlah menjadi manusia yang kuat jati dirinya.

Selamat Hari Raya.






No comments:

Post a Comment