Thursday, December 31, 2009

Selamat tinggal, Selamat datang


Esok. Kita akan menyambut Tahun Baru 2010. Sudah adakah azam untuk diri sendiri?. Atau masih mengejar impian 2009. Saat yang ditunggu akan tiba. Semoga harapan yang menggunung tahun lalu dapat kita kecapi pada tahun yang mendatang.

Sebagaimana selalu. Kita sentiasa mempunyai tekad tersendiri dalam menyusun impian peribadi. Anda begitu. Saya juga begitu. Tahun 2009 akan meninggalkan kita dengan episod suka dan duka. Kecermelangan yang dicipta, diteruskan. Negatif yang menimpa, dikesali seluruhnya.

Beberapa pencapaian peribadi telah pun dinikmati oleh saya. Namun, dipenghujung tahun saya telah diuji oleh Yang Maha Esa dengan ujian yang menimpa-nimpa. Dari krisis imej, hinggalah krisis peribadi. Ulasan saya sentiasa begitu. Sejarah pasti diungkit bagi memperingati sesama manusia.

Dengan ini, saya ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru 2010 kepada semua pembaca dan mereka-mereka yang sudi singgah di blog saya. Semoga tahun depan memberi kita kejayaan yang lebih positif, tahap kesihatan yang baik, rezeki yang murah, dikelilingi pencinta ilmu, dijauhi fitnah jahat, dipelihara adab dan didekatkan kita dengan akhirat.

Tekad dan cita-cita akan diperhebatkan pada tahun hadapan. Bersama menjana perubahan!
Selamat Tahun Baru

Kesulitan amat dikesali

Saya tidak dapat meng'update' penulisan saya sebagaimana biasa. Hal ini kerana, perkhidmatan internet di rumah saya mengalami kesulitan pada diri saya. Internet tiada masalah. Cuma saya yang bermasalah dengan 'perkhidmatan internet' tersebut. Walaubagaimanapun, insyallah saya akan cuba sedaya upaya meng'update' penulisan saya sedaya yang mampu.

Terima kasih.

Wednesday, December 30, 2009

Disember: Harapan dan harapan

Dingin suasana Bulan Disember pada saya. Penutupan jendela 2009 menceritakan beberapa episod di 'luar' jangkaan saya. Perkara-perkara yang berlaku sekitar Disember, kadang kala mengnegatifkan diri saya. Negatif saya tidak akan disampaikan pada sesiapa. Insyallah, saya tidak akan negatifkan orang lain atau pihak lain.

Rambut sama hitam. Hati lain-lain. Dukacita dihati kadang kala tidak 'manis' memberitahu orang lain. Biar disimpan. Itu ketetapan saya. Kalaupun negatif, tidak akan disambung ke pihak kedua atau ketiga. Penafian beberapa perkara terhadap saya begitu mengecewakan kadang-kadang.

Saya masih menunggu 'khabar' gembira dari satu pihak. Belum diumumkan keputusannya. Saya begitu berharap. Ibu saya juga begitu. Harapannya agak tinggi pada saya. Saya telah berusaha. yang lain-lain saya serahkan pada Yang Maha Esa. Kata 'teman wanita' saya, kalau ada rezeki takkan ke mana. Saya menyokong kata-kata itu.

Harapan itu masih ada. Cuma tak tahu bila. Harap-harap ada khabar gembira untuk itu. Setidak-tidaknya, sebagai penutup duka lara Disember ini. Insyallah.

Disiplin dan Sumbangan: Seiring dan Sejalan

Ada tiga kategori manusia di tempat kerja saya.

1. Disiplin yang tinggi, tiada sumbangan atau idea kepada kolej.
2. Sumbangan yang tinggi, tiada disiplin.
3. Sumbangan dan disiplin yang rendah.

Kategori ini mencerminkan pekerja di kolej saya. Para akademik dinilai dengan kategori di atas bagi memperoleh bonus hujung tahun. Saat yang ditunggu para kakitangan.

Kategori ini hanya pada staf akademik. Bukan akademik memakai kategori lain.

Amalan ini akan dipratikkan pada tahun hadapan secara khusus. Saya antara staf yang terlibat dalam pembinaan sistem ini yang dirangka pada semester lepas. Diasingkan masalah disiplin dan sumbangan pada kolej. Saya menyokong pendekatan ini, dengan hasrat ia digunakan secara 'adil' oleh pihak atasan mengadili seseorang staf.

Namun demikian, saya juga mengharapkan masalah disiplin staf dititik beratkan. Sumbangan atau 'contribution' bukan suatu jalan utama memberikan bonus pada seseorang. Sepatutnya, masalah disiplin atau komitmen juga dititik beratkan. Itu harapan saya. Keadaan begitu nampak lebih 'manis'. Seorang staf yang banyak idea, dalam masa yang sama mempunyai kredibiliti menjaga disiplinya serta komitmennya yang tinggi.

Kategori insidividu yang pertama, begitu ramai sekali. Menitikberatkan hal disiplin. Datang awal ke tempat kerja, menjalankan tugas sebagai pendidik yang sempurna, tidak pernah ponteng kerja dan kelas, jarang ambil MC, Annual Leave, Emergency Leave, terlibat dengan masalah dalaman dan luaran. Pendek kata, semuanya sempurna. Namun, sumbangannya pada kolej dalam mengutarakan idea-idea baru bagi pembinaan kolej sama sekali negatif. Individu begini ditolak ke tepi.

Individu kedua, diangkat sebagai 'wira' dalaman. Popular dikalangan pihak atasan. Mendapat pujian saban hari. Malah, disebut individu yang banyak 'jasanya'. Menjadi rebutan kadang kala. Dianggap individu penting kepada kolej. Disayangi dan disegani oleh pihak tertentu. Tetapi, tahap disiplinya teruk!. Apa yang dilakukan oleh individu kategori pertama, 'individu kedua' tersasar semuanya. Walaubagaimanapun, sistem yang dibina oleh saya boleh digunapakai bagi 'menyelamatkan' individu kedua ini. Segala masalah disiplinya boleh dipadamkan, dipinggirkan malah dilupakan kerana 'sumbangannya' pada kolej begitu tinggi. Bonus?. Paling tinggi dikalangan staf yang lain. Mekanisme yang dibina, ditolak sama sekali. Asalkan bagus, yang buruk dilupakan. Saya yang membina sistem ini. Tidak mahu dilihat beigitu sistem ini berjalan.

Individu yang ketiga. Jauh sekali diberi harapan. Individu sebegini, lebih baik tiada dari wujud. Tiada sumbangan malah komitmenya juga mengecewakan!

Saya nampak ada kesilapan. Kesilapan terhadap perjalanan sistem ini. Sepatutnya, elemen individu pertama dan kedua dicantumkan. Baru molek rasanya. Seorang pekerja yang baik, cemerlang dan gemilang perlu ada kedua-dua kategori. Disiplin dan sumbangan!. Sepatutnya begitu. Disiplin dan sumbangan perli seiring dan sejalan. Baru betul.

Mekanisme yang dipakai hari ini, nampak janggal sekali. Mengetepikan disiplin, mengutamakan 'contribution' rasanya tidak betul pada pengamatan saya.

Menjulang 'mereka-mereka' yang mempopularkan kolej, menaikkan nama Jabatan, menjadi idaman semua pihak, disayangi 'ketua' bukan suatu tindakan yang bijak. Dengan menolak disiplin 'mereka-mereka'.

Barangkali, kalau suatu hari kelak, 'mereka-mereka' ini kalau ada masalah disiplin yang dikira berat pun tiada masalah. Tiada apa, kata pihak atasan. 'Mereka' ada 'contribution'!. Kamu ada apa?. Habislah kita.

Monday, December 28, 2009

Selamat Pengantin Baru, Sahabat!

Hari ini. Sahabat saya Yushaszery bin Yusoff melangsungkan perkahwinan. Ikatan cinta dan tali kisah selama-lamanya dimeterai bersama Diana. Mereka berdua membuktikan 'percintaan' selama 6 tahun akhirnya ke jinjang pelamin. Saya menumpang gembira. Doa saya agar pasangan ini terus bersama hingga ke hujung hayat. Selamat berbahagia dan selamat pengantin baru!


Yus(kanan) dan adiknya Min

Sunday, December 27, 2009

10 Muharram-banyak kelebihannya.

Dalam bulan Muharram hari yang paling bertuah ialah hari ke-10 atau lebih dikenali dengan nama Hari Asyura’. Pada hari tersebut kita disunatkan berpuasa. Malah dalam Mazhab Imam Hanafi puasa hari ke-10 dalam bulan Muharram ini adalah satu-satunya fardhu puasa yang pertama sebelum difardhukan puasa bulan Ramadhan.

Hadith daripada Aisyah:
Sesiapa ingin berpuasa (sunat 10 Muharram) maka bolehlah dia berpuasa. Dan sesiapa yang tak ingin berpuasa maka boleh dia tinggalkan”. Hadith riwayat Bukhari dan Muslim.

Malah dalam sebuah hadith riwayat Muslim Nabi berpuasa pada 10 Muharram kerana pada hari tersebut diselamatkan Nabi Musa a.s daripada lemas dan juga daripada buruan Firaun.

KELEBIHAN
Baginda bersabda: “Berpuasa sunat pada 10 Muharram akan menghapuskan dosa setahun sebelumnya”. Riwayat Muslim.

BEZAKAN PUASA DENGAN ORANG YAHUDI……. Oleh kerana orang Yahudi juga berpuasa pada 10 Muharram maka disunatkan umat Islam berpuasa sejak 9 Muharram lagi bagi membezakan dengan puasa orang Yahudi. Hadith ini dikhabarkan oleh Ibnu Abbas dalam sebuah hadith riwayat Muslim dan Abu Daud. Atau kalau tidak dapat dikerjakan pada 9 Muharram maka boleh juga digandingkan 10 Muharram dengan 11 Muharram.

SEJARAH 10 MUHARRAM

Imam al-Ghazali menyebut dalam kitabnya Mukasyafatul Qulub bahawa pada tarikh tersebut:
1- Terbunuhnya Sayyidina Hussain (cucu Nabi) di Karbala’.
2- Diterima taubat Nabi Adam a.s.
3- Dicipta Adam a.s.
4- Dimasukkan Adam a.s ke dalam syurga.
5- Dicipta arasy, Kursi, langit, matahari, bulan, bintang-bintang.
6- Dilahirkan Nabi Ibrahim a.s.
7- Selamat Nabi Ibrahim daripada api Namrud.
8- Selamat Musa dan pengikutnya.
9- Lemas Firaun.
10- Dilahirkan Nabi Isa a.s.
11- Diangkat Nabi Isa kelangit.
12- Diangkat Nabi Idris ke langit.
13- Mendaratnya kapal Nabi Nuh dengan selamat di atas bukit Judy.
14- Nabi Sulaiman diberi kerajaan yang besar.
15- Dikeluarkan Nabi Yunus dari perut ikan Nun.
16- Nabi Ya’kub dapat melihat kembali selepas daripada menjadi buta.
17- Dikeluarkan Nabi Yusuf daripada telaga buta.
18- Disembuhkan Nabi Ayyub daripada penyakitnya.
19- Hujan yang pertama turun dari langit kebumi.

14 Perkara yang sunat dilakukan pada hari Asyura :


1. Melapangkan masa / belanja anak isteri . Fadhilat - Allah akan melapangkan hidupnya pada tahun ini.
2. Memuliakan fakir miskin. Fadhilat - Allah akan melapangkannya dalam kubur nanti
3. Menahan marah. Fadhilat - Di akhirat nanti Allah akan memasukkannya ke dalam golongan yang redha
4. Menunjukkan orang sesat. Fadhilat - Allah akan memenuhkan cahaya iman dalam hatinya
5. Menyapu / mengusap kepala anak yatim. fadhilat - Allah akan mengurniakan sepohon pokok di syurga bagi tiap-tiap rambut yang di sapunya.
6. Bersedekah. Fadhilat - Allah akan menjauhkannya daripada neraka sekadar jauh seekor gagak terbang tak berhenti-henti dari kecil sehingga ia mati. Diberi pahala seperti bersedekah kepada semua fakir miskin di dunia ini.
7. Memelihara kehormatan diri. Fadhilat - Allah akan mengurniakan hidupnya sentiasa diterangi cahaya keimanan.
8. Mandi Sunat. Fadhilat - Tidak sakit (sakit berat)pada tahun itu lafaz niat : sahaja aku mandi sunat hari Asyura kerana Allah Taala.
9. Bercelak. Fadhilat - tidak akan sakit mata pada tahun itu
10. Membaca Qulhuwallah hingga akhir seribu kali. Fadhilat - Allah akan memandanginya dengan pandangan rahmah diakhirat nanti
11. Sembahyang sunat empat rakaat. Fadhilat - Allah akan mengampunkan dosanya walau telah berlarutan selama 50 tahun melakukannya. lafaz niat : sahaja aku sembahyang sunat hari Asyura empat rakaat kerana Allah Taala. Pada rakaat pertama dan kedua selepas fatihah di baca Qulhuwallah sebelas kali.
12. Membaca “has biallahhu wa nik mal wa kiil, nikmal maula wa nikmannasiir”. Fadhilat - Tidak mati pada tahun ini
13. Menjamu orang berbuka puasa. Fadhilat - Diberi pahala seperti memberi sekalian orang Islam berbuka puasa.
14. Niat Puasa - Sahaja aku berpuasa esok hari sunat hari Asyura kerana Allah Taala.
fadhilat - Diberi pahala seribu kali Haji, seribu kali umrah dan seribu kali syahid dan diharamkannya daripada neraka

PemudaBesut

Apa khabar UMNO Selangor?

Apabila YB Khalid Samad, MP PAS Shah Alam bercita-cita untuk jadikan Shah Alam sebagai Kota Raya Islam, beliau dipersenda oleh beberapa pihak. Artikel tersebut boleh dilihat dan dibaca di beberapa blog yang ada. Saya hairan. Kalau idea ini dipersenda oleh Gerakan, MIC, MCA, PPP atau DAP saya boleh menerima dengan hati yang terbuka. Maklumlah. Mereka bukan Islam. Pasti mereka 'hairan' dan 'tidak percaya' dengan kekuatan Islam yang bukan sahaja sebagai agama malah boleh dibangunkan sebagai 'Kota Raya'.

Darul Islam bukanlah sesuatu yang pelik. Junjungan besar kita, Nabi Muhammad SAW dan para sahabat serta Khalifah Islam membuktikannya. Islam dibangunkan sebagai negara. Lihat sahaja kehebatan Islam di Timur Tengah, Asia Timur dan Islam di India. Malah, di Eropah juga Islam berjaya dibuktikan sebagai modul pemerintahan yang berjaya.

Apa peliknya Kota Raya Islam?. Jika ini berlaku, Shah Alam merupakan bandaraya yang kedua di Malaysia cuba membuktikan kehebatan Islam dibangunkan sebagai 'Kota Raya Islam selepas Kota Bharu memperkenalkan Bandaraya Islam. Insyallah. Idea yang baik harus disokomg semua pihak.

Malang bagi pihak-pihak tertentu. Kerana kuasa politik. Mereka mempersenda sahabat dan saudara seagama untuk 'membangunkan' Islam di Malaysia. Kenyataan saya berasas. Pembaca boleh merujuk sendiri artikel di sini. Pelik bukan?. Ia sama sekali tidak ditentang masyarakat bukan Islam. Tetapi oleh 'umat Islam' sendiri. Inilah hakikat politik yang berasaskan 'assabiyyah'.

Saya menerima idea MP Shah Alam dengan hati yang gembira. Sejarah membuktikan kehebatan Islam yang dibangunkan sebagai Kota Raya dan Negara. Kota Constantinapole membuktikan kehebatan Kota Raya Islam. Muhammad al-Fateh membuktikan kehebatan Islam. Tiba giliran YB Khalid Samad membuktikannya pula.

Masyarakat Shah Alam pasti ternanti-nanti Kota Raya yang aman, bersih dan diredhai Allah. Kemajuan Shah Alam sebagai Bandaraya sangat hebat. Di sana, penduduk majoriti Islam dan Melayu membuktikan kehebatan mereka memilki aset yang berjaya. Cuma, adakah bandaraya itu diredhai oleh Allah?. PAS cuba membuktikannya.

Kehebatan UMNO menidakkan usaha PAS bukanlah sesuatu yang luar biasa. UMNO adalah juara rakyat. Terutama dalam konteks Melayu dan Islam. Mereka adalah sang juara yang berjaya membangunkan Shah Alam, khasnya dan Selangor amnya. Kehebatan UMNO memartabatkan Islam di Shah Alam begitu menterujakan semua pihak. Terutama orang-orang Melayu.

Di sini saya petik beberapa episod kehebatan UMNO memartabatkan Islam di Shah Alam dan keseluruhan Selangor bagi kita mengingati 'Sejarah Kehebatan Islam' dibawah amirul Mukminin Khir Toyo dan jemaah fisabilillah Parti UMNO.

1. Memecat Mufti Selangor, Almarhum Tuan Guru Dato' Ishak Baharom yang melarang wanita Melayu Selangor dari bertanding Pertandingan Ratu Cantik. Larangan ini disokong oleh JAIS. Namun, ia mendapat bantahan dari Tun Mahathir (PM ketika itu). Tun Mahathir dan UMNO menentang larangan mufti dan menyebelahi ratu cantik. Almarhum Dato' Ishak Baharom dipecat kerana menjalankan amanah Allah SWT dan hukum Allah SWT.

2. Melarang kuliah-kuliah agama di masjid-masjid sekitar Selangor dengan alasan masjid bukan tempat berpolitik. Masjid dan politik mesti dijauhkan. Jadi, kalau ada kuliah atau ceramah agama di masjid ia akan jadi medan politik. Masjid dipantau. Kegiatan masjid dikawal. AJK dan IMAM di perhatikan setiap masa agar mereka tidak berpoiltik atau dilihat memihak kepada sesebuah parti. Khutbah Jumaat diskripkan. Khutbah sama sekali tidak akan menyentuh persoalan hukum hakam, halal haram, judi dan lain-lain. Tajuknya sama. Diulang dan diulang.

3.Melarang para ulama dan ustaz berceramah dan menyampaikan kuliah agamma di Selangor. Antara tokoh-tokoh agama yang dilarang termasuklah Ustaz Dato' Dr. Harun Din, Ustaz Dato'
Ismail Kamus, Ustaz Dato' Dr. Hasan Ali, Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man, Ustaz Abd.
Ghani Shamsuddin, Ustaz Ahmad Awang, Ustaz Kamal Ashaari, YAB Tuan Guru Dato' Nik Aziz
Nik Mat, YB Tuan Guru Dato' Seri Abd. Hadi Awang dan beberapa para alim ulama yang lain.
Mereka disenaraikan hitamkan oleh UMNO Selangor dari masuk ke negeri tersebut bagi
menyampaikan kuliah dan ceramah agama di Selangor.

4. UMNO dengan kerjasama JAIS dan Pengutakuasa merobohkan Surau di Bangi dengan alasan surau itu tidak sah. Ketika surau itu dirobohkan, umat Islam sedang mendengar kuliyah agama oleh Ustaz Harun Din. Mereka dihalau. Surau dirobohkan.

5. Penjualan arak di Selangor tidak pernah dikawal oleh Pejabat Agama (JAIS) atau PBT. Peniaga bebas untuk berniaga arak di Selangor. Tidak kira di mana. Kedai runcit, supermarket,
hypermarket, kedai serbaneka 24 jam, stesen minyak dan lain-lain. Arak dibebaskan. Sepanjang 50 tahun memerintah Selangor, tidak pernah sekali pun UMNO mengambil peluang sebagai pemerintah untuk mengawal penjualan arak. Meminda peraturan atau sekurang-kurangnya menguatkuasakan undang-undang penjualan arak di Selangor.

6. Pusat-pusat hiburan. Bagaikan cendawan tumbuh di Selangor. Lihat sahaja di Klang, Petaling Jaya, Subang Jaya, Kelana Jaya, Puchong, Serdang, Damansara dan lain-lain daerah di Selangor. Remaja dan belia dilalaikan. Mereka dicandukan dengan hiburan. Pendekatan agama dijauhkan. Dipinggirkan pemerintah.

Masih banyak sekiranya mahu dibincangkan 'kehebatan' dan 'pembangunan' Islam yang dimartabatkan oleh UMNO Selangor. Catatan di atas hanya sebagai renungan kita. Islam dibawah panji UMNO terlalu banyak 'jasanya'. Barangkali modul penmerintahan ini yang patut dibanggakan oleh 'Orang-orang Melayu' di Selangor.

Tahniah UMNO Selangor. Jasamu dikenang!

Saturday, December 26, 2009

"Tak Seindah Wajah"


Hari ini. Manusia berlumba-lumba mencari harta kekayaan. Yang berbudi dan berbahasa kian jauh terpinggir. Manusia kadang-kadang tidak seindah wajah yang ada. Penuh dengan 'cerita'. Kita tidak saling kenal mengenal sebenarnya. Hanya pada 'Dia' kita berserah dengan siapa kita bersama.

Lirik lagi di bawah saya petik dari sebuah lagi Tan Sri S.M Salim, "Tak Seindah Wajah". Penuh makna dan nilai di dalamnya. Semoga kita boleh mememtik manfaatnya bersama.


Kusangka Aur Di Pinggir Tebing
Kiranya Tebu Di Pinggir Bibir
Kusangka Jujur Pancaran Batin
Rupanya Palsu Penghias Zahir

Kukira Hati Jiwa Nurani
Suci Seindah Wajah Terbayang
Kukira Puji Seikhlas Budi
Kulupa Lidah Tidak Bertulang

Di Manis Gula Semut Binasa
Kail Berduri Bersalut Umpan
Di Manis Kata Insan Terlena
Kerana Budi Hamba Terkorban

Inikah Dia Lakunan Hidup
Di Pentas Dunia Insan Berpura
Tipu dan Daya Pencapai Maksud
Budi dan Harta Merangkum Noda

Politik sebagai ilmu

Saya yakin dan percaya. Ilmu politik mesti didedahkan awal kepada rakyat Malaysia. Ilmu pentadbiran dan politik mesti seiring dan sejalan. Melihat kepada situasi semasa, ia amat membimbangkan. Remaja dan belia. Kurang berminat dan tidak mahu mengambil bahagian dalam kedua-dua perkara ini.

Ilmu pentadbiran ,teori politik, sejarah negara ada di dalam silibus pendidikan. Saya mengakui perkara tersebut. Terang lagi bersuluh. Di awal sekolah menengah rendah lagi, ilmu ini ada disebut di sekolah-sekolah. Namun, 'roh' terhadap ilmu ini kurang dititik beratkan. Baik kepada pelajar mahupun guru. Ia menakutkan bagi sesetengah pihak. Mendekatkan diri dengan ilmu pentadbiran dan politik dianggap akan menyokong satu-satu pihak. Parti dan pemimpin-pemimpin tertentu. Sangat mudah dilihat berpihak. Ini yang menakutkan.

Dengan itu, ilmu politik dijauhkan. Dari guru kepada pelajar. Kakitangan pendidik, awal-awal lagi diikat dengan 'bai'ah'. Disebut 'AKUJANJI". Ini mutlak. Pegawai dan kakitangan pendidikan sama sekali 'diharamkam' menyertai atau bergelumang dengan politik. Ilmu politik dijauhkan dari mereka. Diperingkat sekolah. Murid-murid sekolah menengah jauh sekali didekatkan dengan ilmu politik. Mereka dijauhkan. Sehingga ke peringkat universiti. Ditakutkan mahasiswa Malaysia dengan 'AUKU'. Ini tambah membebankan.

Sedangkan, kita sentiasa menyebut 'Mahasiswa Pelapis Kepada Kepimpinan'. Bagaimana hendak menjadi pelapis kepada instrument kepimpinan kalau ilmu politik dijauhkan. Barangkali pemimpin boleh diwujudkan dengan kekayaan dan rancangan realiti. Bukan dari ilmu. Saya belum jumpa teori sebegitu.

Pemimpin yang ada hari ini begitu hebat. Mereka dilahirkan dengan 'karisma' yang tersendiri. Lihat sahaja Tun Mahathir, Anwar Ibrahim, Tengku Razali Hamzah, Nizar Jamaluddin, Husam Musa dan lain-lain. Rata-rata mereka dilahirkan dari ilmu politik yang sempurna. Bermula dari institusi pendidikan. Politik kampus era 70'an dan 80'an. Mereka membanggakan kita semua.

Namun, mereka bakal meninggalkan kita semua satu hari kelak. Sehingga hari ini belum ada mekanisme dari mana-mana pihak untuk 'melahirkan' pemimpin sedemikian rupa. Doktrin yang ada pada hari ini masih belum nampak kejayaannya. Sistem kita masih menekan mahasiswa dengan peraturan dan undang-undang yang bukan-bukan. Mahasiswa dan para pelajar dijauhkan dengan ilmu politik. Mereka ketinggalan jauh. Kesedaran terhadap isu-isu semasa jauh ketinggalan. Rata-rata remaja dan belia tidak berminat dengan ilmu politik. Hatta, definisi 'federalisme' pun mereka tidak mengetahuinya!. Mereka membimbangkan kita.

Poliltik adalah ilmu. Ilmu yang bermanfaat bagi melahirkan pemimpin dan negara yang sempurna. Jangan dibenci ilmu itu.

Wednesday, December 23, 2009

Alahai TUDM....


Terdiam saya seketika. Setelah saya membaca beberapa laporan akhbar dan blog perihal 'enjin jet' TUDM yang hilang. Disyaki dicuri pihak-pihak tertentu. Pihak yang dimaksudkan ialah beberapa anggota TUDM yang bertanggungjawab menghantar enjin jet tersebut ke Eropah untuk dibaiki. Alahai Malaysia....

Ulasan saya. Begitu menyakitkan!. Aspek pertahanan negara merupakan salah satu jentera penting dalam pentadbiran sesebuah negara. Lihat sahaja US, Russia, Iran, Syria, Korea Utara, Israel dan Singapura. Negara-negara ini menghabiskan berjuta-juta wang negara membangunkan sistem pertahanan negara mereka. Dari senapang hingga ke nuklear. Tiada penghujung bagi mereka. Mengapa?. Kerana ia dianggap penting dalam dunia kita hari ini. Peperangan boleh sahaja berlaku. Bila-bila sahaja. Ada 'isu' boleh sahaja berperang. Itu mereka.

Malaysia?. Lihat sahaja laporan Utusan online yang saya 'post' kan. Begitu menjijikan. Enjin Jet F-5E tersebut telah hilang sejak tahun 2007. Hari ini baru disedari. 2 tahun 'aset' pertahanan kita dicuri. Bayangkan!.

Menteri Pertahanan menyatakan ia adalah satu pengkhianatan dan penderhakaan oleh anggota tentera terbabit. Yang mencuri dan yang menjadi 'dalang' pencurian. Itu kata Menteri. Saya setuju. Tetapi bagaimana pula dengan tanggungjawab 'Jeneral' TUDM. Adakah dia juga perlu disalahkan?. Atau setidak-tidaknya bertanggungjawab atas kecurian dan kehilangan enjin pesawat terbabit?. Dia Jeneral. Kalau 'aset' pertahanan dicuri dia tak tahu, macam mana pula kalau kita diserang oleh mana-mana pihak. Mana mungkin dia tak tahu. Nahas negara ada Jeneral begini. Tak sempat kita nak menyusun strategi. Atau setidak-tidaknya menyorok lari.

Itu kata saya. Bukan Menteri. Polis sudah menjalankan siasatan. Tetapi belum lengkap kata Peguam Negara. Dianggarkan harga enjin pesawat terbabit bernilai RM50 juta. Setiap satu. Bukan murah. Kalau RM50 juta digunakan untuk 'Dana Pendidikan' mungkin kita tak perlukan PTPTN.

Tahun 2007. Menteri Pertahanan kita waktu itu adalah 'Perdana Menteri Malaysia' sekarang. Dia pun tak tahu enjin pesawat itu hilang. Dia minta disiasat. Semuanya tak tahu. Siapa yang tahu, saya pun tak tahu. Masing-masing cuba hendak mengelak dari mengambil tanggungjawab. Anggota TUDM yang mencuri dah dikenal pasti. Kita tunggu. Mengharapkan pendakwaan yang telus dari Mahkamah. Rakyat mesti tahu. Jangan diselingdungkan kes ini. Ia sangat mustahak. Mustahak sangat!.

Maruah negara tercalar. Mesti pemimpin Singapura sedang tertawakan kita. Begitu lucu. Enjin pesawat di dalam pengawasan TUDM boleh hilang. Dicuri katanya. Saya masih ingat kejadian di Kem ATM cawangan Tentera Darat. Tahun 2001. Kem itu di Sauk, Perak. Pasukan 'Al-Maunah' pimpinan Saudara Amin berjaya melarikan pelbagai senjata api dari kem tersebut. Dengan membawa 3 Pajero, 12 orang rakan. Mereka memperdaya anggota tentera kita. Amin dengan berjanggut boleh mengarahkan seorang koperal ATM berkawat jam 3 pagi!. Begitu mudah.

Itu tentera kita. Tentera yang diharapkan untuk mempertahankan negara.