Friday, January 21, 2011

Aturan Hidup

Sisipan hati dan perasaan. Akan bermula apabila kedua-duanya bersedia untuk bersatu. Menjadikan pelayaran hati dan perasaan tanpa ada dendam atau kelukaan. Biarpun badai melanda. Sejarah hitam yang berlalu. Samada dari aku atau kamu. Ianya harus dipadamkan untuk kebahagiaan masa hadapan. Tetapi kekadang perasaan hitam yang lampau. Membuatkan hati anda menangis. Menangis mengenangkan anda bukan yang pertama. Bertapak di hatinya. Atau menyantuninya cintanya. Keluh kesah pendirian anda. Dorongan sekeliling. Membuatkan hati terasa terpinga-pinga. Menjangkaui apa yang di rasa. Samada dari anda. Atau dia.

Bukan kata sesiapa. Keputusan yang anda pertahahankan. Samada baik atau buruk. Adalah dari diri anda sendiri. Bukan mudah. Sesuatu keputusan yang rancang boleh diputuskan dengan sekelip mata. Biarpun disekeliling memadangnya dengan mudah. Beban yang ditanggung. Perasaan yang bercampur baur. Tiada siapa yang tahu.

Jangan dipaksa hati ini. Biarpun hanya untuk sekali. Jatuh bangun diri anda. Tiada siapa yang tahu. Perlukan masa dan ketika. Anda bersendirian. Bertanya dan menelaah. Bagi memperoleh kekuatan yang maha berat. Jauh dari sudut hati. Merasa simpati kepada kamu dan dia. Menjadikan diri anda berada dalam persimpangan adalah salah sendiri. Tiada sesiapa yang mengatur. Tiada sesiapa yang memaksa. Antara kedua-duanya. Baik kiri atau kanan.

Mengapa saya selalu berada dalam dua keadaan. Sejak sekian lama. Saya menatapi dunia. Melihat langit dan awan. Bulan dan matahari. Saya tiada kepandaian meletakkan keputusan.

Bangga saya dengan rakan-rakan sekeliling. Mereka sentiasa teratur dalam kehidupan. Tiada pernah mereka berada dalam dilema. Atau persimpangan jalan buntu. Mengapa sebegitu mudah aturan hidup mereka. Adakah maksudnya mereka senang dengan masa alam itu.

Tiada guna saya mengeluh. Usia yang semakin meningkat. Mengingatkan saya dengan tawa riang bersama kanak-kanak lain. Melihat wajah ibu yang sangat saya sayangi. Melihat kebahagiaan keluarga, abah dan emak yang tiada pernah berkelahi. Cinta abah hanya pada emak. Tiada kedua atau ketiga. Abah tiada pernah bermain kayu tiga. Dia hanya selesa dengan emak. Masakan, perbualan, perkongsian susah dan senang. Begitu mudah abah mengaturkan kehidupan cintanya dengan emak.

Saya tidak begitu.

Mengapa?

Adakah kerana keperibadian atau desakan hawa nafsu syaitan. Atau saya memang diaturkan begitu oleh Tuhan. Beberapa keputusan dalam percintaan. Sentiasa saya tidak berdiri tegak ke atasnya. Berubah-ubah mengikut masa dan desakan. Pernah suatu ketika. Saya pertahankan keputusan. Tidak akan sesekali berpatah arang. Dengan kuat saya menghadapinya.

Tetapi saya tidak berjaya.

Ia kembali dan kembali.

Kembali seperti asal. Kembali kepada satu kehidupan yang pernah satu ketika meludah saya. Menjerit-jerit meminta diputuskan. Bersatu bersama bala tentera upahan. Menghina dan memperlekehkan saya. Seolah-olah saya tiada bernilai dan bermaruah.

Sinar cahaya datang menyinari. Walaupun seketika. Saat-saat kesedihan dan membawa diri. Datang ‘dirinya’. Mengubati hati yang terluka. Memujuk dan memberi rangsangan. Mengajar saya menjadi matang. Mengajar saya membuat keputusan. Mengajar saya bagaimana erti kehidupan. Walaupun ‘dia’ tiada sempurna. Tetapi dia menggembirakan saya.

Walaupun hanya sementara. Saya sangat-sangat menghargainya. Merindukannya. Saat-saat manis itu.

Tetapi. Ia belum cukup untuk diri saya. Saya memerlukan kekuatan dalaman. Dalam hati. Sudah bertapak lamanya. Perasaan kepada ‘anda’. Yang saya tidak berjaya memadamkannya. Biarpun saya gembira dan bersedih. Bayang-bayang itu sentiasa mengekori. Menghantui. Bertanya khabar dan mengambil tahu. Tentang ‘anda’.

Kekesalan saya hari ini. Tiada berguna. Sejuta kemaafan yang saya hamburkan kepada sesiapa. Tidak dapat melukakan hati Hawa yang terluka itu. Tafsiran dari ‘mereka-mereka’ sentiasa negatif kepada saya. Salah dan silap akan terus dihalakan kepada saya. Walaupun seribu ampun saya ucapkan.

Itulah natijahnya. Kepada diri yang terumbang-ambing. Memenatkan diri sendiri. Dengan cereka cinta yang dilihat. Kadang-kadang seperti memperbodohkan diri sendiri. Membuka peluang kepada yang tidak berhak. Memadamkan perasaan kepada yang terhak.

Saya tidak berniat menulis untuk menyakiti sesiapa. Pandanglah ‘anda’ kepada saya. Pandanglah dengan wajah yang tidak bermuram durja. Ia satu kekesalan sebenarnya.

Jelaskan kepada saya. Seberapa besar ‘anda’ yakin dengan perjalanan ini. Atau hanya memenuhi usia anda untuk bersama dengan saya.

Saya tidak mengerti.

Benarkah apa yang saya lakukan?

Atau saya akan dibalas dengan perbuatan. Yang telah melukakan hati seseorang. Yang saya yang memulakannya.

Thursday, January 20, 2011

Debat: Pendemokerasian Ilmu Politik


Di dalam negara kita. Belum pernah mana-mana pemimpin utama mengadakan debat secara terbuka di mana-mana. Baik tv atau radio. Kita terbiasa sekali dengan forum atau wacana minda. Lebih kepada santun santai dalam percanggahan idea ataupun dasar. Kita belum pernah melihat seorang calon Perdana Menteri atau Perdana Menteri sendiri berlawan hujah di mana-mana yang dinamakan acara debat itu. Perkara sebegitu masih lagi asing dan tidak menjadi budaya di negara 1Malaysia ini.

Pendemokrasian ilmu begitu berkembang baik di negara-negara Barat dan Eropah. Mereka sentiasa menganjurkan debat dan forum yang luar biasa bagi mengetengahkan idea-idea dan input ilmu pengetahuan bagi masyarakat. Bahkan, di Amerika Syarikat. Calon-calon Presiden US sendiri akan tampil bagi 'mempromosikan' ideanya dan dasar partinya sekiranya beliau dipilih sebagai Presiden. Mereka akan diwawancarakan secara seimbang dan saksama. Syarikat produksi televisyen akan mempertontonkan kepada umum secara terbuka idea mereka. Mereka berdebat dikhalayak awam. Bercakap itu dan ini. Menyampaikan mesej-mesej politik secara berhemah dan penuh dengan demokerasi yang syumul.

Masyarakat akan dipertontonkan oleh semua itu. Mereka menimbang dan menilai. Melatakkannya di neraca yang betul bagi memilih calon yang sesuai bagi menjadi pemimpin mereka selama sepenggal. Mereka tidak gentar membuat pilihan. Tidak ditakutkan dengan huru-hara atau pecah belah. Bankrap atau tidak maju. Masyarakat mereka terdedah dengan bacaan awam dan maklumat yang tidak berat sebelah. Kalau ada yang salah dipihak kerajaan, mereka dedahkan di media utama. Kalaua ada yang positif, mereka memuji serata dunia. Begitulah sebaliknya. Mereka begitu hebat dalam pendemokerasian ilmu. Itu Barat.

Dalam sejarah Islam sendiri. Menyaksikan pemimpin utama kerajaan atau Rasul dan Nabi yang diutuskan oleh Allah SWT sentiasa menggunakan lapangan hujah dan debat dengan musuh-musuh utama Allah. Musa as bertembung dengan Firaun yang zalim. Nabi Ibrahim as bersama dengan Raja Namrud. Nabi Muhammad SAW juga tidak terkecuali bertembung dan berhujah dengan pemimpin-pemimpin Arab Musyrikin termasuk dengan bapa saudaranya sendiri.

Apabila Ketua Pembangkang, Dato'Seri Anwar Ibrahim mencabar PM Najib Tun Razak dalam penjelasan 100 hari PR sebagai kerajaan. Responya agak negatif. Bahkan, respon PM semalam lebih mendedahkan kepada kita bagaimana definisi 'debat' dalam pemikiran sang Perdana Menteri itu. Beliau menyebut tentang bagaimana beliau adalah seorang PM, dia tahu akan semua segala rahsia si Anwar Ibrahim. Kalau didedahkannya. Demam Anwar. Itu kata-kata PM.

Najib Razak dan seluruh kepimpinan UMNO/BN bebas mengktritik tawaran 100 hari PR di media massa. Mereka memberikan pendapat secara meluas dihadapan wartawan dan rakyat jelata. Mengkritik dari segenap sudut. Malah, ahli akademik, usahawan, tokoh perniagaan, agensi kerajaan, ISIS dan lain-lain jabatan juga turut diajak bersama untuk mengkritik tawaran PR itu dalam pilihanraya.

Menjadi pelik kepada kita apabila individu yang dikritik tidak mempunyai akses sebagai pihgak yang dikritik untuk menjawab segala kritikan yang dikenakan ke atasnya. Apabila lapangan debat umum dibuka. Si pengkritik tadi menolak secara berterus-terang dan menyebutkan sebagai tidak ada ouput dan nilainya pada masyarakat awam. Kalau tidak ada output dan nilai. Apa perlu PM 1Malaysia itu begitu kalut dan sibuk dengan janji Pakatan Pembangkang tersebut. Sudah pasti, dalam hatinya perkara itu 'menakutkan' proksi politiknya. Kalaupun tidak, sedikit memberikan pengetahuan kepada rakyat. Bahawasanya, negara sebenarnya mampu memberikan keselesaan kepada rakyat. Sekiranya, perbelanjaan kerajaan dapat dijimatkan dan diurus tadbir dengan baik dan telus. Perkataan 'akauntabiliti' sepatutnya menjadi nadi kepda kerajaan. Amalan rasuah pula, menjadi musuh negara secara keseluruhannya.

Berbalik kepada soal debat. PM 1Malaysia itu nampaknya tidak memahami pelawaan debat berbentuk fakta dan hujah. Lawannya, bukanlah peniaga sate atau penjual telur itik. Mereka berdua mempunyai jawatan yang sama dalam amalan Federalisme. Seorang ketua kepada kerajaan. Seorang lagi ketua kepada barisan pembangkang. Elok benarlah mereka berdebat. Mempromosikan tawaran kepada masyarakat. Apa yang mereka boleh lakukan sekiranta dipilih sebagai Ketua Kerajaan pada pilihanraya yang akan datang. Biar rakyat menyaksikan siapa yang layak diangkat menjadi PM. Yang menikus atau yang berhujah.

Bukannya berdebat isu peribadi. Isu-isu peribadi wajar ditolak ke tepi. Kalau sebelah sana menuduh sebelah sini 'tidak bermoral', sebelah sini pula ada juga isu 'moral' tentang sebelah sana tentang perkara yang sama. Semua pihak mengetahuinya. Yang berbeza, seorang ke mahkamah, seorang lagi tidak.

Kita tolak ke tepi perkara itu. Yang hendak kita menyaksikan adalah hujah dan kebijaksanaan kedua-dua pemimpin utama itu. Mempertahankan dasar dan idea. Mengetengahkan agenda dan prinsip kedua-duanya. Tidak ada hakim atau juri. Ia bukan perlawanan atau pertarungan. Tiada kalah dan menang. Yang perlu diutama adalah pendemokrasian ilmu itu. Ia menjadi titik permulaan kepada politik Malaysia yang lebih berani dan proaktif.

Kalau benar ia berlaku. Maka beruntunglah kita melihatnya.

Mulakan 2011 dengan suasana politik yang lebih berkualiti. Rakyat dihidangkan dengan politik 'Natural Justice'. Bukan adu domba dan hujah perkauman sempit mana-mana pihak.

Saya sukakan hal yang demikian. Bukan modalnya UMNO, PAS atau PKR.

Yang menggembirakan kita ialah 'Demokerasi Ilmu' itu wujud dalam negara.

Kalaupun kita tidak mampu mendemokerasikan masyarakat secara menyeluruh.

Kita mulakan dengan RTM.

Saya pasti ramai yang akan menontonnya.

Berkaitan:
Cabaran debat Anwar: kalau saya dedah segalanya...ada yang demam
Berdebatlah Najib, Rakyat Mahu Melihat Anwar Demam
Bersungguh-sungguh Najib pamerkan dia tak ada otak
Debat:Najib wajar sambut tawaran Anwar
Respon kepada ISIS: Malaysia bankrap jika laksana program Buku Jingga?

Wednesday, January 19, 2011

2011

Kali terakhir saya menulis di dalam blog, adalah pada bulan November yang lalu. Saya kira. Pada waktu tersebut saya berada di UIA, menyambung pelajaran dalam Diploma Pendidikan. Bagi memenuhis syarat sebagai guru. Maka saya turutkan sahaja pihak majikan. Itulah kali terakhir saya menulis pada tahun 2010.

Kesibukan kerja dan hal-hal peribadi. Termasuklah kerja-kerja yang diluar jangkaan terus membuatkan saya berada dalam zon masa yang sempit. Walaupun saya suka menulis.

Saya terlepas pertusan Maal Hijrah dan juga tahun baru mengikut kalendar Masihi. Walaupun drag awal sudah saya lakukan. Selepas satu ketika. Saya membatalkan perutusan 2010 itu. Biarlah ia di sana. Tidak perlu saya timbulkan kembali. Barang yang lepas jangan dikenang.

Ini adalah tulisan pertama saya dalam tahun 2011. Saya membuat sedikit perubahan pada wajah blog. Semoga ia kelihatan lebih selesa untuk di baca. Saya juga perlu memuatkan kembali tulisan-tulisan berbentuk politik dan sejarah lampau. Yang menjadi tema utama. Cuma penghujung 2010, tulisan saya agak berbeza. Atas apa yang berlaku. Maka ia akan diperkuatkan semula dengan tulisan-tulisan yang bermutu dan berkualiti.

Pengesahan maklumat juga perlu dititik beratkan selepas ini. Jangan ada hujah-hujah dangkal dan semborono yang tidak bermanfaat. Jauhkan dari kita semua.

Semoga 2011. Akan menjadi tahun yang penuh gemilang untuk saya, anda dan semuanya.

Wassalam.

Tuesday, November 30, 2010

Biarkan


Saat malam terus berlalu. Dengan iringan angin-angin malam yang dingin. Sejuk rasa diri. Tidak sama dengan hati. Penyakit meyakinkan diri masih lagi jauh dari fikiran. Untuk meletakkan noktah penamat. Seakan masih jauh perjalanan yang dirancang. Belum sampai ke pertengahan jalan. Ia sekali lagi mengganggu benak hati. Bermain-main di kepala. Seperti batu-batu pasir di pantai. Banyak sekali. Dipukul ombak dan badai. Sekuat-kuatnya ia menghempas. Hilang sekelip mata. Tidak semudah itu.

Pegangan prinsip kekal di situ. Ia bukan seperti perkiraan ilmu hisan ciptaan al-Khawarizmi. Dihitung 3 bersama 3 menjadi 6. Dikali 2 bersama 5 menjadi 10. Bukan semudah itu membuat keputusan.

Kisah-kisah lalu terus mengejar diri. Memilih untuk dipadam. Atau memulakan langkah baru. Yang juga kelihatan semakin pudar indah.

Sesudah madu ditabur. Racun memakan diri. Sampai bila?

Perhitungan masa hadapan bukanlah seperti merancang perjalanan. Ke timur dan ke barat. Ia sukar sama sekali. Mungkin suasana diluar sana begitu indah. Kanak-kanak bermain riang. Diiringan gelak gembira. Mereka sememangnya tiada beerti tentang kebingungan sesiapa. Menurut sahaja rasa hati. Berasak ke sana ke mari. Alangkah indahnya dunia mereka.

Sayang seribu kali sayang. Kita tidak seperti mereka.

Siang hari kita dihimpit matahari. Malam kita dikejar dalam mimpi.

Lena kita hanya untuk melelapkan mata. Melupakan seketika. Esok apabila terbitnya sinar. Kita bersua lagi. Dengan kesukaran itu. Bukan mudah untuk sesiapa. Menjadikan dirinya serba sempurna. Menjadi manusia yang bersedia. Menempuh badai. Melawan ombak. Memekik petir. Menghambat hujan.

Tidak semudah itu untuk kita menerima ujian dan getir dari Tuhan Yang Maha Berkuasa.

Sesiapa sahaja.

Jantan dan betina.

Tetapi apa perlu kita meratap perkara yang sukar itu?. Bukankah kita diberi pilihan memilih alur yang tenang. Memilih jalan yang sesuai. Mengapa kepayahan yang mahu dituruti?. Ada apa dengan kepayahan itu. Untung diri atau sesal di kemudian hari?

Atau kita manusia pilihan. Dipilih Tuhan untuk dibebani. Dipilih Tuhan untuk berkorban. Dipilih Tuhan untuk kesukaran. Untuk dilihat. Apakah dirimu bersedia menghadapi ujian.

Sebagaimana Musa yang berdepan dengan si Firaun yang maha zalim. Yusuf yang difitnah. Muhammad yang dicaci dan di maki. Sedangkan mereka Kekasih Allah menerima ujian dan percubaan.

Bagaimana dirimu yang insan biasa?.

Mahu mengelak dan mengeluh. Sedangkan ia tidak seberat beban yang ditanggung para Nabi dan Rasul.

Bolehkah begitu?.

Untuk apa aku yang dipilih. Sejak aku membuka mata. Bersedia bersuara. menghadapi 'mereka-mereka' yang datang dengan kemaslahan dunia. Seribu satu cerita.

Untuk apa aku diberikan 'mereka-mereka'?.

Sedangkan selepas 'mereka-mereka' berbahagia. Tangan seia tidak pernah memujuk hati. Mereka terus berlari dengan kegembiraan. Meninggalkan masalah dan bebanan. Kepada tangan yang menghulurkan saat 'mereka-mereka' beroleh kesempitan dari matahari. Mimpi ngeri di malam hari.

Aku belum bersedia.

Belum bersedia menjadi insan yang dipilih. Dipilih dari Tuhan untuk mengharungi semua itu.

Biarkan aku terus terkeliru dengan diri sendiri. Menghabiskan saat-saat hidup dengan jalanku sendiri. Biarpun tiada berteman. Atau berkawan.

Aku bersedia menjadi pengecut dunia.

Menjaga hati sendiri.

Dari menjadi manusia yang hipokrasi. Menyalak kebenaran dihadapan. Mengiakan penipuan dibelakang.

Sesat dalam siang. Buta dalam malam.

Aku selesa begitu.

Wednesday, November 24, 2010

Akal dan Hati

Kekuatan dalaman diri seseorang lahir dari kekuatan akal fikiran. Juga hatinya bagi menerima sesuatu perkara yang amat sukar. Tentunya menjadi kesukaran kepada seseorang untuk menerima hakikat dalam kehidupan dengan cara yang mudah. Mustahil sama sekali. Ketentuan yang difitrahkan kepada manusia adalah sebahagian sesuatu takdir yang harus kita terima bulat-bulat. Apatah lagi kalau kita berbicara soal rezeki dan jodoh, ajal dan maut. Ianya dilihat terlalu bergantung kepada takdir.

Manusia dianugerahkan Allah swt untuk berfikir secara waras. Berfikir tentang kebaikan dan keburukan. Kebaikan atas dirinya. Keburukan juga atas dirinya sendiri. Maka sekiranya berlaku sesuatu perkara. Perlu ia bertanggungjawab atas apa yang dilakukan. Jangan salahkan sesiapa. Kerana akal fikiran yang dianugerahkan Illahi tidak dikongsi secara beramai. Ia diberi satu-satu secara berasingan kepada setiap manusia.

Ia untuk digunakan oleh manusia.

Bukan disimpan seperti barangan antik. Atau perhiasan diri semata-mata.

Kekuatan itulah yang memerlukan seseorang manusia bertindak secara waras. Menggunakan akal dan hati sebagai penyokong. Disebut naluri. Kekuatan akal kadang-kadang dicabar dalam pelbagai situasi. Samada untuk kita memilih sesuatu atau 'seseorang'.

Kekuatan dalaman untuk itulah yang menjadi sukar. Boleh menerima sesuatu yang pahit dan terkesan atas dirinya. Ke kiri dan ke kanan. Ia menjadi serba-salah. Kekuatan untuk menerima hakikat atas apa yang dilakukan oleh diri kita sendiri.

Kekuatan itu tidak ada secara semula jadi. Ia dibentuk dari pelbagai faktor dan sebab. Atas pilihan itu ia menjadi penyakit yang mendesak hati untuk mengatakan 'ya' pada sesuatu perkara. Atau 'tidak' pada sesuatu perkara. Mengesahkan sesuatu atau menidakkan sesuatu. Kemahiran itu dpanggil 'membuat keputusan'. Membuat keputusan atas dorongan akal yang menimbang salah dan betul, buruk dan baik, panjang dan pendek serta boleh ataupun tidak. Ia mesti juga berdasarkan dorongan hati. Hati yang menyokong atas keputusan yang dibuat oleh kita sendiri. Betul ataupun tidak keputusan yang akan dicapai. Betul atau tidak pemilihan diri. Betul atau tidak keputusan itu. Benar atau tidak. Untung atau rugi.

Semuanya akan melayang-layang di kepala anda. Kerana hujung keputusan itu tidak akan dapat dilihat dan dinilai. Samada ia bertepatan dengan kehendak kita. Kerana manusia tidak dapat melihat masa depan dirinya. Ia terletak di tangan Allah swt. Hanya Allah Yang Maha Berkuasa mengetahui apa yang akan berlaku esok, lusa, minggu depan, tahun depan dan masa hadapan.

Kita manusia hanya layak untuk merancang itu dan ini. Segala ketentuan di tangan Allah swt.

Maka sebab itulah ia terlalu sukar untuk kita membuat keputusan. Menelan hakikat untuk ke depan. Ramai yang tidak memahaminya. Malah ada yang mengajak untuk kita melupakan sesuatu perkara yang telah terjadi. Sedangkan mereka begitu mengetahui ia amat sukar sama sekali. Sukar untuk seseorang menerima hakikat yang pahit itu.

Kesukaran itulah memerlukan seseorang mempunyai kekuatan dalaman dalam diri.

Kekuatan menelan apa sahaja yang berlaku. Ketabahan seseorang untuk menerima hakikat yang telah ditakdirkan oleh Allah swt kepada mereka.

Mereka mempunyai kekuatan dalaman yang jitu. Boleh menerima sesuatu dengan hati yang terbuka. Baik buruk seseorang dinilai dengan akal dan hati. Tiada langsung kekesalan atas keputusan yang dibuat. Bahkan, mereka langsung tidak memikirkan apa yang akan terjadi atas keputusan tersebut. Hati mereka begitu tegas dan kuat. Kekuatan itulah yang menjadi dorongan kepada mereka untuk membuat keputusan.

Bilakah hati saya akan menjadi sebegitu?

Kuat dan tabah.

Menerima sesuatu perkara dengan hati yang terbuka,

Memaafkan sesuatu yang cela. Membuat keputusan tanpa menoleh ke belakang.

Tabah menghadapi saat-saat sukar.

Bilakah?

Monday, November 22, 2010

Guru: Doa Ibu untuk anaknya


Ketika artikel ini ditulis. Saya bersama teman-teman yang berada di bawah satu agensi. Yang dalam pemikiran saya berjumlah 600 orang itu berada di British Malaysian Institute (BMI). Kami di sini menyertai Program Diploma Pendidikan. Di mana salah satu syarat di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia. Seseorang guru itu mesti mempunyai Diploma Pendidikan. Ia bagi mengesahkan seseorang itu berkelayakan menjadi seorang pendidik. Ia adalah prosedur biasa. Sama seperti rakan-rakan yang lain. Kami di sini selama sebulan.

Sebulan itu mencari ilmu pendidikan. Dengan hidangan ilmu-ilmu berkaitan pendidikan secara formal. Tidak lagi berkaitan dengan penguasaan sesuatu subjek semata-mata. Ia lebih dari itu. Hidangan ilmu yang datangya dari pensyarah berwibawa dari UIAM ini. Pasti menjadi bekalan terbaik buat kami lebih bersemangat untuk ke sesi pengajian persekolahan 2011 yang akan menjelang tiba.

Tahun yang kedua bagi saya.

Ia terlalu manis buat saya yang tidak menyangka langsung menjadi seorang pendidik. Ketika sedang mengisi borang kemasukan ke universiti pada tahun 2005 yang lalu. Emak meminta saya menjadikan program Pendidikan Sejarah di UPSI sebagai pilihan pertama. Saya menolak. Tidak mahu saya menjadi guru. Tetapi jangkaan saya meleset. Saya hanya berkelana setahun dua. Akhirnya, Allah swt menzahirkan doa ibu saya. Menjadi juga saya kerjaya yang saya tidak mahu itu 5 tahun yang lepas.

Ia adalah ketentuan.

Rezeki manusia dari Allah swt.

Bukan 'ketentuan' seseorang yang menjadikan saya guru.

Ia datang dari Allah swt.

Saya percayakan ketentuan itu.

Sunday, November 14, 2010

Jangan Dipaksa Hati Mereka

Pernahkan perasaan dan hati anda tenang sekali. Tanpa memikirkan apa-apa tentang masa lalu. Biarkan ia berlalu tanpa ada sebarang kenangan. Melupakan saat-saat indah, jahat, buruk dan hampir sempurna itu. Menjadikan ia seperti buih-buih di lautan. Terhempas ke pantai lenyap segalanya. Bertukar-tukar. Menjadikan ia lenyap terus. Menghitamkan benda yang putih tidak semudah itu. Tidak sebegitu jadinya kalau perasaan kita menjadikan ia kenangan yang tidak terfikir sama sekali.

Jangan memaksa hati itu. Untuk menerima dengan hati yang terbuka. Keadaan sebelumnya. Walaupun ketika itu. Anda tidak bersama hati yang dilukai itu. Ketika itu anda tidak bersamanya. Berhak melupakan segalanya. Kerana dia tidak berfikir panjang. Saat dan ketika itu. Anda tidak berhak memaksanya. Kerana dia tidak mahu perkara itu menjadi rasa sakit yang amat sangat di dalam hati. Sakit dan terus sakit. Mengenangkan saat-saat itu. Yang mana. Anda sahaja melaluinya. Bukan orang lain. Sebelum atau sesudah. Ia sangat sukar untuk diterima. Ia tidak mudah untuk dipadamkan dalam bentuk mata fikiran. Sejauh ia berlegar-legat di kepala. Saat sentiasa memikirkannya. Menjadi ia terlalu sakit di dalam hati. Sakit itu dibimbangi anda menjadi bahan ungkitan suatu hari nanti. Menjadi senjata hati untuk menikam. Perasaan itu akan sentiasa ada untuk memarahi dan menengking. Mencaci dan mencerca. Binasa badan.

Ia disebut dendam.

Dendam kesumat ke atas-atas perkara tertentu. Apabila ia tidak dapat dilupakan. Maka ia bernanah di dalam hati. Terjerit-jerit dan meronta. Menunggu masa untuk diletupkan. Tanpa mengira masa dan ketika. Ia bakal melukakan hati anda. Buat selamanya-lamanya.

Kesalahan dan kesilapan perkara lumrah di dalam kehidupan. Bukankah kita manusia biasa. Tidak terkecuali. Kita dilemah dihasut syaitan. Melakukan perkara yang bukan-bukan. Yang kadang-kadang tidak terlintas difikiran. Tiada dalam alam binatang. Tiada perkara seumpama itu dihutan, langit dan bulan. Tetapi manusia melakukannya mengikut gerak hati masing-masing.

Ada manusia yang merogol anaknya sendiri, ada yang menjual harga diri di malam kelam. Ada bercinta sesama sendiri. Ada ibubapa yang dibunuh anaknya sendiri. Ada kanak-kanak yang diculik, di rogol dan dibunuh. Ada adik yang diperkosa abang tiri. Ada ibu yang kehilangan anak dan suami. Ada perempuan yang aniayai. Ada. Ada itu dan ini. Yang mana tidak terlintas akal fikiran kita.

Ada manusia yang melakukan semua itu.

Semua yang mengikut gerak hati. Tanpa berfikir menggunakan akal kurniaan Illahi. Kesalahan itu dipanggil kesilapan.

Kesilapan yang mahu ditebus. Kesilapan yang dijanji tidak ada ulangan. Ada manusia yang lain yang dipaksa menerima kesilapan dan kesalahan tersebut. Ada yang mahu. Ada yang tidak.

Saya tidak akan menerima kesilapan yang tidak menggunakan akal itu.

Jangan memaksa saya melakukannya. Memejamkan mata dan memikakkan telinga. Mendengar dan menerima dengan hati yang terbuka. Akan kesalahan dan kesilapan yang mereka lakukan. Mahu dipersembahkan kepada saya akan hal itu. Dan mahukan penerimaan seadanya.

Menerima kesalahan dan kesilapan yang lalu. Berjanji membuka cerita baru. Yang mahukan si penerima itu menerimanya dengan rela hati.

Jangan.

Jangan sesekali merimanya andai bukan dari hati. Yang datang melalui hawa nafsu dan bisikan iblis yang mahukan kesesatan. Bercampur baur dengan iman senipis kulit bawang. Hati yang kekal disitu. Meyakinkan dengan perkataan jangan.

Biarkan ia kekal di situ. Barangkali ia bukan untukmu. Ia untuk insan lain. Yang lebih baik dari dirimu. Kamu lemah. Kamu lemah sama sekali menerima kesilapan orang lain. Panas baranmu akan menjelma walaupun hal itu tiada kena mengena dengan kamu sebelum dirinya menjadi milikmu. Kamu akan memeram dendam. Dilepaskan dengan maki hamun yang tiada kena mengena. Ke semuanya akan menampakkan kesalahan dan kesilapan lalu. Kamu akan menyebut-menyebut hal itu. Kamu tiada biada usaha untuk melupakannya. Kamu terus menerus menyalahkan dirinya.

Sedangkan kamu sedia tahu. Itu kesilapan lalu. Tiada maknanya berkelahi. Kerana masa tidak bisa berputar kembali. Menjadikan kamu yang pertama. Bukan kedua.

Tetapi hatimu kekal begitu. Keras dan bebal. Kamu gagal menahan api kemarahan yang membuak-buak itu. Maka lepaskannya bersama marah, sakit hati dan dendam.

Walaupun ketika itu. Dia sah menjadi milikmu.

Maka jangan terus begitu. Terima atau tinggalkan dengan hati luka hari ini. Tetapi tidak esok, Keheningan semalam hanya sementara. Barangkali begitu. Fikiran itu terus membantu memadamkan luka semalam. Memujuk-mujuk menerima dengan hati yang terbuka. Bukan rezeki maknanya. Bukan hak milik dirimu. Bukan sesiapa yang boleh menentukan. Ia kekal dari Allah Yang Maha Berkuasa.

Jika hatimu sedemikian rupa. Janganlah terus ke depan bersamanya. Bimbang dia akan terseksa dengan watak-watak dirimu yang penuh dengan api dendam yang sukar dipadam

Biarkan dia menangis kehilangan dirimu hari ini.

Biarkan dia pergi.

Pergi menangisi cintanya yang tiada berpanjangan.